Color NEWApabila Adam Dikurniakan Ideris

Apabila Adam dikurniakan Ideris, baru aku mengerti erti memori ramainya pengunjung rumahku ketika Adam dilahirkan. Usiaku ketika itu 3 tahun. Makcik dan pakcikku melawat kami sekeluarga di rumah kecil 2 bilik milik kakitangan kerajaan. Aku tidak tahu erti ketidaksempurnaan Adam sehinggalah hampir setiap minggu dia di bawa menerima rawatan.

Hampir setiap minggu pasti ada sahaja rawatan terbaru yang ibu dan ayah cuba ikhtiarkan. Walaupun kami berlima masih kecil, dikendongnya kami bersama dalam sebuah kereta kancil. Kebiasaannya urutan tradisional menjadi pilihan. Waktu malam hujung minggu menjadi pilihan kerana kesibukan ibu dan ayah bekerja sebagai guru di siang hari.

Ikhtiar baru dimulakan. Kami sekeluarga berpindah ke kampung halaman ibu dan ayah. Katanya di sana lebih mudah mendapatkan fasiliti rawatan Adam. Lebih dekat dan lebih ramai kenalan. Kos juga semakin kurang untuk berulang alik ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia bagi rawatan susulan Adam.

Keberadaan di bandar dipenuhi warga yang berbeza. Ibu pernah dimaki kerana terlanggar seorang warga muda ketika kabut menguruskan Adam ke dalam troli. Ibuku meminta maaf atas kesilapannya dengan penuh rendah diri. Ketika itu kami sedang membeli keperluan bulanan Adam. Adam memerlukan keperluan bulanan wajib yang bukan sahaja terdiri daripada ubatan malahan juga lampin pakai buang.

Apabila Adam dikurniakan Ideris, ketika itu usianya 7 tahun. Adam tahu beliau mempunyai tanggungjawab sebagai abang. Adam kurang merengek malahan bergembira mempunyai Ideris sebagai teman bermain. Apabila Ideris mula berjalan seawal umur 9 bulan, ibuku mula yakin. Yakin akan kurniaan Allah akan seorang pembantu yang bakal melindungi Adam.

Ideris pula sentiasa menginginkan 2 perkara. Perkara pertama untuk dirinya dan kedua untuk Adam. Kemana sahaja Adam pergi, pasti Ideris menemani. Ideris membantu menyorong kerusi roda Adam serta kelengkapan fizikal Adam. Jika bermain tenis Ideris membantu mengumpul bola. Namun, tidak pernah sekali Ideris berkesempatan membantu Adam ketika di sekolah dek kerana jarak umur mereka yang cukup berbeza.

Setiap hari, ibu dan ayah bergilir-gilir mengambil tugas menghantar Adam ke sekolah. Ibu menggunakan kudratnya bagi menurunkan dan menaikkan kerusi roda Adam ke dalam kereta. Adam mendapat pendidikan biasa di sekolah yang sama sepertiku sehingga tingkatan 5. Tetapi kerana kekurangan fizikal Adam untuk bergerak, hanya sekolah kebangsaan yang mampu dihadiri. Walaupun jarak sekolah agama begitu dekat dari rumah. Aku cuma mampu berharap agar Ideris yang bercita-cita mendalami ilmu agama mampu membimbing Adam kelak.

Aku paling menyelami perasaan menjadi pelajar yang ‘istimewa’. Adam bakal dianggap berbeza. Namun ketika Adam di tingkatan 3, Adam mendapat tawaran sebagai salah seorang peserta dalam Sambutan Hari Merdeka yang diadakan di Stadium Bukit Jalil. Nama Adam mula melonjak dalam kalangan warga sekolahnya. Setahun kemudian, Adam sekali lagi mendapat tawaran membaca ikrar ketika Sambutan Hari Merdeka di Dataran Merdeka. Pengalaman yang tidak boleh Adam lupakan apabila dia gugup memberikan jawapan ketika ditemu ramah live oleh Ally Iskandar.

Kini Adam mula yakin bertemu masyarakat. Sebelum ini Adam sering dilihat asing berkerusi roda dalam masyarakat. Mana tidaknya, usianya masih muda tetapi sudah berkerusi roda dan memakai kasut yang direka khas. Adam mula berasa yakin apabila diberi kepercayaan untuk mewakili negara dalam sukan paralimpik. Adam ditemani ayah bermain mono-ski di Korea pada bulan Februari 2011.

