Kewajipan berpuasa terakam kemas dalam tiga ayat di dalam surah al-Baqarah.  Bermula dari ayat 183 sehinggalah ayat 185. Kewajipan yang telah disyariatkan kepada orang-orang sebelum kamu. Juga antara rukun yang mendirikan Islam dalam diri seseorang. Tetapi kewajipan itu pula berkecuali pada golongan-golongan yang tertentu.

Puasa secara definisi syara’nya adalah menahan diri daripada makan dan minum, serta apa-apa perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari berserta niat.

Puasa lebih sinonim dengan berlapar dahaga pada pandangan kebanyakan orang awam.

Namun, para cendekiawan tegas berpendapat, setiap daripada tuntutan agama yang disyariatkan, ianya adalah rasional yang padanya akan membawa maslahah.  Ataupun satu tuntutan untuk menghindarkan suatu bentuk mafsadah. Di dalam kitab Madkhal Ila Maqasid al-Shari’ah oleh Dr. A. Raysuni, pengarang menjelaskan bagaimana Ibnu Abbas r.a. mengingatkan kita, tika mana kita mendengar kalamNya yang dimulai dengan seruan ‘Wahai orang-orang yang beriman’, maka sebenarnya ada mesej yang lebih mendalam. Perlunya kepada penelitian yang lebih daripada kebiasaan.

            يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

*********

Dahulunya puasa tidak disyariatkan secara sebulan dan tidak pula pada bulan Ramadan.

Sebagaimana pengharaman arak secara berperingkat, pensyariatan puasa juga adalah secara berperingkat. Golongan terdahulu diberi pilihan. Pertamanya sama ada untuk berpuasa daripada makan dan minum. Ataupun pada golongan yang tidak kuat dan tidak memilih untuk berpuasa, maka mereka boleh melaksanakan ibadah ini dengan cara menunaikan fidyah. Itu seandainya tidak mahu melaksanakan ibadah ini puasa secara lapar dan dahaga. Adapun yang memilih untuk berpuasa, maka itu adalah lebih baik. Ini diperincikan pada ayat 184 surah al-Baqarah.

Turunnya ayat 185 maka berlakulah pensyariatan puasa penuh secara sebulan di bulan Ramadan.

Perspektif Puasa : Pelbagai Ajaran Agama

Ritual puasa dalam pelbagai ajaran agama telah menarik minat pengkajiannya secara saintifik.

“Berpuasalah kamu agar kamu menjadi sihat”

[HR Ibnu Sunni & Abu Nuaim daripada Abu Hurairah ra]

blog_ramadan

Fasa-fasa puasa yang berjaya: 1)Fasa pertama (2-3 hari): Perut akan terasa lapar, badan cepat letih, cepat marah kerana kadar glukosa dalam darah rendah 2) Fasa kedua (3-14 hari): Kurang selera makan, senang gelap mata, nafas berbau, lidah menjadi putih atau berdaki manakala badan menjadi lesu. 3) Fasa ketiga (14-akhir puasa): Lidah menjadi bersih, nafas hilang bau, selera makan baik, tenaga mula pulih dan kadar glukosa menjadi normal kembali. Di fasa ini juga mental, emosi dan badan semakin optimum dan diri menjadi orang baru. Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses asidosis dan ketosis di dalam badan berjalan lancar.

“Fasting is the greatest remedy. The physician within!”
Philippus Paracelsus, M.D.

Philippus Paracelsus, yang diiktiraf sebagai salah seorang daripada Father of Western Medicine telah mengiyakan bahawa berpuasa sebagai salah satu mekanisma rawatan yang terhebat. Antara tokoh Father of Western Medicine yang lainnya ialah Galen dan Hippocrates di mana Hippocrates juga pernah menggunakan mekanisma berpuasa dan cuka dalam generalized treatment beliau. Hippocrates juga membuat analogi mudah,

“To eat when you are sick, is to feed your sickness.”

Plato, tokoh falsafah hebat juga berpuasa untuk kekuatan fizikal dan kecerdasan mental. Menariknya lagi, Pythagoras, ahli matematik terkenal mensyaratkan puasa selama 40 hari kepada anak muridnya yang ingin menguasai aras dan tahap yang lebih tinggi dalam disiplin ilmu beliau. Fakta yang mudah disepakati, tokoh-tokoh pemikir hebat dunia telah lama dahulu mempraktikkan puasa. Semestinya kerana mereka telah melihat puasa sebagai terapi terbaik untuk fizikal, mental dan fisiologikal seseorang individu.

