Muhammad_by_frizdan

“Muhammad, menyebut namanya sahaja nescaya hati mekar berbunga.”

Sering kita bertanyakan diri sendiri, sepanjang hidup atas muka bumi Allah SWT ini, adakah bertambah kenal kita akan Nabi?

Ya,kita sensitif mengenangkan tribulasi dan cemuhan terhadap Nabi sedari hidup dan setelah wafatnya baginda. Mungkin sahaja mereka berkiblatkan rujukan songsang, mereka dangkal tahu siapa Insan Kamil yang kita sayangi ini. Mereka gagal memahami keterikatan emosi kita dengan baginda.

Sekali lagi bertanyakan pada diri, sepanjang hidup di atas muka bumi Allah SWT ini, adakah bertambah kenal kita akan Nabi?

Sedangkan baginda yang paling banyak diduga, baginda jualah insan yang dilihat paling murah senyumannya. Kata-katanya benar, jelas difahami dan mendamaikan. Malamnya asyik mengadu kasih pada umat, melirih ke hadrat Ilahi agar selamat umat ini dari fitnah dunia. Rindunya baginda kepada kita umat terkemudian sangat menggugat jiwa hingga bersabda bahawa martabat kita yang belum pernah bersua dengannya itulah merupakan saudara-saudara baginda yang punyai darjat keimanan tinggi.

Jangan berhenti bertanyakan pada diri, sepanjang hidup di atas muka bumi Allah SWT ini, adakah bertambah kenal kita akan Nabi?

 

Seakan butir mutiara dalam penyimpanannya
terpancar dari dua punca yakni pada ucapan dan senyumannya

Janganlah diingkari tiap wahyu dan mimpi
sungguh dia memiliki hati yang tidak tidur saat kedua matanya terpejam

Ketika Allah menamai penyeru kita dengan sebutan Rasul paling mulia
kerana ketaatan kepada-Nya, kita adalah umat yang paling mulia

[petikan Qasidah Burdah nukilan Imam Syarafuddin al-Busiri]

 

[HAKIKAT MURABBI NAN AGUNG]

‘Baginda ialah nabi terakhir di alam wujud, namun nabi pertama secara maknawi.’
-Syeikh al Barzanji-

Seumpama cahaya lilin yang membimbing kita menuju destinasi, tanpanya hidup ditimpa samar kegelapan, demikian peranan abadi Rasulullah SAW. Ibnu Arabi menegaskan cahaya penciptaan ruh Nabi SAW merupakan esensi terawal dan cahaya kenabian tersebut meliputi seluruh penciptaan alam yang kemudian dimasukkan ke dalam ruh para nabi lainnya. Hakikat ini dinamakan Hakikat atau Nur Muhammadiyyah. Dengan kata mudah, Nabi dilantik sebagai rasul sejak alam arwah lagi ketika Nabi Adam AS masih berada antara ruh dan jasadnya.

muhammad

“…Dan untuk menjadi penyeru kepada agama Allah dengan izin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang menerangi.”

[surah Al-Ahzab ayat 46]

Manakala istilah Khatam an-Nabiyyin (penutup segala nabi) selain memaknakan tiada lagi nabi selepas baginda, ia juga menandakan cahaya kenabian sementelah dahulu telah sempurna di bawah taklif kerasulan yang didukung baginda. Di sinilah terdapat rahsia bersatunya pengakuan syahadah Rasul ke dalam syahadah Tauhid serta mengapa Rasulullah SAW kerap berdoa “Ya Allah, tambahi daku ilmu pengetahuan.”Bila mana ilmu yang melimpahi baginda ialah cahaya makrifatullah yang akan terus menerus bertambah dan mengaliri hati Murabbi Agung SAW.

Menyedari hakikat ini, baginda juga digelar ‘Nurul Huda’ (cahaya petunjuk), ‘Syams ad-Dhuha’ (mentari pagi) dan ‘ad-Dhiaul lami’ (cahaya bersinar) yang kerap menghiasi bait-bait untaian syair karangan para ulama dan auliya.


[AHMAD,MAHMUD DAN AL-HAMD]

Ahmad tanpa mim

Huzaifah RA meriwayatkan : Baginda bersabda ‘Aku adalah Muhammad. Aku adalah Ahmad. Aku adalah nabi pembawa rahmah. Aku adalah nabi pembuka pintu taubat. Aku adalah al-Muqaffa (yang dimuliakan).
[HR Tirmidzi]

Adapun lafaz nama baginda ‘Ahmad’ jika dibandingkan dengan lafaz asmaullah ‘Ahad’ hanya berbeza pada pertambahan huruf ‘mim’ menggambarkan tahap keakraban Nabi Muhammad SAW kepada pemilik zat maha tunggal yakni Allah SWT. Juga tertera menerusi alamat nabi Isa AS terhadap Bani Israel semasa mengumumkan khabar gembira perihal kedatangan seorang rasul selepas baginda yang dinamai sebagai Ahmad.

