Hayyu Sabi’ – 17 OKTOBER -Bagi mencipta kelainan, Daurah Mentor kali ini diadakan selama satu hari satu malam bertempat di Markas Darul Hamka, Sabi’.  Daurah Mentor ini yang bertemakan Dai 200% adalah satu program tahunan Mentor Council(MC) yang bernaung di bawah Biro Pembangunan Insan (BPI).  Daurah Mentor ini membawa objektif yang besar iaitu memberi asas kepada para mentor untuk membawa Smart Circle, memberi ruang mempraktikkan uslub dakwah, dan memperkenalkan organisasi baru Mentor Council.

Para peserta tiba di Darul Hamka pada jam 9.00 malam, bertarikh 16 Oktober 2014 dan bangun  seawal jam 3.00 pagi bagi melakukan qiamullail, solat subuh berjemaah dan tazkirah subuh yang disampaikan oleh wakil dalam kalangan mentor sendiri.

Kursus ini dimulakan dengan perasmian pada jam 7.30 pagi yang disempurnakan oleh saudara Mohd Zaki bin Zainal Abidin, Setiausaha Agung merangkap Ketua Jabatan Pembangunan Insan PERUBATAN 2014/2015. Dalam ucapan perasmian beliau yang bertajuk “Dalil Perjuangan” , para mentor yang menyertai kursus ini diingatkan bahawa tugas mentor bukanlah arahan daripada sesebuah organisasi semata-mata, tetapi ia adalah satu perintah dan suruhan Allah yang harus diikuti oleh kita dalam perjuangan  menegakkan agama Islam berdasarkan ayat Allah dalam al-Quran, “Katakanlah (Muhammad), inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik” (Surah Yusuf: 108).

Majlis diteruskan dengan slot pertama yang bertajuk “Dakwah Tunjang Ummah”  yang disampaikan oleh ustaz Abdul Muni’m bin Syukur. Sebagaimana akar itu menjadi penguat sebatang pokok, maka dakwah yang mantap menjadi tunjang kekuatan sesebuah ummah. Melalui slot ini, para mentor didedahkan mengenai pengetahuan tentang fiqh dakwah atau ilmu dakwah kerana sebagai seorang mentor, pengetahuan tentang fiqh dakwah menjadi satu kewajipan bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja dakwah. Para peserta khusyuk mendengar pengisian tentang rukun-rukun dakwah iaitu, dai, mad’u, manhaj dan uslub.

10378088_722695194472263_2498607077379490474_n

Dalam misi menaikkan semangat para mentor, slot “Peranan Pemuda” diteruskan dan disampaikan oleh Presiden PMRAM, ustaz Haniful Fuad. Pengisian berkisar tentang keadaan umat pada zaman ini yang semakin jauh dari panduan Al-Quran dan Sunnah, dan peranan-peranan yang perlu dimainkan oleh para pemuda sebagai orang yang kuat yang berada di antara dua zaman kelemahan iaitu masa kanak-kanak dan masa tua. Sirah pelantikan Nabi Muhammad SAW. sebagai Rasulullah pada umur 40 tahun menjadi bukti bahawa zaman muda adalah zaman kemuncak para pemuda untuk menjadi agen perubahan pada sesuatu zaman.

Pada tengah hari pula, aktiviti Latihan Dalam Kumpulan(LDK)  yang bertajuk “Menuju Bintang” diadakan. Aktiviti yang dikendalikan oleh saudara Hafiz Nazri, Setiausaha PERUBATAN Cawangan Kaherah memberi peluang kepada para mentor mencipta visi dan misi dalam pembawaan Smart Circle masing-masing serta membentuk ahli-ahli SC yang proaktif. Selepas solat Jumaat, LDK diteruskan dengan perbincangan tentang “Pengurusan perbincangan & komunikasi berkesan”. Para peserta mempraktikkan cara-cara berkomunikasi dan penyampaian maklumat secara berkesan antara ahli kumpulan masing-masing sebelum dibawa ke dalam SC.

Kemudian kursus diteruskan dengan slot ‘Mentor 360°’ yang dibentangkan oleh, Ustazah Wan Amirah dan saudari  Nur Adibah Husna . Slot “Berjalan ke dalam hati” mengakhiri pengisian thaqafah dalam kursus ini. Slot ini menekankan tentang bagaimana ingin mengikat hati-hati ahli SC agar seruan dakwah menjadi lebih mudah.
10155071_722694577805658_1151905597217283335_n

Aktiviti kemuncak Daurah Mentor adalah Slot Mentor Council di mana berlangsungnya peralihan organisasi Mentor Council sesi lepas yang diketuai oleh Ahmad Luqman bin Ibrahim, pengarah Mentor Council 2013/2014 kepada Muhd Hasif bin Kamarudin, pengarah Mentor Council 2014/2015. Para peserta juga disajikan dengan video pengenalan organisasi baru Mentor Council. Ucapan perasmian penutup oleh pengerusi Perubatan Cawangan Kaherah, Haniz Iqbal bin Hazaidi mengakhiri Daurah Mentor pada hari itu. Para peserta amat berpuas hati dengan kursus kali ini kerana terdapat banyak pengisian yang bermanfaat dan padat.

10698512_722695854472197_5066926298400270043_n

 

 

Disediakan oleh,
Siti Nur Sabiha bt Ahmad Fadzil,
Unit Liputan,
Biro Penerbitan dan Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015