Tulislah sesuatu yang membuatkan orang teringin ke sana yakni-Tarim. Paling tidak pun, sekurang-kurangnya berjaya membuahkan rasa kasih dan ingin mendekati golongan ahlul bait, ulama-ul amilin para pewaris Nabi. Juga kepada yang tidak berkelapangan menghadiri daurah tahun lepas, saya teringat pesan Habib Umar ada mengatakan, ‘Terdapat orang yang belum sampai di Tarim,tapi hati mereka telah berkumpul bersama kita dek keazaman hajat mereka untuk menadah ilmu di sini pada ketika ini.’ Sementara untuk kita yang pulang, teruskan istiqamah menuntut ilmu.– Saudari Nusaibah Azmi, peserta Daurah as-Sofiyyah Tarim ke-19 sesi 2013 merupakan mahasiswi tahun empat Universiti al- Azhar.

[HAFLAH CINTA NABI]

صلاة بسلام المبين لنقط التعيين يا غرامي

Selawat dan salam persembahkan kepadamu kekasihku
Sesungguhnya untuk yang terkhusus wahai rinduku

نبي كان اصل التكوين من عهد كن فيكون يا غرامي

Sang Nabi awal penciptaan
Sejak masa kun fayakun wahai rinduku

ايا من جائنا حقا نذير مغيثا مسبلا سبل الرشاد

Wahai yang datang kepada kami membawa sebenar peringatan
Serta menuju petunjuk jalan kebenaran

يا رسول الله ضاوى الجبين و يا من جاء بالحق المبين

Wahai Rasulullah yang dahinya bercahaya
Wahai yang datang dengan kebenaran nyata

صلاة لو تزل تتلى عليك كمعطر النسيم تهدى ليكا

Selawat sentiasa tercurah ke atasmu
Bagaikan angin harum yang dihadiahkan kepadamu

Solatun Bissalamil Mubin – antara qasidah kegemaranku. Betapa sekalian qasidah yang banat Dar telah lagukan, entah mengapa ia lebih terasa dekat di hati tatkala kali pertama mendengar. Mungkin kerana susunan liriknya menggunakan kalimah-kalimah yang ringkas lantas mudah kufahami makna secara literal berbanding qasidah panjang lain.

kufic_qasidah_burdah_by_poecillia_gracilis19-d6mlsfe

Umum mengetahui, qasidah merupakan susunan bait-bait puisi yang dikarang oleh para ulama merangkumi kata-kata berbentuk luahan hati yang rindu, kekaguman dan puji-pujian kepada Allah atau seseorang yang dikasihi. Qasidah juga sebagai wasilah melempiaskan kecintaaan mereka kepada Rasulullah SAW, para sahabat Baginda, wali-wali Allah dan guru-guru mereka yang mursyid. Pesan sahabatku, “Di mana ada majlis dibacakan qasidah, dengarlah, ambil barakah sekalipun kau tak tahu maksudnya kerana nukilan qasidah tersebut lahir daripada kalam para Ariffin billah (golongan mulia yang mengenali Allah).”

Pada setiap Khamis malam Jumaat, penghuni Darul Mustafa dan Daruz Zahra’ berkumpul mengadakan sambutan Maulid Rasulullah SAW. Terma hiburan bagi mereka ialah melalui nyanyian qasidah beramai-ramai diiringi paluan gendang perbagai saiz serta alat dendangan yang lain seperti rebana, marwas, dan tamborin . Meski terdapat bait yang aku tidak mengerti tetapi apabila memandang wajah mereka yang berseri-seri dan mengungkapkannya sepenuh penghayatan sehingga mengalirkan air mata, rasa pengharapan akan syafaat mulia Baginda SAW perlahan-lahan tumbuh. Keasyikan yang kurasakan jauh lebih indah jika dibanding lagak menyanyikan lagu-lagu hampa nilai dengan alasan kononnya melegakan stres.

Di Daruz Zahra’, seruan dan sahutan “Sollu ‘alan Nabiy” akan acap kali kedengaran terutama ketika sedang menenangkan pelajar yang sedang berucap di hadapan, mengingatkan ayat hafazan yang terlupa, menggambarkan rasa kagum terhadap kalam yang didengar, juga meredakan kegembiraan terlampau kerana kegembiraan agung yang diimpikan sebagai umat Muhammad SAW ialah nikmat menatap wajah Rasulullah SAW di hari Akhirat kelak. Baginda SAW pernah bersabda ketika isterinya Saidatina Aisyah RA mengutip jarumnya yang terjatuh di lantai akibat sinaran terang wajah Baginda SAW di tengah kegelapan, Aisyah bertanya, “Siapakah yang tidak akan melihatmu di hari kiamat?” Nabi SAW menjawab,“Orang bakhil iaitu mereka yang tidak mengucap selawat kepadaku semasa mendengar namaku disebut.”

