Travelog Tarim Siri Dua: JENDELA
[NIAT]
Kerap kali segala sesuatu yang aku hajatkan meski seremeh-remeh perkara, cepat sekali tertunai. Ajaib dan berkahnya bumi Tarim ini. Apatah lagi jika apa diniatkan itu berupa hal-hal kebaikan, insyaAllah dipermudahkan urusan mencapainya. Usai mendirikan solat Dhuha pada hari ketujuh Ramadhan, pernah terlintas di fikiranku ingin mengetahui apa sahaja huraian tafsir berkaitan kalimah zikr yang disebut dalam Al Quran hanya kerana itu merupakan nama panggilanku. Petang harinya aku berkunjung ke bilik teman lain lalu mataku segera berkalih ke arah sebuah kitab tersusun kemas di kepala tilam milik temanku itu bertajuk Fadhail A’mal nukilan Sheikh Maulana Muhammad Zakariya setebal seribu halaman lebih. Tidak berkesempatan membaca semua, aku sekadar membelek bab berkaitan jawapan terhadap persoalan yang timbul tengahari tadi. Aku langsung tak menjangka akan penemuan sebegini.
Peristiwa lain adalah apabila aku pernah terniat ingin mengenali seorang teman berketurunan ahlul bait yang berasal dari Saudi setelah mengetahui serba sedikit cerita tentangnya. Beliau telah kuperhatikan dari jauh namun terasa segan ingin menegur. Hendak dijadikan cerita, semasa berbuka puasa keesokan hari, aku ditakdirkan makan berkongsi dulang dengan beliau. Aku merasakan itulah senggang waktu yang tepat untuk berbual-bual lama bersamanya.
‘Sesungguhnya tiap perbuatan bergantung kepada niat dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkan…’. [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Dalam menghadiri kelas pengajian, para habaib dan hubabah senantiasa mengingatkan kami agar memasang niat yang baik, menjaga dan memperbaharuinya oleh sebab betapa banyak amalan kita, jika tidak diniatkan kerana Allah adalah sia-sia belaka. Banat Dar turut berpesan, jika melakukan sesuatu amalan, boleh mencampurkan apa sahaja niat baik ke dalamnya termasuklah meniatkan amalan tersebut untuk dinisbahkan kepada ibu bapa, guru-guru mahupun sekalian muslimin muslimat. Tambahan pula, antara sekalian ramai manusia yang berhajat hadir ke bumi Tarim, kami yang terpilih. Maka kami seharusnya selalu menghargai masa dan peluang selama berada di bumi Tarim lagipun kami tidak tahu entah bila dapat menjejakkan kaki ke Tarim semula.
Di sini, aku lampirkan tiga objektif utama Daurah Musim Panas ke-19 sebagai indikasi umum bagi para peserta daurah seperti berikut:
Pertama, meningkatkan kefahaman dan keyakinan dengan mempelajari ilmu besertakan adab, rasa takzim dan niat untuk beramal. Kedua, mendidik nafsu serta bersifat dengan akhlak mulia, menjaga diri dengan suasana soleh yang boleh membantu diri menuju Allah. Ketiga, berpegang dengan janji Allah serta memberi manfaat kepada hamba-hambaNya, khidmat kepada saudara-saudara seagama dan sentiasa menginginkan kebaikan untuk mereka.
[DAURAH]
Daurah Musim Panas Darul Mustafa dan Daruz Zahra’ ke-19 bermula secara rasmi pada tarikh 1 Julai 2013 bersamaan 22 Sya’ban 1434H. Tema daurah kali ini ialah ‘Prinsip Asas Pembinaan Islam dan Iman menurut akidah Ahlul Sunnah wal Jama’ah’. Aku sempat merasai pengalaman rutin harian yang nyata berbeza pada seminggu terakhir bulan Syaaban sebelum tibanya bulan Ramadan setelah kebanyakan jadual program dianjak ke bahagian separuh hari menuju malam seiring dengan keistimewaan bulan mulia tersebut.
Sya’ban | Ramadhan | |
Kelas daurah | 08.00 pagi – 11.00 pagi | 12.00 tengahari – 03.00 petang |
Rauhah | 02.00 petang – 04.00 petang | 04.00 petang – 6.00 petang |
Dars Hubabah | 08.00 malam– 10.00 malam | 10.00 malam – 12.00 pagi |
Tidur | 10.00 malam – 03.00 pagi | 06.00 pagi – 11.00 pagi |
Kelas daurah- Kelas bermula selepas selesai solat Zohor. Para peserta didedahkan lebih terperinci tentang beberapa fasal berkenaan Hadis, Feqah dan al Quran. Kami para peserta dibahagikan kepada enam kelas mengikut tahap kefahaman dan kemampuan masing-masing dalam memahami bahasa Arab. Penggunaan dialek ammiyah jika di Mesir seperti sebutan huruf jim akan diganti dengan huruf ga manakala di sini aku dapati ianya diganti dengan huruf ya. Misalnya perkataan jabal (gunung) akan disebut sebagai yabal.Begitu pula huruf qaf,di sini ia diganti dengan sebutan ga. Setelah terbiasa, aku boleh menangkap perbezaan maksud kalimah yang dituturkan.
