Markas Syabab, Zenhom, 12 Disember – Keluang Man, Joe Jambul, Upin & Ipin, dan Boboiboy, itulah nama-nama pasukan atau rumah sukan pada Ultimate Family Outing (UFO) ‘2014. Acara Hari Keluarga yang merupakan program tahunan dalam kalendar PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) ini telah membawa seluruh warga PCK kembali ke alam kanak-kanak dengan temanya “Reminiscing Our Childhood Memory”.

Empat sukaneka telah dipertandingkan iaitu dodge ball, pijak belon, galah panjang, dan baling selipar. Di samping itu, turut diadakan Explore Race bagi para akhawat serentak dengan sukaneka yang sedang berlangsung. Keempat-empat sukaneka ini turut menyaksikan penyertaan daripada ahli PERUBATAN Cawangan Tanta (PCT) yang hadir dan diserap masuk ke dalam setiap pasukan.

Bagi merebut gelaran Juara, keempat-empat rumah sukan telah berusaha sehabis baik. Bermula dari pakaian dengan warna yang seragam beserta button badge, sorakan yang mencuit hati dan gegak gempita, bendera dan sepanduk yang kreatif, sehinggalah botol kosong yang dicat warna pasukan untuk menyemarakkan sorakan.

Kalah menang adat pertandingan. UFO tahun ini telah menobatkan rumah Upin & Ipin sebagai Juara, Joe Jambul sebagai Naib Johan, Keluang Man di tempat ketiga, manakala Boboiboy terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat. Kelainan UFO ’14 adalah dengan adanya anugerah-anugerah khas kepada ahli PCK, iaitu ‘Ketua Rumah Sukan Terbaik’ (ikhwah & akhawat), dan ‘Ahli Aktif’ bagi setiap pasukan (ikhwah & akhawat).

Bersempena dengan bahang Pilihanraya PCK yang akan menjengah, turut diadakan sesi pengenalan calon AJKT, Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan MTP yang telah dikendalikan oleh Jawatankuasa Pilhanraya Cawangan (JPC) PCK untuk sesi kepimpinan 2015/2016. Kelainan yang dibawa oleh JPC dalam mengendalikan slot ini telah menghiburkan ahli PCK, di mana setiap calon AJKT telah melakonkan adegan-adegan daripada filem-filem klasik Melayu.

Turut mengisi slot UFO ’14 adalah slot penyampaian anugerah ‘Musrif Terbaik’ mengikut kawasan oleh Jabatan Keselamatan & Sosial Islam (JAKSI) PCK. Musyrif Terbaik bagi kawasan Mounira ialah Muhammad Khalis bin Abu Hussin, Mohamad Hifzhan Arimi Bin Mohamad Hidzir bagi Sayyeda Zainab, Aimatnuddin Husairi Bin Hussain bagi Abou Rish, dan Mohammad Azizul Bin Kamaruddin bagi Zenhom.

Hari Keluarga PCK telah berakhir tepat jam empat petang dengan sesi penyampaian hadiah dan sesi bergambar. Ternyata UFO ’14 mempunyai kemanisannya yang tersendiri berbanding tahun sebelum ini walaupun keadaan PCK yang semakin kurang bilangan ahlinya. Semoga kita semua beroleh ‘piala ukhuwah’ dan dapat menjaganya bersama-sama.

 

bBoboiBoy

 

jJoe Jambul

 

kKeluang Man

 

uUpin & Ipin

Berita disediakan oleh,

Nur Farzana Sahira bt Ariffudin
Unit Liputan,
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015