Mahu melancong tapi tidak tahu bagaimana mahu menguruskannya? Mahu melancong dan dalam masa yang sama tidak mahu berbelanja besar?

Saya akan cuba kongsikan sedikit sebanyak berkaitan pengalaman saya merancang, melaksanakan dan menyempurnakan sesebuah trip backpacking saya. Kesemua langkah-langkah ini saya simpulkan berdasarkan pengalaman saya dan dan rakan-rakan. Mungkin ia berbeza dengan pengalaman orang lain.

Berikut saya senaraikan langkah-langkah dalam merancang sebuah trip backpacking.

Langkah 1: Tentukan satu “Point of Entry” di benua Eropah

Maksud “Point of Entry” di sini ialah tentukan sebuah negara Eropah yang mana berperanan sebagai pintu masuk dan pintu keluar anda ke sana. Antara perkara yang perlu anda ambil kira untuk memilih negara “Point of Entry” ini adalah seperti :

  • Bandar/destinasi yang masyhur dalam senarai promosi tambang murah tiket penerbangan dari Mesir seperti London (UK), Brussel (Belgium), Milan (Italy) dan Geneva (Switzerland). Perlu diingatkan di sini bahawa segala “Point of Entry” ini berdasarkan penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Hurgada dan Sharm El Sheikh. Penerbangan dari Kaherah tidak termasuk dalam senarai tambang murah.
Syarikat penerbangan apa yang menawarkan penerbangan ke Eropah?

Antara penerbangan tambang murah yang berpengkalan di Hurgada dan Sharm El-Sheikh :

Perlepasan Ketibaan Jenis Kapal Terbang Laman Rasmi
Sharm El-Sheikh Milan EasyJet http://www.easyjet.com/en/
Sharm El-Sheikh London EasyJet http://www.easyjet.com/en/
Sharm El-Sheikh Brussel JetAir https://www.jetairfly.com/en
Sharm El-Sheikh London Monarch http://www.monarch.co.uk/
Hurgada Geneva EasyJet http://www.easyjet.com/en/

 

*Antara kelebihan tips ini adalah anda boleh menggunakan negara yang berbeza sebagai pintu masuk dan pintu keluar. Sebagai contoh, perjalanan dari Sharm El-Sheikh ke London dan balik menggunakan laluan Brussel ke Sharm El-Sheikh atau Geneva ke Hurgadha.

10930158_864805346873310_1610163197528588516_n

*Anda perlu benar-benar arif dengan peta Eropah sebelum memulakan trip backpacking

 

Langkah 2: Membuat tempahan tiket penerbangan pergi-balik ke “Point of Entry”

Bagaimana mendapatkan tiket penerbangan yang murah?

Saya rasa ramai yang tahu tentang kewujudan aplikasi-aplikasi seperti Skyscanner, Kayak, Wego dan sebagainya. Namun kadangkala saya lebih suka menggunakan aplikasi seperti di bawah :

1) http://www.momondo.com/

2) http://www.travelstart.com.eg/

Selain daripada aplikasi-aplikasi yang saya nyatakan di atas, ada satu cara lagi untuk selalu mengemas kini dengan promosi-promosi harga tiket yang murah. Caranya ialah anda perlulah rajin mendaftar dan melanggan dengan syarikat-syarikat penerbangan utama yang ada menyediakan laluan penerbangan ke Eropah. Dengan cara ini, anda akan selalu memperolehi maklumat lebih cepat berkaitan promosi-promosi harga tiket yang murah.

Antara perkara yang paling penting untuk membeli tiket adalah anda perlu ada kad debit atau kredit

kerana tiket-tiket ini tidak dijual oleh mana-mana agen dan anda akan beli sendiri secara atas talian. Jadi, marilah kita beramai-ramai menggunakan kad debit!

 

Berapa harga tiket ke Eropah yang dikatakan sebagai murah?

Terserah kepada anda untuk menilai harga tiket yang dikatakan sebagai murah tetapi di sini saya ingin berkongsi harga tiket penerbangan berdasarkan pengalaman-pengalaman saya sendiri.

