Pemuda itu menggigil, isterinya setia menenangkan dalam pelukan. Masih terngiang-ngiang di telinganya suruhan itu, “Bacalah. Bacalah. Bacalah.”

“Aku tidak tahu membaca” ulangnya berkali-kali.

Kenalkah kita dengan pemuda tersebut? Benar, pemuda itu ialah junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Peristiwa ini berlaku semasa baginda menerima wahyu yang pertama di gua Hira’. Dan wahyu pertama ialah Surah Al-‘Alaq ayat 1-5 yang terkandung perintah membaca kepada baginda.

20100529094346!Hira_cave

Apakah signifikan suruhan membaca sebagai wahyu pertama? Sudah tentulah kerana luasnya faedah membaca kepada kita, lebih-lebih lagi dalam fasa hidup seorang pelajar perubatan.

Rakyat Malaysia boleh dikatakan mempunyai kadar buta huruf yang rendah berbanding Negara-negara Asia Tenggara yang lain. Ini ialah suatu kelebihan, tetapi agak menyedihkan apabila statistik mendedahkan daripada 85% rakyat Malaysia yang membaca dengan kerap, 77% memilih suratkhabar, 3% membaca majalah, 3% menyukai buku  and 1.6% menggemari komik. Rakyat Malaysia terbukti lebih suka membaca bacaan ringan berbanding buku-buku yang lebih membina.

Suatu fakta yang terbukti, rakyat negara maju lebih banyak membaca buku berbanding bahan bacaan ringan. Maka menjadi kewajiban kita sebagai rakyat  negara membangun untuk lebih banyak membaca buku dan bahan-bahan ilmiah sebagai usaha membina diri seiring usaha negara ke arah negara maju.

Stitched Panorama

Bagi seorang pelajar perubatan, kepentingan membaca bahan-bahan bacaan ilmiah sangat besar. Ia membolehkan kita sentiasa terkehadapan dalam memahami bidang perubatan. Bidang perubatan masih menerima penemuan-penemuan dan kajian-kajian baru dari masa ke masa. Melanggan bahan bacaan berkala seperti British Medical Journal ialah suatu contoh yang baik agar kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung dalam dunia perubatan yang tidak henti berkembang.

Membaca juga merupakan satu cara mengisi masa lapang yang baik. Tenaga pemuda ialah suatu modal yang berharga, jika tidak digunakan ke jalan yang bermanfaat, maka sudah pasti ia akan cenderung ke arah perbuatan yang melalaikan dan merosakkan.

Ada dua perlakuan yang boleh membuka minda; mengembara dan membaca. Pilihan yang murah ialah mengembara melalui buku dan idea-idea membina daripada penulis. Pembaca akan meneroka idea-idea baru, bahkan terbang ke latar tempat penulisan yang dibacanya. Bukankah ia suatu alternatif yang murah bagi yang kurang berkemampuan berbelanja ke seluruh pelusuk dunia?

993482_624172844310024_1221794682_n

Sudah terang lagi bersuluh mengapa membaca ialah wahyu pertama yang turun kepada nabi Muhammad SAW. Sebagai umat yang mengambil pengajaran, kita sewajarnya memupuk diri menjadi ulat buku. Biar usahanya sedikit tetapi berterusan, biar mula bertatih dengan bahan sederhana berat, lambat-laun minda kita mampu berlari menghadam penulisan yang hebat.

Membaca jambatan ilmu, jika runtuh jambatan; tiadalah sampai ke pengkalan.

Selamat membaca dan menuai.

‘Achieve the highest, improve others’
Biro Akademik
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015