Belakangan ini, seluruh dunia menjadi tanda tanya dengan fenomena menyiram air yang berisi ais di atas kepala seseorang. Fenomena yang dikenali sebagai Ice Bucket Challenge ini semakin hari semakin mendapat sambutan ramai melalui media sosial.

140818EKUClasses

Apa itu Ice Bucket Challenge?
Ice Bucket Challenge atau juga dikenali sebagai ALS Ice Bucket Challenge merupakan kempen untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) di mana peserta harus menyiram sebaldi air yang berisi ais ke tubuhnya dan mencalonkan tiga nama lain untuk menyahut cabaran tersebut. Jika mereka yang dicalonkan tidak mampu menyahut cabaran tersebut, mereka perlu menyumbang sebanyak USD 100 kepada Yayasan ALS untuk membiayai kos kajian dan penyelidikan tentang penyakit tersebut serta penawarnya.
Siraman air yang berisi ais tersebut adalah bertujuan untuk berkongsi rasa sakit yang sama seperti yang dirasai oleh penghidap penyakit ALS.

Definisi ALS

Amyotrophic Lateral Sclerosis yang dikenali juga sebagai Lou Gehrig merupakan sejenis penyakit yang mengganggu urat saraf yang boleh menyebabkan pesakit lumpuh dan meninggal dunia jika tidak dirawat. Namun sehingga kini, penyakit ini masih tiada rawatan khusus dan tiada rekod penyembuhan. Pesakit yang menghidap penyakit ini akan kehilangan upaya untuk bergerak, bercakap, mengunyah, dan bernafas. Jangka hayat bagi pesakit ALS adalah selama 27 bulan.

alsnerves

Menurut ALS Association di Kanada dan Amerika Syarikat, purata penghidap ALS adalah 2 orang bagi setiap 100,000 orang. Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari adalah seorang penderita penyakit ALS di Malaysia.

Sejarah Ice Bucket Challenge

Cabaran menyiram ais ini bermula di Amerika Syarikat pada pertengahan 2013 apabila sahabat kepada bekas kapten bola sepak Boston College, Pete Frates yang disahkan menghidap penyakit ALS pada 2012 mencabar rakan sepasukan yang lain untuk menyertai cabaran tersebut. Cabaran ini kemudiannya menjadi ikutan di laman sosial dengan penyertaan ramai selebriti seperti Justin Bieber, Lady Gaga, Mark, Bill Gates, Mark Zuckenberg dan ramai lagi. Sementara di Malaysia, tokoh politik seperti Khairy Jamaludin yang merupakan Menteri Belia dan Sukan adalah antara yang terawal menyahut cabaran ini, diikuti oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, juga tidak ketinggalan selebriti-selebriti terkenal tanah air.

SoftBank Corp. Chief Executive Officer Masayoshi Son Takes The Ice Bucket Challenge

Risiko dan Kesan Ice Bucket Challenge

Fenomena ini sedikit sebanyak telah memberi impak yang positif dalam memberi kesedaran kepada masyarakat seluruh dunia tentang penyakit ALS. Secara tidak langsung, kajian dan penyelidikan tentang penyakit ini dapat dilaksanakan atas sumbangan ramai.

Namun begitu, cabaran ini mempunyai risiko yang tinggi buat mereka yang berusia atau mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi. Siraman ais ke tubuh boleh menyebabkan kejutan kepada badan dan mungkin boleh menyebabkan mereka pengsan. Pengkaji Kesihatan Awam Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaleha Md Isa berkata aktiviti ini perlu dielakkan bagi golongan tersebut. Kajian menunjukkan perubahan suhu badan secara mendadak akibat aktiviti ini boleh meningkatkan tekanan darah dan menjadi lebih teruk terutamanya bagi penghidap penyakit tekanan darah tinggi.

pregnant-ice-bucket-challenge

Setakat ini, hanya satu kes kematian seorang remaja perempuan akibat sahutan cabaran ini telah dicatatkan.
Secara tuntas, cabaran ini tidak lagi menjadi asing bagi masyarakat seluruh dunia. Namun, perlu diingatkan tujuan utama cabaran ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan mengutip sumbangan sebanyak mungkin bagi membuat kajian tentang penyakit ALS. Oleh yang demikian, sebarang aktiviti suka-suka dan hanya sekadar ikut-ikutan tanpa memahami tujuan sebenar dalam menyahut cabaran ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat kita.

 

Aisyah Syahira Binti Abdul Hamid merupakan pelajar fakulti perubatan Kasr Al Ainy, Universiti Kaherah dan salah seorang penulis Unit Karyawan sesi 2014/2015. Artikel ini ditulis bersempena Ice Bucket Challenge yang menjadi cabaran yang disahut oleh kebanyakan manusia di serata dunia.