Manial, 29 Mac –Small Group Discussion (SGD) yang ketiga telah diadakan di Hadiqah Ummi Kalthoum. SGD kali ini lebih tertumpu kepada latihan dan teknik pengurusan bantuan kecemasan (first aid).

Dengan kehadiran seramai 40 orang ahli Med-Ximus, SGD dimulakan dengan slot kuliah tiga minit (KUL-TIM) yang disampaikan oleh saudari Siti Nur Hazwani binti Abdul Aziz. Beliau berkongsi info kesihatan berkenaan Monosodium Glutamate (MSG). Beliau telah menyenaraikan beberapa kesan buruk pengambilan MSG secara berlebihan kepada tubuh badan seseorang.

Tazkirah pula telah disampaikan oleh saudara Ahmad Zahari bin Abdul Raub. Beliau mengingatkan ahli yang hadir supaya sentiasa memperbaharui niat dan memberi penekanan  kepentingan pengamalan segala ilmu yang dipelajari.

Slot teori dan demonstrasi teknik bantuan kecemasan disampaikan oleh fasilitator yang berpengalaman di dalam kumpulan-kumpulan yang kecil. Ahli junior Cairo Medical Team (CMT) yang hadir pula telah menunjukkan cara-cara untuk melakukan bantuan kecemasan seperti teknik Cardiopulmonary Resuscitation (CPR), kaedah mengikat anduh (sling and splint) serta cara merawat dan membalut luka (bandage).

Setelah selesai sesi teori dan demonstrasi, ahli dikehendaki untuk melakonkan simulasi bantuan kecemasan. Mereka telah diberi satu situasi kemalangan jalan raya. Aktiviti simulasi ini memberi peluang kepada ahli untuk mempraktikkan teknik bantuan kecemasan yang telah dipelajari bersesuaian dengan keadaan mangsa.

“Sebagai seorang pelajar perubatan, kita mestilah menguasai teknik bantuan kecemasan ini. Lebih-lebih lagi apabila sudah menjadi ahli CMT, yang mana kita akan mengaplikasikannya sewaktu menjadi sukarelawan paramedik mahupun sewaktu bergelar doktor nanti,” kata saudari Fathinah binti Harun ketika ditanya pendapatnya berkenaan SGD kali ini.

Semoga segala ilmu yang telah dipelajari mampu mempersiap ahli untuk berhadapan dengan situasi kecemasan pada masa akan datang.

berita

 

Disediakan oleh
Nabil Huda bte Che Murad
Ahli Cairo Medical Team