Color NEW

Kalimah muhasabah merupakan kalimah kedua paling popular selepas mesyuarat. Biasanya muhasabah kepada muhasabah atau mesyuarat ini tidak diikuti dengan tindakan susulanlalu kesilapan yang sama akan berulang. Kalau ditanya kenapa berulang maka jawabnya tiada tindakan susulan yang diambil. Silap ini memang sikap manusia, kerana tanpa silap, atau tidak mengaku silap, boleh jadi seperti Firaun, sampai merasa dirinya Tuhan.

Syukur Allah Maha Adil, diberi setiap jam 60 minit, setiap hari 24 jam, Ramadan pula sebulan (walau berbeza hari mengikut negara). Maknanya, semua manusia, Islam atau tidak diberi masa untuk kenal Allah Taala. Kalau dengan manusia, cinta ini selepas kenal, tapi dengan Allah, cinta dan kenal ini bersekali, seiring. Boleh jadi cinta dahulu baru kenal.

ramadhan

Mengenal Allah ini menerusi mulahazah (pandangan mengambil ibrah) dan muhasabah (menghitung dosa, melupakan pahala).

Nabi SAW apabila melihat bangkai kambing di tepi jalan, ditanyakan kepada para sahabat, “Ini apa?”

Sahabat menjawab, “Bangkai, ya Rasulullah.”

Baginda berkata, “Bukan, inilah dunia.”

Maknanya busuk dan sementara, tapi masih terhegeh-hegeh kita bertuhankan dunia. Demikianlah kita diajar sewaktu bulan Ramadan ini bahawa bukan Ramadan, solat tarawih, puasa atau zakat yang dikejar, tetapi mengenal dan mengejar cinta Allah.

Syeikh Ali Jumu’ah ketika disoal kenapa orang miskin perlu berpuasa sedangkan puasa ini untuk berkongsi rasa sengsara kurang makan serta selesa. Jawabnya, “Aku tidak tahu akan hal ini kerana puasa ini untuk menurut suruhan Allah sahaja”.

Pada bulan Ramadan manusia berlumba-lumba membaca al-Quran, bagi yang tidak berhijab mula berjinak berselendang atau bahasa modennya ber’shawl’ serta tidak ketinggalan rajin turun bertarawih. Khatib sejak satu Ramadan sehingga Hari Raya Aidilfitri berpesan, selepas Ramadan jangan lupa amalan begini, kalau boleh tingkatkan. Tetapi malang, seisi manusia dari Eropah sehingga Asia, muslimnya berpura-pura. Baiknya sewaktu Ramadan sahaja. Jadi kenapa pelik apabila dikatakan Islam kalahlah, Islam lemahlah, kalau ibadat sendiri pun susah nak jaga. Bagaimana mahu menjaga negara?

Menyebut soal negara, biasanya Gaza diserang sewaktu bulan Muharam.

gaza
Tetapi kali ini Ramadan menjadi pilihan. Kalau ditanya kenapa, jawablah wallahua’lam dahulu, kerana semua ini urusan Allah. Mulut manusia dan hati yang gelap akan berkata, zalim benar Allah membiarkan perang lebih-lebih lagi dalam dunia Islam. Zalim lagi kita mengabaikan hidayah Allah menerusi ayat manqul di bawah:

ومن أظلم ممن ذكر بآيات ربه ثم أعرض عنها ۚ إنا من المجرمين منتقمون

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya,
kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.”

(Surah al-Sajadah: 22)

Palestin ini secebis sahaja daripada episod penindasan umat Islam. Berjiran dengan kita rakyat Pattani dianaktirikan oleh kerajaan Thailand. Bangsa Rohingya sampai tiada negara. Sekurang-kurangnya Zionis berusaha keras dan didokong pula oleh kerajaan Amerika yang tiada pertalian bangsa mahu pun agama dengan mereka. Tetapi kita yang sebangsa dan seagama tidak mahu bantu-membantu dalam usaha pemboikotan misalnya, malah gatal mulut pula mengulas seperti serba tahu. Belum lagi sentuh soal politik, habis haru biru.

Maka jelaslah ceteknya pemahaman umat Islam terhadap makna jihad yang disebut dalam al-Quran. Padahal, Ramadan adalah bulan al-Quran dan bulan jihad. Saya sering mendengar loyar buruk mengatakan game itu ini atau sukan-sukan tertentu melatih semangat jihad. Jika sungguh, sudah tentu tidak timbul isu ponteng kelas, ponteng peperiksaan dan sikap sambil lewa ketika belajar. Ingat, jihad peperangan yang besar itu pun ada yang mengatasinya; iaitu jihad menundukkan nafsu.

Mudah-mudahan Allah kurniakan keampunan kepada kita dan seisi umat Islam. Semoga Allah mempertemukan kita dengan Ramadan yang akan datang agar kita dapat bertindak atas muhasabah-muhasabah ini.

Sekian.

“Profesional, Berintegriti, Bersistematik”

hafiz nazri

Muhammad Hafiz Bin Nazri
Setiausaha
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015