Puasa kini juga sudah diakui sebagai penyembuh terhebat dalam menangani penyakit. Bahkan di Amerika Syarikat terdapat sebuah institut rujukan, “Fasting Center International, Inc”. Pusat ini sudah beroperasi sejak 35 tahun yang lalu, dengan pesakit dari 220 negara. Direktor dan pengasasnya Dr. Dennis Paulson telah mencadangkan puasa sebagai kaedah dalam program berikut:

– Program penurunan berat badan
– Pengeluaran toksik tubuh
– Memperbaiki energy-level, kesihatan mental, kesihatan fizikal dan yang paling penting meningkatkan kualiti hidup.

Fakta ini turut disokong dengan hasil daripada Kongres Antarabangsa Kali Pertama bertajuk ‘Health and Ramadan’ yang diadakan di Casablanca pada 1994. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih  kurang 50 kertas kajian dan hampir kesemua hasil kajian mengesahkan puasa di bulan Ramadan tidaklah mendatangkan sebarang kemudaratan malah sebaliknya mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti obesiti dan tekanan darah tinggi.

Puasa Dan Kesihatan.

1) Puasa Menurunkan Paras Gula
Di universiti Sains Perubatan Tehran, Dr. F. Azizi dan rakan-rakanya membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Pemeriksaan darah telah dilakukan sebelum Ramadan dan hari ke-10, ke-20 dan ke-29 Ramadan.

Disamping itu, berat badan mereka turut ditimbang. Ujian – ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras tekanan darah dan kandungan gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Maka berpuasa dilihat sebagai terapi yang berkesan terhadap pesakit diabetes (tahap dua) dan tekanan darah tinggi.

2) Penurunan Kandungan Kolestrol
Kajian turut mengesahkan penurunan dari segi kandungan kolesterol dan gula. Ini tentunya mengurangkan risiko penyakit atherosclerosis (sejenis penyakit pada arteri di mana plaque berlemak pada dinding-dinding dalam saluran darah dan akhirnya menyebabkan aliran darah tersekat. Keadaan ini terutamanya berlaku di kalangan pesakit diabetes.

3) Risiko Jantung
Dalam artikel, ‘Fasting, Its good for health’ turut memaparkan kajian yang dilakukan di Universiti Utah ke atas golongan Mormon yang berpuasa sehari dalam sebulan. Dan mereka mendapati bahawa ianya boleh merendahkan risiko terhadap serangan penyakit jantung.

4) Penurunan Berat Badan
Berpuasa juga dapat membantu individu yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti untuk mula menurunkan berat badan mereka dengan cara yang sihat. Penurunan berat badan daripada amalan puasa Ramadan adalah berbeza dengan amalan crash diet atau cara diet untuk menurunkan berat badan lain seperti langsung tidak makan nasi (hanya minum air). Penurunan berat badan dengan berpuasa selalunya lebih stabil di mana pesakit tidak mengalami masalah kenaikan berat badan secara mendadak sekiranya seseorang berhenti puasa.

5) Detoksifikasi dan Kerehatan
Puasa adalah satu proses detoksifikasi. Detoksifikasi adalah satu proses mencuci dan membersihkan badan daripada racun ataupun toksik.

Puasa membolehkan organ -organ berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran dan toksin disamping menyegarkan sel. Kalau sebelum berpuasa, tenaga akan digunakan untuk sistem penghadaman, namun ketika berpuasa tenaga-tenaga ini direhatkan dan ditumpukan pada otak. Maka, otak akan lebih fokus dan efisien. Tidak hairanlah juga, makan dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan mengantuk memandangkan kurangnya pengaliran  tenaga dan oksigen ke otak dek kerana dikerahkan pada sistem penghadaman.

6) Puasa Pada Haiwan dan Kesembuhan
Kajian Dr.Cindy Engles (ph.D) dalam Wild Health : How animals keep themselves well and what we can learn from them.