“Mengambil berat ke atas sunnah salah satu daripada adab hati dan meremehkan sunnah menunjukkan bahawa terdapat penyakit di hatinya kerana sunnah menjadikan orang yang menuju Allah beristiqamah pada amalannya dan itu adalah jalan imamnya.” – Habib Umar

Andai tidak keterlaluan, aku katakan bahawa sekiranya ingin menyelami kebahagiaan dan kemanisan hidup bercitrakan zaman Rasulullah SAW, datanglah ke Tarim.

3_31

“Katakanlah (Muhammad) jika kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampunkan dosa-dosamu dan Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (Surah Ali-Imran ayat 31)

[KOTA AULIYA]

“Mengingat dan menyebut orang soleh akan bercucuran rahmah.” – Sufyan bin Uyainah rahimahullah.

Rahmat dinisbahkan kepada rasa ketenangan dan jauh daripada sifat mazmumah. Limpah rahmat juga datang dalam bentuk Allah menempatkan kita di tempat dan posisi yang diredhai-Nya. Maka wajarlah ketika mengenali dan mengetahui peribadi para solehin dalam usaha melatih diri agar mencontohi akhlak mulia mereka yang berada dekat dengan rahmat-Nya.

Terdapat kawasan perkuburan khusus para ahlul bait dan sekalian auliya yang dinamakan Maqam Zanbal tidak jauh dari Darul Mustafa. Seluas mata memandang, nisannya juga seragam. Di sana terdapat beberapa buah kubah dan kawasan berbumbung. Antara wali yang dimaqamkan di situ ialah al-Ustaz al- Adzam Muhammad bin ‘Ali al-Faqihul Muqaddam yakni maqam terawal yang perlu diziarahi mengikut tertib ziarah maqam di Tarim, kemudian kami menziarahi maqam Syeikh Abdur Rahman As-Saqqaf, Ali bin Alwi Khali Qassam, Syeikh Umar bin Abdurrahman al-Muhdhar, Habib Abdullah al-Aidrus bin Abu bakar as -Sakran, dan Imam al-Habib Abdullah bin Alwi Al Haddad.

“Jika Ilmu tasawuf ini dapat digambarkan seperti sehelai pakaian, Imam al-Ghazali ibarat si pemintal kain, Imam As-Sya’rani ibarat pemotongnya, Imam al-Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad adalah penjahitnya.”

Semenjak kecil Imam al-Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad menghidap penyakit demam cacar yang mengakibatkan beliau buta sejak umurnya empat tahun. Namun beliau celik mata hatinya. Beliau digelar al-Haddad bukan hanya kerana pekerjaan beliau merupakan seorang tukang besi, tetapi kerana beliau disimbolkan sebagai seorang pakar yang boleh melembutkan hati-hati manusia yang keras seperti besi. Antara hasil kitab beliau yang diterjemah ke pelbagai bahasa dan menjadi rujukan utama pada hari ini ialah Al-Hikam, Risalah adab sulukul murid, An-nasoih ad diniyyah wal wasayail imaniy.

Qasidah-qasidah karangan beliau sering dimainkan seperti qasidah berjudul Qad Kafani, Alallah binnazrah, Ya Rasulullah Salamun Alaik. Selain itu, wirid al-Latiff dan susunan Ratib al-Haddad yang mengandungi himpunan potongan ayat al-Quran dan doa-doa ma’thur turut dibaca dan disarankan oleh ramai masyaikh sebagai zikir harian.