Bukanlah suatu keanehan apabila tenaga pengajar yang memandu kelas-kelas kecil ini berusia lebih muda daripada pelajarnya dek sudah lama mendalami ilmu di tanah berkah ini. Suasana pembelajaran di kelas terpapar budaya perkongsian ilmu yang amat ketara. Pelajar bebas mengutarakan pandangan dan membetulkan kesalahan guru juga sesekali perdebatan kecil sengaja diadakan bagi membuka dan menjana minda pelajar.
Rauhah- Selepas Asar aku menghadiri sesi Rauhah kendalian Habib Umar iaitu kelas pengajian huraian fasal-fasal dari kitab Quwatul Qulub karangan Sheikh Abu Talib al Makki (wafat 386H). Kitab tersebut membincangkan tentang tasawwuf yang diperhalusi dengan syarah-syarah yang indah tentang keadaan hati. Sepanjang sesi pengajian, pihak madrasah turut menyediakan siaran terjemahan secara audio kepada beberapa bahasa utama.
Pengajian selepas Asar ini menekankan keutamaan pengisian rohani dan penyucian hati agar para penuntut daurah mampu menghayati rahsia-rahsia dan hikmah falsafah di sebalik amalan-amalan wajib yang saban waktu kita lakukan. Selain itu, terdapat juga hari yang dikhususkan bagi pengajian sirah Nabi dalam bab mengisahkan latar perjalanan rombongan kabilah-kabilah yang datang berba’iah dengan Nabi Muhammad SAW langsung mempamerkan kesantunan Baginda mendekati dan memahami segenap golongan yang baru kembali menerima anutan Islam.
Tafsir surah al Kahfi- Kelas tafsir dijalankan usai bacaan awrad selepas Subuh. Surah pilihan ini dijadikan bekalan menghadapi fitnah akhir zaman adalah kerana sandaran intipatinya yang menentang nilai pandang sekular-materialistik. Golongan ulul albab yang celik pengetahuan dan mencintai panduan dalam hidupnya akan sedaya meletakkan dunia di tangan dan bukan di taklukan hati.
Selain itu, antara ibrah yang aku fikirkan utama melalui surah al Kahfi ialah:
Pertama, cara ingin mengenali perwatakan seseorang ialah melalui tiga situasi yakni- tempuhi permusafiran bersamanya, bermuamalah dengannya berkaitan wang,dan menjadi jiran tetangganya. (merujuk kepada aktiviti jaulah ilmiyah yang diajarkan nabi Khidir AS kepada nabi Musa AS).
Kedua, hakikat keluarga yang sebenar bahagia adalah bercirikan rasa kasih sayang serta mempunyai sekalian anak yang berbakti kepada ibu bapa dan manusia sekeliling. (merujuk kepada peristiwa anak lelaki yang telah diketahui akan menyesatkan kedua- dua orang tuanya).
Ketiga, jika kita memaksa orang lain agar menerima pendapat tunggal kita serta mengakui pendapat kita sahaja yang benar dalam memahami perkara cabang dalam hal ehwal agama menunjukkan sebuah sikap manusia berakal pendek. (merujuk kepada telahan kaum musyrikin bahawasanya ajaran mereka lebih mulia berbanding wahyu Tuhan).
Ramai orang leka dan lalai walaupun sedang membaca al Quran padahal setiap huruf seolah-olah berbicara dengan kita, “Hai manusia,bacalah aku dengan hatimu.” -Hubabah Salamah, Dars malam 18 Ramadhan
Kelas luar- Adakala bila berkelapangan aku akan keluar berjalan ke rumah Habib Umar atau ke rumah berbumbung biru milik Habib Ali untuk turut menghadiri sesi Daurah yang dikhususkan kepada penutur bukan Arab yang rata-ratanya berasal dari negara Barat dan baru memeluk Islam. Kesungguhan mereka merapati ilmu membuatkan aku berasa malu bahkan mereka hanya mula mengenali Islam setahun dua yang lepas.
