logo_jaksi_lightAdakah aku seorang yang lalai? Lagha? Hanyut dengan keduniaan? Tepuk dada anda, tanyalah diri sendiri dengan soalan-soalan ini. Anda sendiri tahu rutin harian masing-masing. Berbaki kesempatan masa lapang di saat ini, cuba nilai kembali rutin harian kita, sama ada kita ‘hidup bertuhan’ ataupun tidak?

hedonisme 1                                                      Muda lagi, enjoy dulu..

Hedonisme satu aliran pemikiran yang menjadikan kesenangan diri dan keseronokan sebagai satu-satunya cara untuk meraih kebahagiaan dalam kehidupan. Hujah para hedonis mudah sahaja, bahawa sejak dari kecil sehingga menginjak dewasa sampailah masuk ke alam tua, manusia perlu berusaha mencari kesenangan untuk keselesaan diri. Setuju? Lagi pula kesenangan diri perlu wujud untuk membantu manusia meringankan kesulitan yang dihadapi. Kesenangan diri perlu untuk membantu manusia melupakan kepayahan dan kesusahan yang ditanggung badan. Kesenangan diri ini perlu agar manusia dapat melaksanakan tanggungjawab yang dipikul dengan baik. Susah bekerja jika perut lapar. Kononnya susah berfikir kalau tubuh penat.

Pendek cerita, manusia perlu ‘disenangkan’ jika seseorang itu tidak mahu menderita. Semakin tinggi kesenangan diri yang dikecapi, semakin bahagia jadi dirinya. Untuk itu, setiap perkara yang dapat memberi kesenangan kepada diri perlu diutamakan, perlu diberi perhatian, perlu dicari jika tiada, perlu difikirkan. Begitulah secara ringkas konsep hedonisme yang diperjuangkan oleh ahli falsafah hedonisme. Mereka secara kreatif berusaha memikirkan pelbagai cara yang dapat mendatangkan kesenangan kepada diri sendiri. Demikian hujah mereka untuk berkiblatkan dunia. “Pleasure is the highest good”, itu prinsip hidup mereka. Nilai kembali prinsip hidup kita. Barangkali sama.

Namun begitu, sebagai seorang muslim dan mukmin, sedarkah kita bahawa Allah telah memberi panduan lengkap bagaimana sebenarnya ciri-ciri orang yang beriman di dalam Surah Al-Mu’minun.

(قَد أَفلَحَ المُؤمِنونَ﴿١﴾ الَّذينَ هُم فى صَلاتِهِم خٰشِعون﴿٢﴾وَالَّذينَ هُم عَنِ اللَّغوِ مُعرِضونَ﴿٣

“Sesungguhnya menanglah orang beriman. Iaitu orang-orang yang khusyu’ solatnya. Dan orang-orang yang menjauhi perkara sia-sia.” (23:1-3)

Persoalannya adakah Islam melarang manusia berusaha untuk mencari kesenangan diri? Bagi tuan-tuan yang mempunyai latar belakang pendidikan agama, sudah tentu mempunyai jawapan yang jelas.

Tujuan kita dihadirkan ke dunia ini bukanlah untuk mencari kesenangan diri, malahan sebagai hamba kepada Allah, melaksanakan segala titah perintahnya, sama ada kita suka atau tidak suka, sama ada kita senang atau susah, sama ada kita bos atau buruh. Jelas, hedonisme bukan anjuran daripada Islam. Hedonisme adalah anjuran syaitan yang mahu melalaikan manusia daripada mengingati tugasannya yang sebenar di muka bumi ini. Agar manusia mengikuti kehendak hawa nafsu yang sentiasa mahu dipuaskan.

Isunya di sini, kita mesti benar-benar bebas daripada pengaruh hedonisme. Lantaran itu, sudah kenalkah kita setiap anasir yang perlu kita musuhi? Adakah tabiat makan nasi bersama dua tiga jenis lauk sedangkan kita mampu kenyang dengan satu jenis lauk sahaja boleh dianggap hedonisme? Adakah kesanggupan kita bangun satu pertiga malam menonton perlawanan bola sepak pasukan Zamalek dan Al Ahly yang kita minati dianggap hedonisme?

Tabiat menghabiskan masa berjam-jam mencari tudung yang cantik sedangkan yang dituntut adalah menutup aurat, adakah itu hedonisme? Meninggalkan solat di awal waktu kerana ingin mengulangkaji pelajaran kerana takut gagal, tidakkah itu hedonisme? Adakah salah menghabiskan berjam-jam di laman sosial Facebook dan Twitter? Berdosakah kita meluangkan masa cuti bersama tilam dan bantal kesayangan? Menonton filem cetak rompak Korea (dimuat turun atau dikongsi tanpa izin penerbit) melalui komputer riba pada waktu lapang, adakah itu hedonisme?

Salahkah kita beriadah minda dengan permainan Dota? Membeli rumah yang mempunyai banyak bilik atas alasan supaya lebih selesa, tidakkah itu hedonisme? Menghabiskan wang beribu ringgit untuk membeli aksesori kereta, atau set barang kemas adakah itu juga pengaruh hedonisme? Ketahuilah hedonisme tidak hanya terikat kepada kerugian masa lapang sahaja. Banyak lagi faktor-faktor berkaitan nikmat tuhan dirugikannya. Ingatlah bahawa Islam tidak pernah meluluskan sikap melampau.

hedonisme 2

Usah ditanya mengapa para ulama dan ilmuwan terdahulu begitu tenang bahkan produktif di dalam penjara dunia. Tubuh mereka terseksa di dalam penjara, tetapi minda mereka bercambah, jiwa mereka bebas! Bebas daripada cengkaman nafsu keduniaan malahan iman mereka bertambah. Buku-buku yang mereka tulis semasa dipenjara kadangkala lebih impak dan kreatif berbanding yang ditulis semasa di ‘dunia’ luar. Jauh daripada fitnah dunia. Mungkin itulah kemanisan beruzlah.

hedonisme 3

Untuk itu sentiasalah kita berusaha menjaga batasan antara tuntutan nafsu syahwat yang berlebihan (hedonisme) dengan keperluan kita. Ya, kita perlu makan, kita perlukan kenderaan, kita perlu kelihatan cantik, kita perlukan hiburan untuk meredakan ketegangan, tetapi awas! Jangan sampai kita terjerumus ke dalam pengaruh hedonisme tanpa kita sedari. Jika itu terjadi, apakah status iman kita? Solat kita? Puasa kita? Syahadah kita?

hedonisme 4

Mulai hari ini marilah kita manfaatkan segala nikmat yang kita ada untuk hidup yang lebih bermakna. Simpanlah saham yang besar nilainya di bursa akhirat. Banyakkan berdoa moga-moga kita semua sekali terselamat daripada belenggu fitnah budaya hedonisme.
Ayuh tolak hedonisme!

Wallahu a’lam.

logo_jaksi_light
“Haq Tertegak,Biah Terpelihara”
Jawatankuasa Keselamatan dan Sosial Islam (JAKSI)
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015