Panggilan penuntut atau orang yang menuntut lebih signifikan digunakan kepada orang yang ingin mempelajari ilmu. Kata ‘menuntut’ menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka bersinonim dengan meminta, memohon, mendapatkan,memperoleh, mempertahankan dan berusaha ke arahnya.

Andai ilmu diasosiasikan dengan kata sinonim tersebut, maka yang akan kita dapat fahami dari istilah menuntut ilmu ialah ibarat suatu proses untuk menguasai ilmu pengetahuan. Proses itu kemudiannya diteruskan untuk mempertahankan ilmu pengetahuan tersebut.

tholabul-ilmi1

Darjat dan Kedudukan

Kelebihan penuntut ilmu atau orang berilmu ini cukup banyak dirakam dan diangkat dalam kalam-kalam suci-Nya.

Dalam al-Quran, Allah SWT merakamkan kelebihan orang yang berilmu di dalam surah al- Mujadalah, ayat 11. Ibnu Abbas, dalam menjelaskan ayat tersebut mengatakan bahawa, tingkatan antara satu darjat dengan darjat yang lain ibarat berjalan kaki selama 500 tahun.

يرفع الله الذين أمنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت

(Surah al-Mujadalah, ayat ke-11)

 

Dalam surah al-Baqarah, ayat 269, Allah mengelaskan orang-orang yang mendapat hikmah (ilmu) sebagai orang yang mendapat kebaikan yang cukup banyak. Pujian Allah SWT ini juga turut dirakamkan di dalam surah Ali-Imran, ayat 18, di mana Allah mengangkat darjat orang-orang yang berilmu ini senafas dengan para malaikat dalam ayat yang berbunyi,

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

(Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu,maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.)

[Surah Al-Baqara : 269]

Belum cukup setakat itu sahaja, Al-Maraghi menjelaskan hikmah keseluruhan surah al-A’laq menyatakan, hikmah Allah menciptakan manusia (dan wahyu pertama ialah seruan membaca), adalah kerana Allah ingin mengangkat darjat manusia sehingga dapat menguasai dunia. Dan ini semua disandarkan dengan ilmu.

 

Morning_Study_by_yuniarko

 

Hikmah yang Dituntut

Bagi orang yang beriman, proses menuntut ilmu adalah selari dan terkait dengan proses mengenal keesaan Allah, lantas meninggikan syariat-Nya. Proses ini bukanlah seperti yang difahami oleh barat yang hanya sekadar peralihan maklumat (transfer information), bahkan jiwa yang beriman akan tertunduk sujud merasai kewujudan Allah yang Maha Esa apabila melalui proses menuntut ilmu ini. Antara hikmahnya :

1) Tunduk dan taat akan kuasa dan syariat Allah

Imam Al-Ghazali dalam Minhajul al-Abidin menyatakan bahawa perjalanan seseorang hamba dalam menuju Allah SWT adalah tahap ketika dia menuntut ilmu. Kemudian akan disusuli dengan taubat kepada Allah SWT. Begitu juga Al-Maududi menjelaskan, manusia itu tidak mampu mentaati Allah, mengikut undang-undang-Nya, dan melalui jalan-Nya melainkan apabila ia mengetahui beberapa perkara dan ilmu pengetahuannya itu sampai kepada peringkat yakin.

Bahkan dalam surah al-Fatir, ayat 28, Allah SWT telah meletakkan posisi yang mulia bagi orang yang berilmu dalam kalangan hamba-Nya. Itulah hikmah yang diinginkan oleh Allah SWT ketika berkomunikasi dengan hamba-Nya, untuk tunduk dan takut kepada-Nya.

Masih dalam sudut yang sama, Imam Asy-Syafie rahimahullah menyatakan bahawa salah satu syarat bagi suatu ilmu itu adalah natijah dari proses menuntut ilmu itu akan lahir perasaan takut kepada Allah SWT.

2) Memilih untuk jahil dan rendah hati

Hikmah lain yang patut dicapai ialah merasa rendah diri dan jahil pabila semakin lama melalui proses menuntut ilmu. Kata Ibnu Mubarak, “Seseorang itu sentiasa alim selama mana dia menuntut ilmu. Apabila datang sangkaan yang beliau sudah alim, maka jahillah dia.”