Memetik ulasan Sheikh Abdul Karim Yahya semasa sesi soal jawab pada penghujung kelas bila mana seorang warga Denmark bertanyakan soalan berkaitan apakah taktik terbaik untuk dibawa pulang ke negara asal mereka supaya orang lain terbit rasa ingin mendekati Islam? Beliau seringkasnya menjawab, bagaimana ingin mengajak orang cinta kepada Islam jika kita sendiri gagal membumikan konsep bahawa Islam itu agama cinta sepertimana dibawa Rasulullah SAW. Pesannya lagi, persiapkan diri dengan kelengkapan ilmu dan bawalah identiti seorang Muslim dalam setiap kecil besar perwatakan kerana saat mereka mulai tertarik dengan keindahan sikap kita, ketahuilah mereka akan tertanya apa yang kita miliki tetapi tiada pada mereka.
[RAMADAN]
Berpuasa sebagai perisai melindungi kita dari berbuat dosa. Sudah sampai waktu kamu tinggalkan diri kamu yang lama kerana kini kamu berada di daerah kebaikan yang penuh dengan tawaran taubat dan ganjaran. Berpuasalah dari perkara-perkara jahil yang biasa kamu lakukan. – Habib Kadzim As Saggaf, Dars Ma’alim as Suluk 2 Ramadan
Menyelami kemeriahan Ramadan di Tarim cukup membuat hatiku teruja. Kedatangan malam pertama bulan Ramadan disambut meriah ibarat suatu pesta keraian. Kami bersalaman dan berpelukan, beramai-ramai berselawat, berbalas senyuman dan ucapan selamat antara satu sama lain. Ketika berbuka puasa, kami dihidangkan dengan kurma, buah dan segelas air sejuk. Kemudian kami segera mengerjakan solat Maghrib serta solat Tasbih berjemaah sebelum menjamah makan malam. Menu berbuka sungguh lazat dan istimewa terutamanya menu daging kambing dan nasi berempah bercicah sambal sehingga aku sering memesan tambahan lauk tanpa segan silu.
Apa yang menarik, selepas solat Isyak berjemaah, kami di Daruz Zahra’ akan terus mengerjakan solat Tarawih berimamkan Habib Umar. Pandangan Imam Malik diguna pakai dalam situasi kami di Daruz Zahra’, yang membolehkan makmum mengikut imam secara bacaan sahaja, walaupun jasad imam tidak berada di hadapan. Bacaan doa qunut pada rakaat akhir solat Witir menyentuh halus jiwaku. Esak tangis sekalian makmum semakin sayu kedengaran tatkala Habib Umar merintih harap ke hadrat Allah SWT dengan ungkapan-ungkapan doa nan syahdu;
“Ya Allah, jangan Kau hina kami pada hari kiamat nanti, pandanglah kami dengan rahmat-Mu.” “Ya Allah, tariklah bala kaum Muslimin dan lembutkanlah hati-hati antara kami..” “Ya Allah, jangan Kau keluarkan kami dari Ramadhan tanpa dosa-dosa yang telah Kau ampunkan.”
Kini aku mengerti ya Rabb, melaksanakan solat jemaah di belakang ulama ada kenikmatan yang tidak mampu ditukar ganti.
Ramadan kian bercahaya apabila seluruh malam dihidupkan dengan pelbagai aktiviti. Ihyaul- lail, istilah lebih tepat. Malam-malam Ramadan yang kulalui di Tarim tak pernah sepi. Selepas solat Tarawih, diadakan pula dars iaitu pengajian tambahan bersama zaujah Habib Umar. Beliau merupakan anak perempuan kepada Habib Muhammad al Haddar, seorang tokoh ahlul bait yang masyhur di kota Tarim. Beliau selalu berpesan kepada kami supaya mencontohi akhlak mulia Saidatina Fatimah RA dalam tiap inci perilaku memandangkan kami semua bernaung di dalam Daruz Zahra’, iaitu rumah bersempena nama timangan Saidatina Fatimah RA. Hubabah juga amat menitik beratkan soal adab menuntut ilmu. Jika terdapat pelajar berbisik kepada teman sebelah sekalipun semasa pengajian berlangsung, pasti akan ditegur oleh beliau serta merta.
Kemanisan iman bertambah dengan taat dan berkurang dengan maksiat. Jika kita mengikuti amalan sesuatu kaum,maka kita tergolong dalamnya. Begitu juga sekiranya kita meniru dan mengajarkan amalan salafussoleh, mudah mudahan kita juga tergolong antara mereka. – Dars Hubabah, 13 Ramadhan.
Para penghuni Dar berusaha menghidupkan malam-malam Ramadan dengan solat malam, diskusi kitab, tadarus al Quran, serta menambah lapan rakaat solat Witir pimpinan Habib Salim pada akhir dua pertiga malam. Kemudian kami sahur bersama. Membaca zikir, ratib dan awrad sebelum dan selepas Subuh sambil musofahah (bersalaman sesama jamaah) merupakan tertib harian penghuni madrasah kecil itu.