MakamImamAl-HabibAbdullahbinAlwiAl-

~Makam Imam Al-Habib Abdullah bin Alwi Al-Hadad~

“Sebaik-baik hati adalah yang bersih suci dari keburukan, yang tunduk kepada yang haq, dan petunjuk yang diliputi kebaikan. Sesungguhnya iman itu bermula muncul di dalam hati sebagai sinar putih, lalu membesar, hingga seluruh hati menjadi putih. Sedangkan nifaq itu bermula muncul di dalam hati seperti noda-noda hitam hingga seluruh hati menjadi gelap.” – Imam al-Haddad

Kami juga berpeluang menziarahi beberapa buah masjid bersejarah yang dibangunkan oleh para ulama seperti Masjid Ba’lawi, Masjid al-Muhdhar, dan Masjid as-Saqqaf. Kebanyakan ulama hebat mesti membina paling kurang sebuah masjid kerana menyedari akan pahala sedekah jariah yang akan ditimbal setelah amal lain terputus di muka bumi ini. Menariknya, pada bulan Ramadhan, penduduk Tarim mampu mengerjakan solat Tarawih di satu masjid ke masjid lain sehingga jumlah bilangan rakaat mereka boleh menjangkau 100 rakaat. Taktiknya begini; setelah tamat 23 rakaat solat tarawikh di Darul Mustafa contohnya, masjid lain yang telah ditentukan pula akan dibuka untuk 20 rakaat seterusnya, sehinggalah mencapai 100 rakaat pada satu malam. Sekali lagi aku nyatakan, malam Ramadan di Tarim benar-benar hidup dan meriah.

4_69

“Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah (iaitu dalam kalangan) para Nabi, para pencinta kebenaran, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh. Mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (Surah an-Nisa ayat 69)

28991597

~Masjid al-Muhdhar~

Kegigihan mereka para ulama, habaib, dan auliya menyebarkan ilmu ke serata dunia menjadi bukti bahawa rantai perjuangan dakwah Baginda SAW tidak akan pernah putus dan akan sentiasa kukuh. Paling penting, rasa hibbah dan muraqabah mereka perlu dijadikan kayu ukur meskipun kita tidak mampu mencapai martabat kesungguhan mereka beramal ibadah.

Sepanjang melewati lokasi-lokasi ziarah kami, terutamanya di maqam-maqam para auliya’, terbit suatu perasaan syahdu yang tidak dapat digambarkan. Suasana di sana cukup hening bercampur sayu. Selesai menyedekahkan al-Fatihah dan Yaasin kepada ahli maqam, kami berdoa setulusnya ke hadrat Ilahi agar dikurnia pemberian nikmat sepertimana dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya yang soleh.

Ustaz Syed ‘Aqil selaku penyelia rombongan kami ada berkata, “Kota Tarim ialah kota para wali sama ada yang zahir atau tersembunyi. Maka kita sebagai tetamu haruslah sentiasa husnuzzhon kepada Allah SWT dan kepada hamba Allah kerana kita tidak tahu mungkin sehina-hina manusia yang kita terjumpa, dialah wali yang mendapat kemuliaan tinggi di sisi Allah. Mungkin sahaja budak kecil, pengemis jalanan, atau tukang sapu di Darul Mustafa sekalipun. Wallahua’lam.”

[INTROSPEKSI DIRI]

Alhamdulillah, aku berpeluang menjalani daurah bersama muslimah yang hadir dari sekalian pelusuk dunia berkongsikan matlamat yang serupa. Pelbagai pengalaman aku dengar dan belajar meneladani. Ada dalam kalangan mereka yang baru bertatih mengenali prinsip rukun Islam, rukun Iman dan siapakah Tuhan. Ada juga yang baru memulakan langkah mencari erti hidup walaupun usia telah pun di hujung senja malah sudah berbongkok tiga. Bahkan sanggup meninggalkan harta, kerjaya lumayan mahupun keluarga demi menuntut ilmu sebagai bekalan menuju redha Allah.

Ada yang perlu menunggu giliran bertahun lamanya untuk menghadiri daurah. Terdapat segelintir daripada mereka yang tidak pernah pulang ke tanah air selama belasan tahun kerana rasa cinta dan serasi dengan ketenangan bumi Tarim. Kagum aku memikirkannya. Aku sangat kagum melihat mereka yang mensyukuri kurnia hidayah dan cekal bermujahadah demi sebuah niat murni iaitu Allah SWT semata-mata.

“Mak cik rasa di sinilah tempat mengingati akhirat. Umur mak cik sudah 60 tahun lebih, baru muncul rasa nak berbuat amal baik. Secara peribadi, mak cik kagum melihat kamu semua masih muda-muda sudah cintakan ilmu agama. Mak cik selalu berdoa kepada Tuhan jika mak cik dijemput pergi, biarlah mak cik mati dalam jalan mencari Tuhan. Sungguh, apa sahajalah kita nak bawa dari dunia yang kita sibuk-sibukkan ini.”

