Pada 18 Mac 2015 yang lalu, saya Ahmad Zahari bin Abdul Raub telah mengambil kesempatan untuk mewawancara Ahmad bin Abdul Rahim, pelajar tahun 5 Universiti Kaherah berikutan perkongsian yang beliau lakukan di teater Madrasah Risalah di Bukit Maqattam pada 17 Mac 2015. Perkongsian yang beliau lakukan adalah mengenai sejarah dan pendidikan Malaysia. Berikut merupakan hasil wawancara saya:

Zahari: Assalamualaikum saudara Ahmad. Maaf sekiranya saya mengganggu saudara. Saya dimaklumkan bahawa saudara telah membuat perkongsian tentang Malaysia kepada masyarakat arab baru-baru ini. Jadi, adakah saudara berkelapangan untuk berkongsi dengan saya akan pengalaman saudara?

Ahmad: Waalaikumussalam Zahari. Insya Allah boleh sahaja.

Zahari: Bagaimanakah saudara mendapat tawaran untuk membuat perkongsian bersama  masyarakat arab baru-baru ini?

Ahmad: Saya mendapat tawaran ini daripada Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah. Beliau memberitahu terdapat sekumpulan pelajar arab sedang mencari seorang pelajar melayu untuk berkongsi tentang Malaysia dalam bahasa arab.

Zahari: Apakah nama program ini?

Ahmad: Program ini ialah “Li Ta’arrafuu”. Program ini dianjurkan oleh persatuan ENG-BREAK, sebuah persatuan yang boleh dikatakan bernaung di bawah Universiti Kaherah. Saya dimaklumkan bahawa program ini diadakan setiap tahun untuk memberi pendedahan kepada ahli mereka mengenai budaya, pendidikan dan ekonomi negara-negara luar selain Mesir. Pada tahun ini mereka memilih  Malaysia.

Zahari: Bagaimanakah atur cara program ini?

Ahmad: Saya berkumpul bersama pelajar-pelajar arab pada pukul 3 petang di Universiti Kaherah, Giza. Kemudian, kami semua dibawa ke Madrasah Risalah di Bukit Maqattam dengan menaiki bas. Secara kasarnya, program ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu budaya, pendidikan serta industri di Malaysia. Manakala saya dipertanggungjawabkan untuk berkongsi tentang pendidikan di Malaysia.

Zahari: Adakah saudara sudi berkongsi pengalaman yang menarik sepanjang program ini berlangsung?

Ahmad: Sudah tentu. Barangkali ini merupakan pengalaman yang saya tidak dapat lupakan apabila bercakap lebih kurang 50 minit menggunakan bahasa arab di hadapan lebih kurang 200 orang peserta. Selain itu, saya agak tertarik dengan penyampaian pertama yang dikongsikan oleh seorang wanita arab yang dikenali sebagai saudari Haggar. Beliau menceritakan pengalamannya tinggal dan bersekolah di Melaka lebih kurang sebulan. Selain kagum dengan kebersihan dan kecantikan negeri Melaka serta kesopanan rakyatnya, beliau juga terkejut dengan peraturan mengasingkan murid lelaki dan perempuan sewaktu perhimpunan sekolah.  Pihak penganjur juga telah menayangkan video reaksi masyarakat arab apabila ditanya tentang kedudukan geografi Malaysia. Rata-rata mereka tidak tahu jawapannya.

Zahari: Apakah yang saudara kongsikan?

Ahmad: Saya memulakan perkongsian saya dengan kedudukan geografi Malaysia. Kemudian, saya teruskan lagi dengan sejarah kedatangan Islam di Malaysia.

Srivijaya telah memerintah Tanah Melayu pada abad ketujuh hingga abad yang ke-14. Selepas itu, kerajaan Pasai iaitu sebuah kerajaan Islam datang menggantikan kerajaan Srivijaya dan memerintah dari abad ke-14 hingga abad ke-16. Saya juga ada menyatakan kepada mereka bahawa kedatangan Islam di Tanah Melayu pada waktu itu mempunyai kesinambungan daripada Kerajaan Uthmaniyyah bagi menolak fahaman orientalis.

Kemudian saya meneruskan pembentangan saya dengan slot yang kedua iaitu pendidikan di Malaysia. Saya membahagikan slot ini kepada dua bahagian. Pertama, berkenaan pendidikan sebelum merdeka dan yang kedua, pendidikan selepas merdeka.

Pendidikan tidak formal sebelum merdeka yang dalam bentuk contoh teladan dan pemerhatian ini, berjaya dilakukan kerana adab menghormati dan taat kepada orang tua sudah menjadi budaya anak-anak kecil pada waktu itu. Di samping itu, terdapat juga pendidikan formal sebelum merdeka seperti sekolah pondok dan sekolah Inggeris.

Mengenai pendidikan selepas merdeka, saya menyentuh berkenaan sistem sekolah berasrama dan pendidikan tertiari. Pada pendapat saya, sekolah berasrama sangat membantu anak-anak Melayu pada waktu itu untuk lebih fokus terhadap pembelajaran mereka. Sistem pendidikan tertiari pula sangat fleksibel dalam menawarkan biasiswa atau cuti bergaji bagi mereka yang ingin melanjutkan pembelajaran. Hal ini berjaya melahirkan generasi berpendidikan tinggi.

Zahari: Saya berasa kagum dengan pengisian yang saudara kongsikan. Tahniah saudara Ahmad.

Ahmad: Terima kasih

Zahari: Adakah ini kali pertama saudara membuat perkongsian sebegini?

Ahmad: Tidak. Sebelum ini saya pernah membuat perkongsian tentang Malaysia kepada anak-anak kecil dalam usia lingkungan tiga hingga tujuh tahun dengan menggunakan Bahasa Inggeris. Walaupun begitu, perkongsian kali ini agak sedikit mencabar.

Zahari: Selain daripada pembentangan saudara, adakah terdapat penyertaan lain daripada pelajar Malaysia di dalam program ini?

Ahmad: Ada. Terdapat juga rakan-rakan saya yang menyediakan kuih-muih tradisional rakyat Malaysia untuk diedarkan kepada para peserta. Antaranya ialah kuih buah melaka, kuih ketayap dan cucur.

Zahari: Apakah pendapat saudara terhadap respon para peserta selepas program selesai?

Ahmad: Secara peribadinya, saya boleh katakan bahawa respon para peserta amat memberangsangkan. Mereka banyak bertanya tentang pembentangan yang saya kongsikan. Ada juga yang berkongsi pengalaman manis ketika melancong di Malaysia. Kesimpulannya, mereka sangat kagum dengan kesopanan rakyat Malaysia.

Zahari: Alhamdulillah. Lega saya mendengarnya. Baiklah saudara, saya kira tamatlah sudah wawancara saya kali ini.Terima kasih saya ucapkan.

Ahmad: Sama-sama

berita

Disediakan oleh

Ahmad Zahari bin Abdul Raub
Unit Liputan
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2015/2016