1) Pada Oktober 2012 (cuti raya haji), saya telah ke Turki menaiki Turkish Airlines dari Sharm El-Sheikh ke Istanbul Atarturk dengan tiket pergi balik yang hanya berharga 100 Euro.

2) Pada 28 Januari 2014, Point of Entry saya adalah Milan Malpensa dari Sharm El-Sheikh menaiki EasyJet dengan tiket berharga 35 Euro manakala tiket dari Milan ke Sharm El-Sheikh dengan tiket berharga 25 Euro. Murah kan?

Perlu diingatkan bahawa tiket ini telah dibeli seawal bulan Disember lagi. Harga tiket EasyJet ni sering berubah-ubah dan akan menjadi semakin mahal. Jadi perancangan awal amat penting untuk menjimatkan kos. Harga tiket 25 Euro boleh menjadi tiga kali ganda lebih mahal jika anda membelinya lewat.

3) Pada bulan September pula, saya memilih Geneva sebagai Point of Entry dari Hurgada. Tiket ini dibeli pada awal bulan Mac dengan harga 64 Euro. Harga tiket sewaktu musim panas lebih mahal berbanding sewaktu musim sejuk, jadi saya membuat keputusan untuk membeli tiket 5 bulan lebih awal.

 

Langkah 3: Menyediakan pelan laluan (Route Map)

Saya tidak pasti sama ada ramai antara kita ada menyediakan pelan laluan atau tidak. Walaubagaimanapun bagi saya, saya akan menyediakan pelan laluan ini untuk memudahkan pergerakan saya di sepanjang tempoh percutian saya.

Antara kelebihan-kelebihan pelan laluan ni adalah seperti :

1) Ia memberi panduan dan hala tuju perjalanan anda sepanjang tempoh backpacking.

2) Ia akan mencetuskan lebih banyak idea tentang destinasi-destinasi menarik sepanjang laluan trip backpacking anda.

3) Ia akan membantu mencambahkan idea atau memberi idea tentang laluan-laluan alternatif yang anda boleh sesuaikan dengan perancangan anda yang asal.

Bagaimana hendak menyiapkan pelan laluan ni?

Sebenarnya terdapat banyak cara, sekiranya anda seorang yang malas, cetak sahaja peta atlas lukis pelan di atas peta. Jika anda rajin dan bersemangat anda boleh juga menggunakan software ‘Paint’ untuk melakar pelan perjalanan ini. Jika malas juga, anda boleh menggunakan laman web tripline (www.tripline.net) atau indie bootsnall (http://indie.bootsnall.com/).

 

1625687_864805463539965_4221487002773710884_n
Contoh Route Map saya sewaktu musim sejuk 2014

 

10898161_864805340206644_4689585140063286661_n

Contoh Route Map saya sewaktu musim panas 2014

 

10487575_864805386873306_6639476674253108705_n

Contoh Route Map saya sewaktu musim panas 2014

 

Langkah 4: Membuat survei dan tempahan tiket penerbangan / keretapi / bas rentas sempadan

Menurut pengalaman saya, kalau saya menjelajah ke Eropah, saya akan pergi ke beberapa buah negara. Pemilihan negara-negara ini bergantung kepada lokasi atau tujuan saya ke sana. Selain tu, perlu juga pertimbangkan aspek cost effective nya.

Jadi, setelah anda tetapkankan negara mana dan jalan mana yang akan anda gunakan dalam trip itu, selesaikan hal-hal pengangkutan pula. Untuk pengetahuan anda, jangan terlampau risau tentang pengangkutan di kebanyakan negara-negara di Eropah (terutamanya negara-negara Western Europe) kerana sistem pengangkutan mereka sangat canggih dan efektif.

 

 Jalan Udara atau Jalan Darat?

Persoalannya sekarang, hendak pilih jalan udara atau jalan darat untuk bergerak dari sebuah negara ke negara yang berikutnya? Bagi saya, faktor utama yang saya pertimbangkan adalah kos dan masa. Jika jarak antara satu destinasi ke destinasi tu agak jauh, saya lebih suka untuk memilih jalan udara. Di Eropah terdapat banyak penerbangan kos rendah yang boleh digunakan, dan jika anda tempah awal anda mungkin mampu untuk dapat harga tiket serendah 9 EURO! Berikut adalah antara syarikat penerbangan kos rendah yang ada di Eropah :

1) Easyjet. Merupakan syarikat penerbangan kos rendah yang berpangkalan di London. Satu kelebihan menaiki easyjet ini ialah tiada had berat untuk bagasi tangan dengan syarat saiz bagasi yang anda bawa ke dalam kapal dalam had dimensi 56 X 45 X 25 cm.

