Color NEW
“BERSEPADU BERSAMA BERSATU”

  1. Terima kasih saudara pengerusi sidang, sahabat saya Ahmad Syafiq bin Hasan,

Yang Berbahagia, Saudara Ahmad Kamil Bin Ahmad Fahmi dan Saudari Izzati Farhanah Binti Arip, ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN, barisan AJKT baharu dan lama, ahli-ahli Lembaga Penasihat, Yang Berusaha, saudara Wan Mohd Hasanuddin, Pengarah MTC Kaherah Kali Ke-2 serta seluruh Jawatakuasa Mesyuarat Tahunan Cawangan, seterusnya seluruh perwakilan dan ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah yang dihormati lagi disayangi.

  1. Firman Allah SWT,

udasar

Maksudnya: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu(iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat)  Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.

(Surah al-Ahzab, ayat 21)

Sidang perwakilan sekalian,

  1. Setiap hari kita mengimpikan kehidupan yang lebih baik. Kita mengimpikan hati yang lebih khusyuk untuk beribadat, ingatan yang lebih kuat untuk menghafal nota-nota kelas, duit yang lebih banyak untuk memenuhi keperluan dan kehendak seharian, lebih penting sebagai seorang muslim, kita mahukan hari ini lebih dari semalam.
  1. Bermula daripada penciptaan Nabi Adam AS, syariat pentauhidan Allah SWT disempurnakan dari masa ke masa sehingga diturunkan Rasulullah SAW penutup kepada sekalian rasul, membawa hidayah sehingga ke hari ini. Alhamdulillah. Namun, pengutusan Nabi Muhammad SAW. bukanlah sebagai pembawa risalah agama tauhid semata-mata, tetapi menjadi contoh ikutan terbaik sebagai panduan hidup seluruh umat manusia untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
  1. Hari ini, bermulalah sesi ketiga PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK). Banyak perkara yang telah kita gapai bersama, sama ada dalam bentuk kekemasan gerak kerja, penghasilan dan pelaksanaan etika, serta penganjuran program-program teknikal dan pengisian. PCK sebagai wasilah menebarkan ruang yang luas dalam usaha merangkul mardhatillah.
  1. Matlamat utama hidup kita akhirnya bukanlah terhad kepada gerak kerja persatuan semata-mata, maka sebagai seorang muslim dan mukmin kita perlulah mencontohi baginda Nabi SAW. Justeru saya menyeru agar ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah menekankan 4 aspek dalam membentuk diri menjadi lebih progresif agar hari ini lebih baik daripada semalam.

 

Pertama: Pengukuhan Akademik

Sahabat-sahabat yang saya sayangi sekalian,

  1. Rasulullah dididik secara langsung oleh Allah SWT. Sejak kecil baginda kehilangan ibu dan bapa, dijaga daripada perkara-perkara yang buruk, diajar mengembala kambing, berniaga ke negeri syam, keluar mendaki bukit nur beruzlah di gua hira’ sebagai persediaan mental dan fizikal sebelum diangkat menjadi rasul. Tugasan yang berat perlukan persedian yang mantap.
  1. Ke arah menjadi pengamal perubatan berintegriti, menjadi suatu tanggungjawab kita selaku pelajar perubatan untuk bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Tetapkan matlamat yang jelas dan bermujahadahlah untuk pergi ke kelas. Luangkanlah masa cuti untuk ke hospital bagi melihat sendiri suasana kerja sebagai seorang doktor.
  1. Saya menyeru seluruh ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah untuk:
  • Meletakkan matlamat dalam menuntut ilmu perubatan.
  • Memulakan persediaan untuk memasuki alam pekerjaan
  • Menjadi cakna tentang isu-isu semasa dalam bidang perubatan.
  • Ahli Medical Team (MEDTEAM) lebih ke hadapan untuk mencari maklumat tentang ilmu-ilmu perubatan dan bertindak sebagai mentor kepada ahli PCK keseluruhannya.