34120_127458463959930_127447437294366_128676_117897_n

Tempat terpuji

Imam As-Suhaili menerangkan Muhammad bererti ‘yang paling banyak dipuji’ sementara Ahmad dinisbahkan dengan ‘sebaik-baik pemuji Tuhannya’. Terdapat tafsir menceritakan tatkala seluruh manusia meminta syafaat daripada nabi ke nabi tika tiba hari semua manusia masing-masing sibuk dengan urusan dosa pahalanya, namun tidak mendapatkan pertolongan sehinggalah tiba kepada Nabi Muhammad SAW. Kemudian baginda bersujud di hadapan Rabbul ‘Izzah lalu diilhamkan seraya mengungkapkan kata-kata pujian ke hadrat Ilahi yang tidak pernah didengari oleh mana-mana makhluk sebelum itu. Lalu Allah perintahkan Nabi agar diberikan syafaat kepada siapa yang baginda kehendaki. Maka maqam al mahmud (tempat yang terpuji) dimaksudkan dengan kedudukan baginda yang terkhusus dalam memberikan as-syafa’atul kubra (syafaat teragung) kepada umatnya ini.

Jabir bin Abdullah meriwayatkan sabda Nabi SAW ‘Barangsiapa membaca doa setelah tamat azan “Ya Allah kurniakan Sayyidina Muhammad wasilah kelebihan dan dirikan untuknya tempat terpuji seperti yang telah Engkau janjikan kepadanya” maka baginya syafa’atku pada hari Kiamat kelak.’ [HR Bukhari]

Panji kepujian

Nabi SAW turut bersabda,“Di tanganku nanti adalah liwa’ al-hamd (panji kepujian) dan aku bukan berbangga. Kesemua nabi akan berkumpul di bawah naungan panjiku” [HR Tirmidzi].
Berputar hal ini, bagaimana semasa malam Mikraj saat para nabi solat berimamkan baginda, begitulah keutamaan baginda akan terkota ketika semua nabi akan berkumpul di bawah panji kepujian yang dibawa oleh Sayyidul Mursalin SAW pada hari kiamat kelak. Bermakna baginda diutus bagi seluruh umat manusia meliputi nabi-nabi dan mereka yang hidup sebelumnya hinggakan andai baginda diutus pada zaman nabi lain maka risalah dakwah baginda telah berbentuk sejagat serta mencakupi setiap zaman malah wajib diikuti oleh mereka.

Dan Kami tidak mengutus kamu (Muhammad) melainkan kepada manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pembawa peringatan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[surah Saba’ ayat 84]

 

[ALAM TURUT MENGERTI]

Sebuah riwayat menceritakan Rasulullah SAW mendaki bukit Uhud bersama Sayyidina Abu Bakar RA, Sayyidina Umar RA, dan Sayyidina Uthman RA. Setelah keempat mereka berada di puncak, terasa bukit Uhud bergegar menggoncang tubuh dek rasa gah cintanya menadahi Khayrul Anam SAW di mana Nabi ada menyatakan ‘Sesungguhnya Uhud adalah satu gunung yang mencintai kami dan kami juga mencintainya’ [HR Bukhari dan Muslim].

Baginda kemudian menghentakkan kakinya dan bersabda,”Tenanglah kamu duhai Uhud. Di atasmu sekarang Rasulullah, seorang siddiq, dan dua orang syahid.” Maka Uhud pun kembali diam seperti sedia kala.

swan-shaped-muhammad-calligraphy-pbuh

Suatu kisah sayu apabila batang kurma yang sentiasa menjadi mimbar Rasulullah SAW terpaksa dialih untuk memberi keutamaan kepada para hadirin, batang kurma tersebut menangis umpama anak kecil yang kehilangan ibu kerana merasa luluh berjauhan dengan baginda. Lantas baginda turun dari mimbarnya lalu mendakap dan memujuk halus rajuk batang pokok itu malah ditawarkan kepadanya agar kekal bersama baginda di syurga kelak. Setelah itu tangisannya tiada kedengaran lagi. Menurut Ibnu Majah Nabi bersabda ‘Seandainya aku tidak mengusapnya nescaya ia tetap akan merintih hingga hari kiamat’.

