Kasr Al-Ainy, 20 Februari – Amphitheatre Hall New Kasr Al-Ainy Teaching Hospital sekali lagi pada tahun ini menjadi tempat musyawarah 130 orang perwakilan bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) sesi 2014/2015. Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) kali ini merupakan MTC kedua bagi PCK dan telah dirasmikan oleh Saudara Ahmad Kamil bin Ahmad Fahmi selaku ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) sesi 2014/2015.

Tidak seperti MTC yang lepas, MTC kali ini mempunyai pelbagai kelainan. Kesemua perwakilan yang hadir tidak dibekalkan dengan buku MTC, sebaliknya dikehendaki memuat turun sendiri buku tersebut ke dalam gajet masing-masing. Pendekatan berbeza yang diguna pakai ini merupakan suatu solusi yang bijak di mana perwakilan dapat meneliti isi kandungan buku MTC ini sejak malam sebelumnya. Pada pagi itu, mesyuarat telah dipengerusikan oleh saudara Ahmad Syafiq bin Hassan. Kesemua 130 perwakilan telah berjaya menghadirkan diri walaupun dalam keadaan cuaca yang sejuk. Hal ini berbeza dengan MTC pertama yang mana ahli mesyuarat belum memenuhi dewan ketika persidangan hendak dimulakan. Ternyata ahli PCK sudah melakukan anjakan paradigma dalam diri masing-masing!

 

10653655_793374910737624_2191679355105057852_n

 

Juga melihatkan kelainannya, MTC kali ini hanya membincangkan tiga usul berbanding lima usul pada tahun lepas. Jika MTC pertama telah meluluskan kesemua lima usul, MTC kedua ini hanya meluluskan dua usul. Usul ketiga dengan matan yang berbunyi, “Ahli PCK lebih progresif mencari peluang dalam membentuk peribadi pengamal perubatan yang lebih kompeten”, tidak diluluskan. Usul yang datang daripada saudara Muhammad Munawir bin Azman ini telah mengetengahkan tiga idea utama iaitu, hospital visit, MEDTEAM dan scientific conference. Walau bagaimanapun, hanya 24 orang perwakilan yang menyokong usul ini dan selebihnya menolak.

Usul pertama pada hari tersebut telah dicadangkan oleh saudara Mohd Zulkhairi bin Sahlani yang berbunyi, “Mewujudkan sistem taakhi yang berkesan dan sistematik antara batch (inter-batch) yang wujud di komuniti PCK”. “Saya kira usul murni ini lahir dari suara hati adik-adik yang belum diberi perhatian penuh dan kasih sayang yang mencukupi daripada kita para seniors”, begitu ujar Saudari Izzati Farhanah binti Arip, MTP sesi 2014/2015, ketika berbahas. Usul ini telah diterima oleh 87 orang ahli sidang dan telah diluluskan dengan pindaan kepada matan baru yang berbunyi “Memantapkan hubungan merentas batch secara berkesan dalam komuniti PCK”.

 

1512415_793376000737515_6899094086158693811_n

 

Seterusnya, juga merupakan usul yang diluluskan adalah usul yang berbunyi, “Menubuhkan panel kajian khas untuk menyediakan analisis situasi bagi komuniti PCK yang semakin berkurangan”. Usul yang datang daripada saudara Abul Akmal Arif bin Anuar ini telah dipersetujui hampir sebulat suara, di mana 128 orang perwakilan menyokong dan hanya 2 orang yang menolak. Rata-rata perwakilan menyokong usul ini kerana usul yang baik ini dilihat dapat memberi manfaat kepada AJKT dan ahli PCK keseluruhannya. Usul ini juga diharapkan dapat menyelesaikan ‘masalah kritikal PCK’ iaitu pengurangan ahli yang mendadak dan meruncingkan.

Dua anugerah khas iaitu Anugerah Inspirasi PCK telah disampaikan kepada dua orang super seniors yang banyak menginspirasi ahli PCK keseluruhannya. Dua orang yang dimaksudkan ialah saudara Amir Syahid bin Ezani dan saudari Siti Khadijah binti Daud. Sebelum melabuhkan tirainya, seluruh ahli dewan MTC Kali Kedua PCK telah menerima jemputan Majlis Walimatul Urus daripada saudari Siti Badriyah Binti Yaakop, pelajar tahun 6 akhir Fakulti Perubatan Universiti Kaherah pada tanggal 27 Februari ini. Anugerah yang disediakan serta jemputan yang diterima ini merupakan dua lagi kelainan pada MTC kali ini.

 

10999794_793376037404178_9060411575432193476_n

 

MTC kali kedua ini telah melabuhkan tirainya tepat jam 5.20 petang dan pastinya memberi pengalaman yang berbeza berbanding MTC yang lepas.

 

 

Disediakan oleh,

Nur Farzana Sahira Binti Arifuddin
Tahun 4