Dr. Raghib al-Sirjani ketika menjelaskan 5 ayat pertama dalam surah al-A’laq menyatakan bahawa Allah SWT meletakkan dua syarat penting ketika membaca dan menuntut ilmu :

  • Pertama : Membaca perlu dengan nama Allah SWT dan tidak boleh membaca sesuatu yang Allah murka.
  • Kedua     : Membaca tidak akan mengeluarkan kita dari sifat rendah diri. Kita tidak boleh sombong dengan ilmu yang ada.Tetapi kita perlu sedar bahawa Allah SWT yang mengurniakan kepada kita ilmu.

Daripada dua hakikat ini, jelas menunjukkan bahawa hikmah menuntut ilmu akhirnya akan menundukkan jiwa manusia kepada kuasa Allah SWT yang Maha Agung hatta kepada makhluk-Nya. Benarlah apa yang dikatakan oleh orang-orang tua dahulu, jadilah kita ibarat resmi padi,makin berisi makin tunduk.

 

3) Membina masyarakat yang bermanfaat

Antara hikmah lain bagi penuntut ilmu ialah memastikan ilmu itu benar-benar berguna untuk membina jati diri dan peribadi masyarakat. Hakikat ini perlu lebih difahami oleh orang yang beriman. Dalam satu hadis Nabi Muhammad SAW,

مثل ما بعثني الله به من اهدى والعلم كمثل الغيث

(Allah membangkitkan aku dengan petunjuk dan ilmu,seumpama awan yang membawa hujan – Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Bahkan sifat hujan itu sendiri, jika diterbitkan dalam kehidupan akan memberi banyak manfaat hatta kepada sekecil-kecil tumbuhan.

 

Andainya ilmu itu tidak diambil hikmahnya,maka samalah mereka dengan masyarakat Yunani lampau. Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud dalam jurnalnya telah mengetengahkan bahawa masayarakat Yunani ini mengutamakan ilmu sebagai keutamaan tertinggi. Malangnya,mereka tidak mempunyai sumber rujukan yang normatif melainkan kepada akal dan tradisi. Malah, kehidupan seharian mereka langsung tidak terikat dengan sebarang unsur keagamaan. Maka, lahirlah masyarakat yang amat rosak nilai moralnya dan lebih mementingkan hedonisme dan materialisme.

free-vector-diversity-knowledge-book-tree_132983_Diversity_knowledge_book_tree

Tunduknya Seorang Penuntut

Dalam proses menuntut ilmu, hikmah dan tunduknya kita kepada Allah SWT adalah satu darjat yang amat susah dicapai. Kadangkala, dengan sistem yang berorientasikan ujian dan peperiksaan, kita ibarat menghabiskan seluruh proses pembelajaran kita semata-mata untuk mencapai gred yang cemerlang. Kita seolah dikepung stigma ‘market driven’. Andai kau gagal dalam ujian, maka kau akan gagal dalam hidup. Dan akhirnya, berlaku proses normalisasi lantas melunturkan tujuan (hikmah) menuntut ilmu itu sendiri.

Ibnu ‘Ajibah pernah berkata, “Jika kamu mahu cita-citamu berjaya dan hajatmu sampai, perlulah pada awalnya kamu kembali kepada Allah SWT. Buangkan segala keraguanmu untuk melakukan sesuatu dengan bergantung hanya kepada dirimu sendiri.”

Benarlah kata penyair arab;

إذا لم يعنك الله فيما تريده

فليس لمخلوق إليه البسير

ضللت ولو أن السماك دليل

فإن هو لم يرشدك في كل مسلك

Jika Allah tidak menolongmu apa-apa yang kamu kehendak,

nescaya tidak mungkin makhluk menolongnya,

Jika Dia tidak menunjukkanmu pada setiap jalan,

nescaya sesatlah kamu sekalipun pakar yang menunjukkannya.

 

Duhai ummah,bangunlah dari lenamu. Awasilah niatmu. Janganlah kerana keghairahnmu memandang pada angka, sehinngakan kau lupa tujuan sebenarmu di muka bumi ini. Pasakkanlah agenda utamamu untuk agama suci ini.

 

Mumtaz untuk ummah.

“Muslim Sejati, Generasi Rabbani”

Unit Biah Solehah

Biro Pembangunan Insan
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015