 

Kedua: Pengukuhan insaniah 

Sahabat perwakilan sekalian,

  1. Proses islah amat penting dan memerlukan dai yang betul-betul faham dan ikhlas dalam beramal. Dengan ini saya menyeru sahabat-sahabat perwakilan dan seluruh ahli PCK untuk:
  • Sentiasa mengisi borang mutabaah amal, supaya melatih diri kita dengan amal fardi agar hati ini sentiasa terpelihara.
  • Menjadikan Smart Circle (SC) suatu perkumpulan yang bermakna dan meribat hati-hati kita semua. Jadikanlah SC suatu perjumpaan yang sentiasa mengingatkan kita kepada Allah SWT dan ahlinya boleh saling menegur untuk kebaikan bersama.
  • Tanamkan rasa cinta kepada ilmu agama. Hadirkanlah diri ke RAUDHAH bagi menambah ilmu serta gunakanlah masa yang terluang dengan sebaiknya.
  1. Dalam pada itu, PCK akan tetap komited untuk
  • Memastikan kualiti kelas RAUDHAH dan kelas tsaqafah sepanjang tahun.
  • Menganjurkan qiamullail secara berkala.
  • Melaksanakan program fiqh perubatan pada sesi kali ini.

Ketiga: Pengukuhan Kesatuan

Sidang perwakilan sekalian,

  1. Yang ketiga, ahli PCK hendaklah mengukuhkan kekuatan ukhuwah sesama kita. Biarpun kuantiti berkurang, inilah peluang kita untuk memantapkan hubungan antara kita. Lahirkanlah rasa cinta kepada sahabat-sahabat kita sepertimana kita mencintai diri sendiri.

عن أنس بن مالك رضي الله عنه خادم رسول الله صلى الله عليه وسلم أن النبي صلى الله عليه وسلم  قال : ( لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه ) ، رواه البخاري ومسلم .

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik RA, khadam Rasulullah SAW bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

  1. Oleh itu, marilah sama- sama kita:
  • Budayakan amalan ziarah menziarahi dalam komuniti PCK, sama ada sesama batch ataupun merentas batch
  • Tingkatkan komunikasi ahli bersama pimpinan. Kami sangat mengalu-alukan segala teguran dan cadangan daripada ahli sepanjang gerak kerja kami berlangsung tidaklah terhad hanya ketika Mesyuarat Tahunan Cawangan sahaja.
  • Organisasi Batch (OB) mengadakan program-program melibatkan batch lain untuk mengeratkan lagi hubungan ahli PCK.
  1. Sesungguhnya, keutuhan ukhuwahlah yang menjadi support system kepada kita semua . Lihat sahaja bagaimana kaum ansar membantu kaum muhajirin dari mekah yang datang sehelai sepinggang meninggalkan harta dan keluarga. Kekuatan ukhuwah atas dasar akidah menjadi paksi keutuhan ummah.

Keempat: Pengukuhan Profesionalisme

  1. Kita tidak menafikan kepentingan agenda ini. Lalu, PERUBATAN bermatlamat untuk melahirkan mahasiswa/mahasiswi sains kesihatan ke arah doktor muslim profesional dan berketerampilan dengan pembentukan personaliti unggul dalam setiap aspek.


Komitmen PCK
 

  1. Untuk akhirnya, PCK tetap komited untuk sentiasa memperkemas gerak kerja tidak kira dari segi kualiti pengisian atau teknikal sesuatu aktiviti. Jadi, marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga berpadu kekuatan untuk memacu PCK bukan sahaja ke arah membentuk organisasi yang baik, malah suatu komuniti yang mempunyai izzah dan haibah. Bertindaklah secara profesional dengan penuh adab dan akhlak dan beristiqamahlah dalam bekerja kerana Allah SWT.
  1. Saya tutup ucapan dasar pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah sesi 2015/2016 dengan sebuah hadis.

 

أَخَذَ رَسُولُ اللهِ صلی الله عليه و سلم بِمَنْكِبِي فَقَالَ: كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

رَوَاهُ الْبُخَارِيُ

Maksudnya: Daripada lbnu ‘Umar r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah memegang bahuku seraya bersabda: Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu.
lbnu ‘Umar r.a. pernah berkata: Apabila engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu pagi dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu (ketibaan) waktu petang. Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu

(Hadis riwayat Bukhari)

 Sekian, hiduplah dengan sebenar-benar hidup.

 

“Kita Keluarga PCK”
“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar- Rahmah”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

zainol edit

Zainol Izzuddin Bin Zulkifli
Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Kaherah
Sesi 2015/2016