10917819_864805133539998_3894379273219924560_n

Harga tiket untuk 3 orang yang dibeli sewaktu trip musim sejuk 2014

10924754_864805216873323_8697960571309427372_n

Harga tiket untuk 3 orang yang dibeli sewaktu trip musim panas 2014

 

2) Wizz Air. Syarikat penerbangan kos rendah yang berpengkalan di Budapest, Hungary. Saya pernah menaiki kapal ini dari Milan ke Budapest dengan harga hanya 15 Euro.

10906323_864805123539999_9142187747666623023_n

Harga tiket untuk 3 orang yang dibeli sewaktu trip musim sejuk 2014

 

3) Norwegian Air Shuttle. Kalau anda melancong di antara negara-negara Scandinavian, inilah pilihan terbaik untuk syarikat penerbangan kos rendah di sana. Kawan saya pernah terbang dari London ke Stockholm dan apa yang menariknya terdapat wifi onboard percuma!

10406394_864805223539989_5452459352803001651_n

10409711_864805280206650_688106059031074138_n

10455645_864805240206654_1164057621066927189_n

4) Transavia. Syarikat penerbangan kos rendah yang berpengkalan di Amsterdam dan Paris. Had berat untuk bagasi tangan adalah 10kg.

5) Ryanair. Syarikat penerbangan kos rendah yang berpangkalan di negara Ireland. Ryanair mungkin menawarkan tiket pada harga yang lebih murah berbanding dengan syarikat penerbangan kos rendah yang lain tapi servisnya agak kurang memberansangkan. Bukan pilihan yang baik bagi saya!

 

6) WOW Air. Syarikat penerbangan kos rendah yang berpengkalandi Iceland.

7) Pegasus Airlines. Kalau anda mulakan perjalanan dari Istanbul, pilihlah Pegasus Airline . Syarikat ini mempunyai servis yang agak baik.

Selain daripada syarikat penerbangan kos rendah yang saya nyatakan di atas, ada juga beberapa syarikat lain yang boleh anda pilih. Antaranya ialah :

1) SmartWings (Berpengkalan di Prague, Czech Republic)

2) Niki (Berpengkalan di Vienna, Austria)

3) Germanwings (Berpengkalan di Cologne, Germany)

4) Air One & Blue Panorama Airlines (Berpengkalan di Italy)

5) Vueling (Berpengkalan din Barcelona, Spain)

6) Flybe & Jet2.com (Berpengkalan di UK)

Jalan Darat

Kalau anda memilih jalan darat untuk berjalan antara sebuah negara ke negara lain, jadi kereta api adalah pilihan terbaik. Di Eropah, kereta api yang paling popular ialah Eurostar, TGV dan Thalys. Servisnya juga sangat bagus dan sangat menepati masa. Kalau nak tahu lebih lanjut lagi bagaimana cara melancong dengan kereta api di Eropah, anda boleh rujuk di laman web Seat61, memang lengkap dan terperinci penerangannya.

Kalau anda mahu perjalanan yang lebih murah, naiklah bas. Setakat ni saya pernah menaiki bas Eurostar, Student Agency (Prague), ALSA (Spain), Slovak Lines (Slovakia) dan lain-lain. Bagi saya bas Student Agency dan bas di Turki adalah terbaik kerana menyediakan sedikit makanan, kopi dan Wifi percuma.

Sebelum saya terlupa untuk pengangkutan dari Kaherah ke Sharm El-Sheikh atau Hurgada, anda boleh cuba menggunakan Go Bus(berdekatan Hotel Hilton,Tahrir). Harga untuk kelas pertama sekitar 100 LE manakala harga tempat duduk biasa sekitar 55LE. Suka untuk saya ingatkan supaya anda menjaga barang anda sebaiknya kerana saya pernah kehilangan beg bagasi sewaktu menaiki bas ini. Perjalanan menaiki bas ini juga agak jauh iaitu sekitar 8 jam. Murah kan?