“Walau sudah berhari-hari di sini, akak selalu tertanya-tanya, sebab apa akak datang ke Tarim. Rasa macam tak percaya. Akak bukan seperti penghuni-penghuni di Daruz Zahra, akak datang dari latar belakang pendidikan dan keluarga yang sangat sekular. Kemudian akak dapat satu jawapan, iaitu untuk menjadi Muslim yang lebih baik tanpa mengira siapa pun diri kita sebelumnya.”

“Saya bekerja sebagai konsultan penjara. Tiap kali berdepan dengan banduan, hampir kesemua mempunyai masalah tak kenal Tuhan. Yang sayangnya, 60 peratus banduan penduduk negara saya ramainya Melayu dan tentu-tentu beragama Islam. Apabila saya cuba menasihat mereka, terfikir apa yang ingin saya cakapkan sedangkan ilmu sendiri pun tiada. Jadi, saya cadang hendak tinggal empat tahun di sini, balik nanti saya memasang cita-cita akan jadikan masjid sebagai pusat ilmu sebab saya dapati sekarang, remaja gelandangan macam mereka tiada langsung tempat berlindung dan mengadu.”

“Sangat beruntung orang yang faham dan boleh berbahasa Arab, saya masih merangkak lagi belajar. Nama saja ada keturunan Arab tapi saya tidak pandai gunakan. Tak mengapa, tiada istilah terlambat bukan. Kalau awak datang ke sini lagi, mesti Arab saya dah berhabuk sampai awak tak kenal.”

“Jika di Mesir adalah tempat untuk saya menuntut ilmu sebanyak-banyaknya menerusi apa jua cabang. Sementara di Tarim pula saya berkesempatan merebut ganjaran amal sebanyak-banyaknya. Bagi saya Al-Azhar ialah medan ilmu sementara Daruz Zahraa ialah medan adab. Kita semua tahu susahnya menjaga hati walaupun bertimbun kitab telah kita pelajari tanpa dilengkapi latihan melawan nafsu.”

Daruz Zahra (9)

Berikut antara kata- kata kenalan yang kupahat kemas dalam ingatan. Segala kekurangan atau halangan dihadapi telah mereka tanggapi sebagai sumber inspirasi dan tujahan kekuatan supaya mereka lebih tekad mendepani lekuk liku dalam fatrah menuntut ilmu. Betapa Tarim telah menyediakan medium tepat untuk berehat sebentar dari perkara lain yang melalaikan fokus kita terhadap erti sebenar kehidupan. Manusia secara fitrahnya berubah seiring peredaran masa sehingga ajal masing-masing tiba.

Pasti akan ada suatu masa dalam perjalanan hidup kita mencari aman, jiwa ini berkehendakkan jawapan akan petak-petak soal yang kian mengasak . Episod kesedihan demi kesedihan kita lalui dengan pasrah, sepertimana orang lain. Tetapi sering kita lupa, Allah akan mengikat hamba-Nya dengan tali kesusahan supaya sang hamba nan lalai itu kembali ke dalam ruang kasih-Nya. Serasa sudah dua kali aku dikurnia rezeki mengerjakan umrah di Baitullah-al-Haram namun pengalaman jiwa kali ini menganugerahkan impak ruhi yang berbeza.

[PESAN HARAPAN]

Seronok rasanya dapat kembali ke Tarim buat kali kedua. Bagaikan pulang ke kampung halaman, berpeluang berjumpa teman lama dan menebus apa yang tak sempat dibuat dulu. Tahun ini bilangan peserta bertambah ramai maka ada tertib Dar yang perlu diubah. Justeru semua perkara memerlukan disiplin tinggi. Oleh itu, pesan saya kepada bakal penziarah Tarim akan datang supaya menjaga niat selalu, perbanyakkan selawat, sentiasa berdamping dengan para ahbab, tidak membuang masa kosong, berukhuwwah dengan saudara yang turut hadir ke sana, jangan sentiasa dalam kelompok sendiri sahaja. Dan sentiasa menjadi harapan saya ingin ke sana lagi melepas rindu, menanam kasih, memaut cinta kepada yang berhak. – Saudara Muhammad Munawir Azman, peserta Daurah As-Sofiyyah ke-18 sesi 2012 dan ke-20 sesi 2014.