Aku sedikit gementar apabila Adam bakal bertemu pula dengan warga asing, bagaimana pula penerimaan mereka terhadap Adam? Namun kebimbangan aku ternyata tidak berasas apabila Adam bertambah gembira bertemu rakan-rakan yang senasib dengannya. Mungkin juga persamaan fizikal sesama mereka menambah lagi nilai yakin diri.

Setiap tahun yang berikutnya Adam didatangi tawaran bermain ski di Alpensia dan berlatih tenis di Australia. Cukup membuatkan Adam berasa teruja. Adam juga ditemu ramah produksi televisyen swasta bagi mendokumentasikan kisah hidup Adam. Tujuannya bagi menyedarkan masyarakat agar golongan seperti Adam yang dikenali sebagai Orang Kurang Upaya tiada beza kemampuan berbanding orang biasa.

Kini Adam sedang melanjutkan pelajaran di pengajian tinggi. Ayah masih meragui kemampuan Adam berdikari. Sayangnya ayah terhadap Adam melebihi peribahasa seperti menatang minyak yang penuh . Walaupun sudah mempunyai lesen memandu namun Adam mudah letih jika memandu dalam jarak yang jauh. Kaki kanannya yang sedikit pendek akibat dislocation pada hip joint dipercayai menjadi penyebab utama.

Aku tetap tiada fungsi dalam kisah hidup Adam. Sehingga aku berada di persediaan menyambung pengajian ke luar negara baru aku mengambil serius tentang kekurangan Adam. Secara khususnya selepas diberi assignment. Penyakit yang Adam hadapi ialah Acute Congenital Spina Bifida yang menatijahkan complete spinal cord injury.

Ibu mengandungkan Adam secara normal sehingga trimester terakhir dengan baik. Apabila ibu merujuk kepada pengawai kesihatan tentang bunyi yang didengari ketika sujud juga dianggap tiada apa. Jika aku ingin menyalahkan pengawai kesihatan kerana tidak melakukan pemeriksaan lanjut sudah pasti aku dikira tidak mengimani Rukun Iman yang keenam.

Karakter aku adalah sebagai pemerhati menilai jatuh bangun perasaan seorang ibu dan ayah. Cukup perit menerima ujian dikurniakan seorang cahaya mata yang kurang upaya. Tidak pernah ibu dan ayah menceritakan kepada kami, tetapi kini baru aku mengetahui. Beberapa video realiti , kisah ibu dan ayah yang menerima takdir yang serupa cuba aku hayati.

Hanya air mata kagum berlinangan. Tidak henti-henti aku mendoakan kebaikan buat ibu dan ayah. Di hadapan kami tidak pernah sekali ibu dan ayah mengeluh mahupun berkongsi masalah. Aku tiada kekuatan untuk aku bertanya walaupun aku berani. Kerana mereka jualah yang mengajarkan aku erti berani. Berani berhadapan dengan masyarakat walaupun mungkin dicaci.

Ibu dan ayah kini terus mempunyai beribu-ribu anak didikan. Pilihan menjadi warga pendidik di sekolah rendah begitu mulia. Pernah ayahku mengajar aku dan rakan-rakanku satu sesi pengajian. Aku kagum. Juga pengalaman diajar ibu sendiri yang walau hanya sehari kerana menggantikan guru yang tidak hadir. Ketika itu aku kurang selesa, namun aku mengakui kehebatan gaya pengajaran ibu yang tiada siapa mampu tandingi.

Setiap tahun ayah ibarat menjadi penerima wajib untuk cabutan bertuah ketika sambutan Hari Guru mahupun Hari Sukan. Tidak pernah diminta namun kerana keikhlasannya mendidik anak bangsa barangkali. Kelantangan ibu ketika mengajar juga pernah dikecam para ibu bapa pelajar apabila dipanggil kerana menghukum anak mereka. Aku percaya akan pendirian ibu dalam memegang amanahnya .

Kisah ibu, ayah, Adam dan Ideris ini sekadar perkongsian. Tujuanku agar masyarakat ini tidak membelakangi kurniaan Allah. Walau perit atau manis, ambillah kerana pengalaman hidup itu tiada nilaian untuk dibeli.

Akhir kalam, hargailah nikmat berkeluarga yang tunjangnya ialah kasih sayang. Aku tinggalkan potongan dari Surah ar-Rahman ini, cukup bagi memberi gambaran nilaian kisahku ini. Terima kasih sudi berkenalan dengan Adam dan aku mohon doa kalian kalian agar Adam dikurniakan kefahaman yang hakiki mengenal Illahi.

 

“Perancangan Berstrategi, Pengurusan Berintegriti”

anis zarina

 

 

 

 

 

 

Anis Zarina Binti Zarini
Naib Pengrusi II,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015