Saya nasihatkan anda untuk datang sehari lebih awal di Sharm El-Sheikh atau Hurgada dan menginap di sini sebelum memulakan perjalanan ke Eropah. Banyak aktiviti menarik yang dapat anda lakukan di sini seperti quadbike, snorkeling dan scuba diving. Kalau setakat nak lepak dan jalan-jalan pun memadai memandangkan kawasan yang sangat cantik.

 

 Langkah 5 : Mencari dan membuat tempahan tempat penginapan

Setelah selesai segala urusan logistik, anda perlulah mencari tempat untuk anda berteduh dari hujan dan panas. Segala urusan tiket telah anda selesaikan, dengan kata lain segala waktu perjalanan antara sesebuah negara/tempat telah anda maklum, saya nasihatkan anda untuk membuat catatan perancang perjalanan anda, saya bagi contoh perjalanan saya pada cuti musim sejuk 2013.

10920252_864805460206632_6092343077543714441_o

Ini adalah waktu perjalanan kami antara Switzerland (Geneva) dan Germany (Berlin).

Perhatikan pada 28 haribulan, kami akan bergerak ke Berlin dari Geneva pada 6.40 petang dan akan sampai jam 8.25 malam, jadi malamnya kami menginap di U-inn Berlin dan begitu juga pada malam 29 haribulan, memandangkan kami sudah merancang untuk menghabiskan dua hari di Berlin.

Namun perhatikan pada 30 haribulan malam, kami keluar dari Berlin menuju ke Madrid dan tiba jam 6.00 petang. Namun disebabkan flight keesokan harinya (Tiada dalam gambar) adalah jam 5.00 pagi, kami membuat keputusan untuk tidur di airport sahaja.

Anda sangat-sangat dinasihatkan untuk buat planner agar anda tahu secara terperinci mengenai rancangan perjalanan anda dan masa penerbangan anda.

Sebenarnya tidur di lapangan terbang ini seronok. Saya sendiri pernah tidur di Haneda Airport, Kansai Airport, Geneva Airport, Milan Airport, Sciphol Airport, Muscat Airport, Doha Airport, Abu Dhabi Airport dan Prague Airport. Saya sering merujuk laman web www.sleepinginairports.net/tips.htm sebelum membuat keputusan untuk tidur di situ.

Pelan rencana sebenarnya membantu kita untuk mengenal pasti tarikh mana yang kita perlukan tempat tinggal. Anda boleh merujuk laman-laman web di internet untuk membuat tempahan. Berikut sebahagian yang saya gunakan :

  • hostelworld.com
  • hostelbooker.com

 

 Tips :

  • Carilah tempat tinggal yang bersesuaian dengan jarak ke destinasi jalan-jalan dan bajet anda.
  • Perhatikan juga pandangan dan komen dari orang yang pernah tinggal disitu. Sekiranya anda pandai menggunakan peluang, anda bakal dapat tempat yang menyediakan sarapan percuma.
  • Mencari asrama yang mengasingkan penggunaan bilik dan tandas mengikut jantina.

Anggaran tempat tinggal di eropah satu malam dalam belasan Euro sahaja untuk seorang. Untuk tempahan asrama ini, biasanya pihak asrama akan meminta 10% wang deposit yang anda akan bayar menggunakan kad debit anda dan baki selebihnya anda akan bayar setibanya anda ke lokasi penginapan.

Langkah 6 : Penantian Mendebarkan

Setelah semuanya selesai, anda boleh menarik nafas lega dan hanya perlu menanti tarikh tersebut sahaja. Jangan mengganggu konsentrasi anda dalam belajar atau segala perkara lain.

Akhirnya, saya menyarankan untuk anda menyertai group facebook backpackers tegar di Malaysia untuk mengetahui segala maklumat dan perkongsian pengalaman dan cara menjadikan perjalanan anda lebih menarik. Anda boleh menyertai mereka di Malaysian Backpackers Club dan Backpackers Buddies Malaysia.

Happy backpacking!

 

Muhd Hasif bin Kamarudin