Kajian di dalam dunia haiwan pula ada menyatakan, binatang-binatang akan menjauhi makanan apabila sakit. Melihatkan ini, pengkaji berpendapat bahawa menjauhi makanan dengan cara berpuasa adalah suatu proses natural ke arah kesembuhan.

Puasa mempercepatkan kesembuhan kerana umumnya bakteria memerlukan zat besi bagi bertindak, justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan dengan ini akan melemahkannya.

7) Stem Cell
Terbaru, kajian mendapati berpuasa dapat menghasilkan sel-sel baru yang baik untuk imuniti badan. Rawatan chemotherapy untuk pesakit kanser biasanya membawa kesan sampingan (side effect)  yang akan melemahkan sistem pertahanan badan dan apabila lemahnya sistem ini, maka pelbagai penyakit lain pula mudah untuk menyerang. Maka puasa dilihat sebagai solusi penyeimbangan dalam masalah ini.

8) Puasa dan Awet Muda
Sejenis hormon anti-penuaan juga didapati dirembeskan dengan banyaknya ketika berpuasa. Dengan berpuasa juga penghasilan protein  lebih efektif untuk ketahanan yang lebih baik serta merendahkan kadar metabolisme badan.

“To lengthen thy life, lessen thy meals.” – Benjamin Franklin, LL.D. (1706-1790)

Heart-Health Beberapa Pandangan Perubatan Yang Menyokong Ibadat Berpuasa Dengan Fakta Saintifik.

A) Dr Ben Kim
Menurut Dr Ben, pengamal perubatan berasaskan herba dari Kanada, berpuasa untuk tujuan perubatan sudah lama diamalkan. Malah, ahli falsafah terkenal seperti Socrates dan Plato juga mencadangkan puasa untuk tujuan memulih dan meningkatkan kesihatan badan.

B) Dr. Yuri Nikolayev
Pengarah bahagian diet di Moscow menilaikan kejayaan penemuaan berpuasa yang boleh membawa kepada awet muda sebagai penemuan terbesar abad ini.

“What do you think is the most important discovery in our time? The radioactive watches? Exocet bombs? In my opinion the biggest discovery of our time is the ability to make oneself younger physically, mentally and spiritually through rational fasting.”

C) Alvenia M. Fulton
Alvenia M. Fulton, Director of the Institute for Healthy Food “Fultonia” di United States pula menyatakan bahawa puasa adalah cara terbaik untuk memperindah wanita secara semulajadi.

“Fasting is the ladies best beautifier, it brings grace charm and poice, it normalizes female functions and reshapes the body contour.”

D) Dr Sabah al-Baqir
Dr Sabah Al Baqir pula melihat kelebihan puasa dari perspektif psikologi. Beliau bersama kumpulan dari Faculty of Medicine di King Saud University telah melakukan kajian terhadap hormon prolactin, insulin dan cortisol, pada tujuh orang lelaki yang berpuasa sebagai sampel. Hasilnya, tidak ada perubahan ketara pada level hormon tersebut. Ini menunjukkan bahawa puasa bulan Ramadan tidaklah memberatkan dan ia tidak mengakibatkan tekanan mental mahupun saraf.

Berbeza dengan kajian segelintir saintis yang menegaskan bahawa berpuasa akan mengurangkan produktiviti, lalu meningkatkan kadar tekanan dan stress.

E) Leon Chaitow
Leon Chaitow (N.D., D.O., M.R.O.) pensyarah kanan di University of Westminister, London dan juga penulis kepada 50 buku yang berkaitan kesihatan dan perubatan alternatif merumuskan, “Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingan, namun berpuasa dengan tidak menjamah makanan dan minuman dalam jangka masa yang pendek adalah amat selamat.”

Puasa di bulan Ramadan boleh dianggap sebagai puasa jangka masa pendek maka secara dasarnya ia adalah selamat dan tidak memudaratkan.

