“Kenapa jakun sangat ni?”

‘Jakun’.. Perkataan ini sering kali kita dengar digunakan untuk menunjukkan perasaan hairan. Namun begitu, tahukah anda bahawa Jakun sebenarnya adalah nama salah satu suku kaum Orang Asli di Malaysia? Masyarakat Orang Asli adalah sebahagian daripada kaum minoriti dalam etnik bumiputera. Mereka juga dianggap sebagai komuniti marginal yang paling miskin dan daif.

Hampir semua negara mempunyai masyarakat orang asli mereka tersendiri dan secara keseluruhannya merangkumi sebanyak lima peratus daripada jumlah populasi dunia. Secara umumnya di Malaysia, masyarakat Orang Asli terdiri daripada tiga suku bangsa iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto. Suku bangsa Senoi adalah suku bangsa Orang Asli terbesar di Semenanjung Malaysia mewakili sebanyak 56 peratus atau 79,156 orang daripada 141, 230 orang asli di Malaysia keseluruhannya.

Kita mungkin tahu sedikit sebanyak tentang orang asli negara kita. Persoalannya, tahukah kita tentang orang asli negara lain? Apakah dan di manakah penempatan mereka? Adakah di Barat mereka dipanggil Original People? Di Barat, istilah yang sering digunakan ialah Indigenous people, Natives atau Aborigines. Masyarakat ini kaya dengan adat dan adalah satu kerugian besar jika adat mereka tidak kita hargai dan dibiarkan luput begitu sahaja. Oleh itu, mari kita mengenali tentang golongan warisan lima peratus dunia ini.

auckland-maori-tour-full-day-time-unlimited-tours

MAORI – NEW ZEALAND

The Haka yang juga dikenali sebagai Dance of War adalah sinonim dengan pasukan ragbi New Zealand ‘All Blacks’. Tahukah anda bahawa Haka ini berasal daripada kaum orang asli New Zealand yang dikenali sebagai Maori? Aksi tersebut dahulu digunakan oleh puak Maori bagi menaikkan semangat pejuang-pejuang mereka sebelum peperangan. Puak Maori wujud sejak abad ke-13 dan bertapak di Hawaiki, Timur Polynesia. Mereka mempunyai adat, bahasa dan kepercayaan yang sangat unik.

 Contoh aspek yang mendefinisikan puak ini ialah dari segi tarian, seni karya, lagenda, tatu dan komuniti mereka yang meskipun kini sudah abad ke-21, budaya mereka masih utuh dan diterima ramai pihak. Kini, banyak orang mengenakan corak tatu Maori pada badan mereka kerana dianggap bergaya dan gagah.


GAUCHO – ARGENTINA + ECUADOR

A Gaucho without a horse is only half a man”. Puak Gaocho dahulu dikenali dengan kaum berjiwa muda yang tidak lekang daripada kuda dan pisau mereka. Mereka boleh disamakan dengan ‘Cowboy’ di Amerika Utara. Lama-kelamaan, apabila tamadun mula berkembang dan penternakan lembu semakin maju, puak Gaucho ini terpaksa mengubah gaya hidup mereka kepada yang lebih sedentari.

52fbbc5519ff3

Kini, kehebatan mereka menjadi lagenda yang menjadi impian kanak-kanak dan banyak filem serta buku ada menceritakan tentang kehebatan puak Gaucho ini. Namun begitu, pada bulan Julai 2014, beberapa pemain Jerman yang telah menang dalam Piala Dunia 2014 menentang Argentina telah membuat aksi yang dinamakan “The Gaucho Dance” yang memuji kehebatan Jerman, dan bukan sebaliknya.

This is how the gauchos walk, the gauchos walk like this (as a hunched-over, short and little people), This is how the Germans walk, the Germans walk like this (Back straight. Tall. Proud).”

Aksi mereka (pemain Jerman) terhadap pasukan Amerika Selatan tersebut menarik perhatian banyak pihak, baik yang menyokong mahupun yang mengkritik.

 

MURSI – ETHIOPIA

Bekas presiden Mohamed Mursi? Tidak, memang wujud puak bernama Mursi yang menetap di Lembah Omo, barat daya Ethiopia tidak jauh dari sempadan Kenya. Mereka bercucuk tanam dan menternak binatang sebagai punca hidup. Namun, kemarau berpanjangan yang melanda kawasan tersebut telah menjadikan aktiviti mereka ini semakin sukar. Tambahan pula, penubuhan sebilangan taman negara yang dibina dengan pagar dan jalan raya mengurangkan akses puak ini kepada sumber alam semulajadi yang penting untuk kehidupan seharian mereka.

2993616_370

Puak Mursi terkenal dengan ‘stick-fighting ceremony’ dan kaum wanita mereka mendapat nama di pentas dunia atas adat mereka meletakkan piring tanah liat di bibir bawah mereka. Dahulu, fokus ekonomi puak Mursi adalah pada sistem barter dan perkongsian harta. Tetapi semua telah berubah dengan datangnya pelancong-pelancong yang menghulurkan duit kepada orang Mursi yang membenarkan gambar mereka diambil.

Masyarakat dunia ini terdiri daripada pelbagai jenis manusia, adat, bahasa dan cara hidup. Kita hendaklah menghargai, menghormati dan mengamalkan sikap tolak-ansur antara manusia agar hidup menjadi lebih aman. Allah swt telah menciptakan makhluk dengan variasi rupa dan bentuk serta kelebihan masing-masing. Usahlah kita menzalimi kaum orang asli sepertimana ‘Aborigines’ di Australia disisihkan di tanah mereka sendiri hanya kerana mereka berbeza dengan norma masyarakat dunia moden dan sama-samalah kita menerima mereka sebagai penduduk bumi setaraf dengan manusia lain.

Fairuz Nabilah binti Borhanudin merupakan pelajar perubatan Kasr Al Ainy, Universiti Kaherah. Artikel ini ditulis bersempena International Day of the World’s Indigenous Peoples pada 9 Ogos yang lalu.