Dengan adanya sifat rahmah bagi sekalian alam, baginda membalas tiap ekspresi cinta yang ditujukan kepadanya bahkan dengan lebih hebat lagi. Nah, malu benar kita selaku umat yang meredhai pepohon tumbuhan lebih lunak kerinduannya dan gunung batuan lebih besar kegirangannya terhadap Nabi SAW berbanding kita yang dititipkan nikmat kalbu dan lisan untuk menzahirkan kecintaan.

 

[RERANTING MAHABBAH NABI]

Gelaran khayru ummah yang dimahkotakan kepada umat Muhammad SAW tergolong kepada kemuliaan para penuntut ilmu selama meniti jalan juang membezakan antara hak juga batil. Namun krisis masakini mendapati semakin dalam ilmu digali, semakin sesak mengkambus identiti diri yakni ilmu yang dituntut berubah menjadi senjata kemegahan yang meranah sifat rahmah dan mahabbah sehingga justifikasi persengketaan dan kejahilan tidak berasas telah dengan sengaja mengatasi namakan agama.

Demikian kita lupa manhaj pengislahan hati membutuhkan intipati mahabbaturrasul . Sepertimana Nabi umat ini Nabi pembawa rahmah, umatnya haruslah umat penyebar rahmah.

 

Berikut huraian al-Alamah Muhammad Ibrahim Abdul Ba’ith al-Kitani merujuk ayat rantaian mahabbah yang terletak dalam surah Ali Imran ayat 31:

إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ  (jika kamu mencintai Allah) bererti tahap al-Muridin iaitu darjah orang yang ingin berjalan ke arah tujuan.

Maka syarat kepada tujuan tersebut ialah فَاتَّبِعُونِي (maka ikutilah aku) menandakan tahap as-Sadiqin iaitu terdapat kebenaran dan pembuktian pada apa yang didakwa mahu tuju.

Sementara sambungan ayat يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ (Allah mencintai kamu) berada pada tahap al-Faizin iaitu menjadi sebenar-benar hamba yang mencapai matlamat hidupnya iaitu cinta Allah SWT.

i_love_my_prophet_muhammad_peace_be_upon_him_by_benbachir1991-d4sapwr

Rasulullah SAW merupakan hadiah terindah dan teristimewa kepada umat ini lantas jika ingin diukur kadar cinta kita kepada Allah maka harus dinilai timbangan cinta kepada Sayyidunal Mahbub SAW kerana seorang kekasih secara wajib akal pastinya akan mencintai apa sahaja yang dicintai oleh kekasihnya.

Sesungguhnya kaedah paling ringan demi menjalinkan hati Muslim dengan Nabi SAW adalah amalan berselawat ke atas baginda yang mana tiap satunya berbalas sepuluh, al hasil sepuluh cahaya kearifan,kebaikan dan penawar meresapi hati kita.

Juga bukankah akibat terbiasa mengingati baginda,rutin harian seorang muttabi’(pengikut) meski sekelumit perkara akan berganding niat agar mampu meniru seluruh peribadi baginda nan sempurna. Contoh mudah, andai ketika mendahulukan memakai kasut ke kaki kanan sambil menyebut basmalah, cuba kita bayangkan barang sejenak bahawa Nabi SAW sudah menunjukkan perilaku serupa nun empat belas kurun lalu. Justeru berkat didikan Uswatun Hasanah SAW, faham ketaatan sebegini awalnya tumbuh dari ranting-ranting istiqamah yang telah kita semai dari benih-benih cinta pada baginda.

“Duhai Rasulullah, bilakah datangnya hari akhirat itu?”
Nabi bertanya kembali, “Apa yang kau persiapkan untuk menghadapinya?”
“Cinta Allah dan Rasul-Nya.”
Nabi menjamin, “Sesungguhnya engkau bersama siapa yang engkau cintai.”
[HR Bukhari]

Diam jujur pertanyakan diri, seumur hidup atas muka bumi adakah bertambah cinta kita akan Nabi..

‘Muhammad; merinduinya segenap kalbu adalah anugerah rasa terindah.’

Sollu ‘alaihi wa wasallimu taslima.

 

Hanis Zikri binti Mohd Nahrawi merupakan salah seorang penulis Unit Karya PCK 2014/2015. Mahasisiwi tahun 5 Kuliah Perubatan di Universiti Kaherah, beliau berhasrat untuk menyimpulkan rasa cinta yang perlu ada pada diri seorang muslim melalui penulisannya sempena kelahiran insan agung, kekasih setiap mukmin, Sayyidina Muhammad SAW.