Di ruang surau Ummu Abiha berlangsung majlis penutup Daurah Sofiyyah ke-19 menyaksikan kami para peserta dan penghuni Daruz Zahra khusyuk mendengar tawsiyat yang disampaikan oleh para habaib. Wasiat terakhir Habib Umar di hadapan ratusan pelajar, benar-benar menyentuh hati. Ramai peserta tidak mampu menahan sebak tatkala Habib mula membacakan doa sehingga ada dalam kalangan mereka yang menangis pilu dengan suara yang kuat tanpa dapat dibendung lagi.

Antara sedutan daripada kalam para habaib ialah sifat tawaduk dan dahaga ilmu mestilah ditanam dengan lebih serius dalam diri setiap jiwa Muslim penggenggam kebenaran. Manakala sikap egois pula akan menghalang kemajuan diri seterusnya kekal dipekungi kejahilan. Mereka juga menegaskan bahawasanya daurah yang diadakan ialah bertujuan memupuk nilai yakin dan ikhlas menuntut ilmu. Bak kata seorang alim ulama, “Semasa belajar, aku selalu bermohon supaya aku menjadi seperti adunan roti. Biarlah ilmuku sedikit seperti garam manakala adabku seperti tepung.”

IMGP2213---large

~Suasana ketika hari terakhir Daurah Sofiyyah di Darul Mustafa~

Pagi itu terasa sendu. Percikan mentari seakan silu menerbitkan cahayanya. Sunatullah menjanjikan tiap permulaan akan punya pengakhiran. Di sudut bilik kecil tumpanganku, pakaian dan barang keperluan sudah selamat dimuatkan ke dalam bagasi. Tidak tinggal beberapa cenderahati pemberian banat Dar sebagai kenang-kenangan untuk dibawa pulang. Aduhai, berat rasanya langkahan kaki meninggalkan bumi berkah ini.

Selama 40 hari aku mendiami Tarim, saban detik aku dididik bermuhasabah perihal kealpaan dan kekhilafan diri sendiri. 28 Ramadhan 1434H seolah-olah menandakan tarikh kelahiran baru bagi bayi-bayi yang telah dijaga rapi dalam rahim ibunya. Sebuah memori perjalanan membawa seribu satu pengertian buat kami, para pencari dari pelbagai budaya dan bahasa yang bertemu lalu tertaut mahabbah persaudaraan. Kembara penyucian hati ini begitu luar biasa.

“Janganlah sekadar kau pulang dari Tarim tetapi pulanglah membawa Tarim.” amanat seorang teman Daruz Zahra kepadaku. Selamanya aku berdoa agar Tarim kekal bersamaku.

(تريم )
Ta itu Tasawuf.
Tasawuf ilmu selami hakikat diri,
tautan jiwa meredah kehidupan,
tiap penawar bagi sekalian pencari.

Ra itu Rahmat.
Rasa rindu takkan sesekali padam,
rahmat warga Tarim mendamai rasa,
rimbun kasih aku bertumpang teduh.

Ya itu Yakin.
Ya Allah, sembah syukur sedalam kalbu,
yakinkanlah aku pada apa jua ketentuanMu,
yang di balik semua pasti ada hikmahnya.

Mim itu Muhammad.
Malu sungguh mengaku benar cinta,
menuju syafaatmu aku masih bertatih,
Muhammad cahaya penyuluh jalan kami.

MasyaAllah,
Ya Tarim wa ahlaha.
08 Ogos 2013
Sana’a International Airport,
Yaman.

serambi-balcony

Alhamdulillah selesai sudah. Sekian, aku pilih Serambi menjuduli siri terakhir ini. Andai kita membayangkan struktur sebuah rumah, serambi ialah ruang lapang di luar sebagai tempat beristirehat menghirup nyaman suasana. Begitu juga hati kita mempunyai serambinya tersendiri. Galau keresahan yang membuntui hati pasti ketemu jalan keluar. Hiasi serambi hati itu dengan reda ketenangan, kefahaman ilmu, dan manifestasi cinta kepada ahli yang dicintai Allah yakni Rasulullah SAW, ahlul bait, para sahabat, dan para ulama solehin. Moga kita juga dapat berkumpul bersama-sama di serambi mahligai syurga kelak. Amin ya Allah.

Hanis Zikri binti Mohd Nahrawi merupakan pelajar perubatan tahun 4 Universiti Kaherah, beliau berpeluang mengunjungi bumi Tarim pada tahun lalu bersama dengan mahasiswa  Universiti al-Azhar bersempena daurah musim panas (Daurah as Sofiyyah) yang diadakan di Darul Mustafa dan Daruz Zahra pada setiap bulan Julai.