F) Allan Cott

“If a person makes fasting part of her or his life, s/he’ll experience a heightened spiritual awareness. By taking a long fast or two, and then fasting one day a week, s/he’ll gradually find a growing peace and personal integration. America badly needs to go on a diet. It should do something drastic about excessive, unattractive, life-threatening fat. It should get rid of it in the quickest possible way, and this is by fasting.”Allan Cott, M.D. (“Fasting: The Ultimate Diet“)

Allan Cott juga ada menghuraikan di dalam bukunya ‘Why Fast’ yang telah dicetak hampir lebih 17 kali dalam tempoh 8 tahun. Kesimpulan beliau seperti kajian ramai saintis. Berpuasa akan meningkatkan kesihatan fizikal dan mental, detoksifikasi, menurunkan tekanan darah dan kadar lemak, untuk kelihatan lebih muda, melambatkan proses penuaan, control of intimacy, menajamkan deria, serta mampu mengendalikan diri sendiri.

Rata-ratanya mendapati puasa sebagai meditasi terhebat untuk keseimbangan badan manusia.

Tetapi puasa dalam erti penghayatan yang sebenar adalah lebih daripada bermatlamatkan kesihatan semata-mata.

Taqwa

Puasa yang disyariatkan itu akan memanifestasikan taqwa, tapi ia masih tidak menjamin setiap puasa yang dipersembahkan akan  melahirkan taqwa. Ya, mudah-mudahan kamu memperolehi taqwa. Pentingnya taqwa dan sukarnya menggapai taqwa sehingga ia perlu diulang-ulang sehingga hampir 200 kali dalam Quranul Aziz.

Ramadan-Quran
Kewajipan Berpuasa

Puasa secara saintifik telah membuktikan signifikasinya terutama dalam aspek kesihatan. Untungnya, kita sebagai umat Islam telah terlebih dahulu diwajibkan berpuasa sebelum daripada pelbagai kajian saintifik saintis ini ditemui. Maka dalam tidak sedar, umat Islam telah lama diwajibkan untuk maju setapak dalam aspek kesihatan diri. Subhanallah. Tetapi agak malang, apabila adat berpuasa yang tidak bertepatan pula membinasakan diri. Iftar yang berlebihan. Malamnya mewah dengan makanan. Tidur yang tidak melihat siang. Tidur ketika perut masih kekenyangan. Berpuasa, bukan sekadar ritual. Islam hanya akan sempurna apabila ianya diambil secara menyeluruh. Berpuasa disyariatkan untuk kita melatih menahan diri. Belajar cara mengawal keinginan. Agar kita mampu menjadi pimpinan kepada hati.

“Fasting and prayer are religious exercises; the enjoining them, an act of discipline.” Thomas Jefferson (1743–1826; The Writings of Thomas Jefferson; 3rd U.S. President)

Berjaya menggapai dan mengawal keinginan, itulah suatu kemenangan. Dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa dan Al-Qur’an akan memohon syafa’at kepada Allah pada hari kiamat – bagi orang-orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula membaca Al-Qur’an)”.
(Hadith Hasan – Riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya)

Ramadan dan al-Quran

Ramadan  lebih disinonimkan dengan puasa. Dan antara keunikan bulan ini ialah, ianya merupakan satu-satunya bulan (antara 12 bulan kalendar hijriah) yang telah disebut secara jelas di dalam al-Quran, pada ayat 185. Dan setiap kali kita mendengar Ramadan, maka lapar dan dahaga yang akan terbayang-bayang. Namun sebaliknya, Allah lebih memperkenalkan Ramadan ini dengan bulan al-Quran. Maha Hakim Allah dalam penyusunan kalimatNya.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Bulan ini ramai yang mula melakukan ibadah tambahan dengan pelbagai ganjaran yang telah dijanjikan. Hingga tidur dikatakan ibadah, diam dianggap tasbih. ** hadith dhaif (Faidlul Qadir No. 9293)

Ramadan berasal daripada kalimah arab yang bermaksud dahaga atau panas yang membara. Orang arab menamakan bulan-bulan mereka dengan melihatkan keadaan alam dan kondisi masyarakat tersebut pada masa-masa tertentu untuk sepanjang tahun. Misalnya Ramadan, kerana udara ketika itu dikatakan panas seperti membakar kulit. Maka ayuh. Jadikan bulan ini bukan sahaja meditasi kepada kesihatan fizikal (outward realization) bahkan merangkumi hingga kepada kekuatan spiritual (inner realization).

Berpuasalah, agar kamu beroleh taqwa.

(40)وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ

                               (41)فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ

Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.  [An-Nazi’at]