Satu perjumpaan rasmi telah diadakan antara wakil Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Kaherah dan pihak pentadbiran universiti pada 10 november yang lalu. Perjumpaan ini diketuai oleh saudara Haniz Iqbal bin Hazaidi;Pengerusi dan turut dihadiri beberapa AJKT lain. Antara yang hadir adalah Farah Hanin Binti Mohd Azmi;Timbalan Pengerusi, Ainatul Mardhiah Binti Mohammadin;Timbalan Setiausaha, Muhammad Zofir Wajdi Bin Arip;Ketua Biro Akademik (BCAD) dan Muhammad Faisal Arief Bin Suhaimi, Ketua Biro Sukan dan Aktiviti Luar (BSAL).

Pihak pentadbiran universiti pula diwakili oleh Dr Amina Borhamy, selaku Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Dr Heba Mustafa, Koordinator Pelajar Praklinikal Malaysia.

Ketua BCAD, saudara Zofir membentangkan analisa keputusan peperiksaan pelajar Malaysia pada sesi 2013/2014 dan 2012/2013. Secara keseluruhannya, bilangan pelajar yang gagal dalam peperiksaan dan mengulang tahun semakin berkurang manakala bilangan pelajar cemerlang juga sedikit berkurang . Faktor perubahan sistem dilihat memberi kesan kepada bilangan pelajar yang mengulang tahun.

Beberapa isu turut dibangkitkan, antaranya isu pembayaran Syahadah Qiid dan isu buku teks Tahun Empat yang masih belum dikeluarkan.

Dr Amina memaklumkan bahawa pelajar Malaysia tidak perlu melakukan sebarang pembayaran sama ada untuk syahadah atau transkrip keputusan peperiksaan. Berkenaan kelewatan pengeluaran buku teks Toxicology Tahun 4, Dr Amina memaklumkan bahawa buku masih belum siap namun tidak perlu bimbang kerana soalan end round akan diambil dari buku teks lama.

Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah perjalanan pembelajaran Tahun 1 dan cadangan tarikh Graduasi bagi Tahun 6, Gen 08.

Ketua BSAL turut menzahirkan penghargaan kepada Dr Amina kerana sudi menghadiri booth LUB DUB pelajar Malaysia baru-baru ini.

Pihak pentadbiran turut memuji usaha PCK yang sangat baik dan berterusan dalam menjaga kebajikan serta akademik ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah khususnya.

Perjumpaan rasmi seperti ini dilihat mampu menjadi ruang kepada persatuan untuk menyampaikan permasalahan ahli dan mengekalkan hubungan baik dengan pihak universiti.

Perjumpaan berakhir pada pukul 3.45 petang.

 

panin

 

Disediakan oleh,

Ainatul Mardhiah Binti Mohammadin,

Timbalan Setiausaha,

PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015.