Color NEW

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi masih dikurniakan peluang dan ruang di atas muka buminya untuk terus bernafas dan bergerak dalam mencari keredhaannya.Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W berserta keluarga dan para sahabat baginda.

 

Sabda Nabi Muhammad S.A.W

مَنْ سَلَكَ طَريقاً يَلتَمِسُ فِيه عِلماً ، سَهَّلَ الله لَهُ بِهِ طَريقاً إلى الجَنَّة

                “Barangsiapa menempuh suatu jalan mencari ilmu padanya, niscaya Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga.”

Sesungguhnya dijanjikan Allah S.W.T kepada penuntut-penuntut ilmu akan ganjaran dan darjat yang tinggi disisinya. Tiadalah sebaik-baik ganjaran itu melainkan syurga Allah yang kekal abadi. Satu tawaran yang menarik daripada Allah S.W.T untuk hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh dalam perjalanan menuntut ilmu kerana kita tahu jalan itu bukannya mudah.

 

In sha Allah, untuk makluman semua,  cuti semester akan berakhir dan kuliah bagi sesi 2014/2015 akan bermula pada tanggal 11 Oktober 2014(Sabtu). Maka, kami menyeru kepada semua ahli PCK, sisa-sisa cuti yang berbaki ini gunakanlah dengan sebaik mungkin. Persediaan mental, fizikal dan rohani haruslah dilakukan untuk memastikan kita tidak lemas dalam cabaran dan tribulasi yang pasti mendatang. Yang bulat tidak datang bergolek , yang pipih tidak datang melayang, usaha dan tawakkal itu perlu dalam memastikan kita beroleh apa yang kita mahu.

 

Seiring dengan kehangatan permulaan kuliah ini, Biro Akademik PERUBATAN Cawangan Kaherah akan mengadakan program  Glow With Flow ’14 (GWF’14) pada pertengahan bulan Oktober, sebagai inisiatif bagi membantu sahabat-sahabat membuat persediaan yang diperlukan untuk menempuh tahun pengajian yang baru. Perkongsian, tips-tips dan nasihat daripada senior perlu kita ambil dan dijadikan pedoman untuk masa akan datang.

 

Kami juga berharap bermula saat ini, semua ahli PCK dapat menanamkan azam baru serta membulatkan tekad dalam diri untuk bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan sekali-kali tidak akan mengabaikan atau meninggalkan adab-adab ketika menuntut ilmu. Sudah menjadi sunnatullah, kejayaan akan dikecapi bagi mereka yang berusaha, bertepatan dengan pepatah Arab ;

“ Barangsiapa yang berusaha, dia dapat; dan barangsiapa yang menanam, dia pasti menuai.”

 

Marilah kita bersama-sama berusaha mencapai salah satu daripada agenda besar yang dibawa oleh PERUBATAN iaitu agenda Akademik. Akhir sekali, SELAMAT KEMBALI KE KULIAH, Semoga kalian dipermudah segala urusan dalam perjalanan menuntut ilmu pada tahun ini. Sekian.

 

” Achieve the Highest, Improve Others “

“At-Takwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”

“Kita Keluarga PCK”

zofir

Muhammad Zofir Wajdi bin Arip
Ketua Biro Akademik (BCAD)
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015

zateel

Zateel Fahada Binti Rusli
Timbalan Biro Akademik (BCAD)
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015