10151046_742841255750175_1380470374_n

 

بسم الله الرحمن الرحيم

Your behavior is not the result of your ability, but the state you’re at this moment.”

Petikan ringkas daripada tulisan Anthony Robbins dalam bukunya yang bertajuk Awaken The Giant Within. Buku yang terjual lebih sejuta cetakan dan dikatakan telah mengubah nasib beribu insan malang. Namun hakikatnya, andai kita masih mahu terus menjadi kita, bacalah seribu majalah sekalipun, kita masih orang yang sama.

Musim peperiksaan mungkin waktu terbaik untuk kita bersendiri, menjauhkan diri dari hiruk pikuk dunia luar. Waktu segala peranti elekronik dimatikan, waktu emas untuk berkasih dengan buku. Mungkin juga ini waktu paling dekat kita dengan Sang Pencipta. Di mana, malam-malam kita terisi dengan rintihan dan rayuan di atas tikar sejadah sambil mencongak waktu berapa hari lagi penerbangan kita pulang ke Malaysia. Apabila berakhirnya peperiksaan, kita terus menjadi kita yang dahulu. Kita yang sentiasa kita mahukan. Ah! Peperiksaan ini hanya mengubah kita untuk sebentar waktu, sama juga seperti madrasah Ramadhan yang selalu kita canang-canangkan.

Hasilnya, kita terus menjadi bangsa yang sentiasa dikritik. Abdullah Munsyi dalam karyanya, Hikayat Abdullah Munsyi ada menceritakan perihal orang kita yang pemalas malah pengotor dan sehingga hari ini, kita masih lemas dalam tanggapan itu. Persoalannya, butakah kita untuk melihat perkara itu? Atau tuli benarkah kita untuk mendengar kritikan ini? Tidak. Bahkan pendengaran dan pandangan kita jauh lebih jelas. Namun masalah sikap kita yang masih mahu terus membutakan mata dan memekakkan telinga.

1

 

Hari ini, kita sering bicarakan tentang masalah terbesar umat Islam iaitu kejahilan. Asal kejahilan ini menurut apa yang dibicarakan oleh Syed Naquib al-Attas adalah berpunca daripada sikap pelupa (nisyan) manusia sendiri. Kita terlupa betapa kita telah diberikan kebijaksanaan untuk memahami dan kelebihan untuk mencari kebenaran. Akan tetapi kita lebih selesa hidup dalam  komuniti sendiri dengan beranggapan ada manusia lain yang akan sudi menunjukkan kita masa depan.

2

 

Kita terlupa Tuhan telah memberikan kita cukup kelengkapan untuk belajar dan terus mengkaji untuk membezakan yang benar atau fantasi. Walaupun mungkin kebenaran pada hari ini amat sukar diperolehi, semoga keikhlasan kita untuk memahami dan belajar ditunjukkan Allah jalan keluar.

Atas kebolehan ini, kita menerima taklifan terbesar, untuk mentadbir alam ciptaanNya. Akan tetapi, berilah segunung tanggungjawab pun, atas alasan kita ini manusia dan manusia ini tabiatnya lupa, kita terus menjadi insan yang kita ingini. Sang pelupa. Kita terus lupa betapa Allah menginginkan kita untuk belajar selok belok alam untuk mentadbir ciptaanNya.

Bagi yang bersemangat mentadbir pula, mereka terlupa untuk mentadbir alam ini mengikut aturan dan percaturan yang ditetapkan Sang Pencipta. Selalunya akal kita akan menjadi penunjuk primer perjalanan hidup kita, sampai tak sedar kita punyai panduan daripada pemilik alam. Hasilnya, alam ini dipimpin oleh khalifah pelupa yang diikuti oleh pengikutnya yang pelupa lagi jahil.

3

Oleh itu, kesempatan emas yang masih kita peroleh ini seharusnya diguna bijak oleh kita, selaku mahasiswa sains kesihatan. Bukanlah apabila disebut kita ini mahasiswa, tempat kita hanya di depan buku kuliah, medan persatuan atau menelaah isu-isu sejagat. Kita masih punya kesempatan untuk bersosial atau berhibur sekali sekali. Namun, realiti hari ini melihat betapa timbangan bersosial dan berhibur lebih berat andai dibandingkan dengan perkara-perkara yang lebih penting ini.

4

 

Untuk yang terakhirnya, tanyakan kembali apa yang kita mahukan dalam hidup ini. Kemudian, tanyakan kenapa pula kita mahukan perkara ini. Adakah kita mahu menjadi doktor untuk hidup senang sampai ke anak cucu? Atau adakah rajinnya kita belajar untuk merasai nikmatnya mendapat keputusan cemerlang? Kesemua soalan ini sudah ada jawapannya. Hakikatnya, kesemua yang kita mahu capai ini adalah untuk diri kita sendiri dan moga-moga impian ini terpandu dengan kehendak Sang Pencipta. Semoga kita sentiasa berada di bawah redhaNya.

“Nothing in all the world is more dangerous than sincere ignorance and conscientious stupidity” -Martin Luther King,Jr.-

 

“Kita Keluarga PCK”

 

afiq

 

 

 

 

 

 

 

Afiq Zulhilmi bin Zairudin
Naib Pengerusi I
PERUBATAN Cawangan Kaherah
Sesi 2014/2015