Usai mendengar kuliah tafsir surah Al Kahfi syarahan Habib Umar pada jam 6 pagi, tiba masa untuk aku tidur lena apabila semua penghuni diberi waktu untuk kendiri sehingga tengahari. Siangnya Ramadan seperti waktu malam, kami semua beristirehat tanpa perlu merasai resah hangat matahari manakala malamnya seperti siang yakni disibukkan dengan pelbagai amalan bermanfaat demi merebut ganjaran Ramadan yang hanya 30 hari dari sejumlah 365 hari yang lebih banyak kusia-siakan percuma. Wallahil ‘adzim,pengalaman berpuasa di bumi Tarim memberi kelazatan dan kepuasan makna berbanding musim Ramadan yang pernah aku alami sebelum ini.
[MALAM BADAR]
[Salim A Fillah,Yakinlah dan Pejamkan Mata,2011]
Lantas, tentera Islam menang dalam Perang Badar dengan bantuan Allah SWT. Allah menambahkan lagi nikmat-Nya dengan memuliakan ahli Badar sehingga kehadiran ahli Badar dalam setiap majlis pasti akan disambut bangga oleh Rasulullah SAW. Mereka pasti akan dipersilakan untuk duduk di barisan paling hadapan antara para sahabat. Baginda SAW pernah bersabda,
“Mudah-mudahan Allah melihat kepada ahli perang Badar dan berfirman: Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya telah pasti untuk kamu syurga atau Aku telah ampuni kamu semua.” [Riwayat Bukhari]
Para ulama mengatakan al-tarajji (harapan) dalam perkataan Allah dan Rasul-Nya bermaksud sesuatu yang pasti berlaku. Moga kita umat terkemudian memperoleh ihtiram sebagaimana mereka. Amiin.
Pada tanggal 17 Ramadan, hatiku makin terpaut kepada keunikan bumi Tarim. Malam Badar dan majlis khatam al Quran disambut serentak pada malam tersebut dengan begitu istimewa. Selepas selesai solat Witir, kaum lelaki berarak mengelilingi kota Tarim sambil berselawat sebagai simbol kegembiraan atas kemenangan kaum mukmin menentang kafir Quraisy dalam Perang Badar. Sebelum ini, aku tidak pernah membayangkan fenomena sambutan gilang gemilang pada tanggal 17 Ramadan saban tahun.
Bukan itu sahaja, majlis khatam Al Quran kali pertama juga diadakan di mana penghuni Darul Mustafa dan Daruz Zahra’ akan meladeni tetamu dari pelusuk bandar Tarim dan sekitarnya yang hadir untuk berbuka puasa dan mengerjakan solat Tarawikh bersama. Pada malam itu,kami penghuni Dar menerima tugasan tertentu mengikut negara masing-masing dan perlu bergotong royong bagi memastikan kelancaran majlis. Contohnya, warga Malaysia ditugaskan menghidang makanan, Singapura pula bertanggungjawab perihal kebersihan, dan Kenya perlu menyediakan minuman kepada tetamu. Tak menang tangan dibuatnya. Suasana sungguh meriah hinggakan ketiga-tiga ruang surau Daruz Zahra’ padat dipenuhi tetamu. Katanya juga, waktu majlis seumpama ini aku berpeluang mengenali para hubabah yang hanya sesekali meninggalkan rumah mereka bagi mengunjungi Daruz Zahra’.
Sekian, siri ini aku namakannya Jendela. Masakan masuk cahaya terang ke dalam hati yang maksiat sepertimana kesegaran sinar mentari pagi takkan dapat kau rasai jika jendela masih tertutup. Demikian hati itu perlu kau sucikan terlebih dahulu dengan kelaziman ibadah zahir. Begitulah amalan-amalan rutin sepanjang musim daurah mengajarku. Ketemu lagi pada edisi ketiga yang terakhir akan datang, Insya Allah.
Hanis Zikri binti Mohd Nahrawi merupakan pelajar perubatan tahun 4 Universiti Kaherah, beliau berpeluang mengunjungi bumi Tarim pada tahun lalu bersama dengan mahasiswa Universiti al-Azhar bersempena daurah musim panas (Daurah as Sofiyyah)yang diadakan di Darul Mustafa dan Daruz Zahra pada setiap bulan Julai.
Ya tareemmm wa ahlaha… Pengalaman yang sama kita alami… Ana pergi daurah 2010… Tidak ada pengalaman seumpama itu sebelum ini… Manusia sentiasa berlumba2 melakukan ibadah.. Dan semuanya bukan dilakukan sendirian tetapi berjemaah…
syukran jazakillah, tulisan dan catatan terbaik utk kami yg berhajat ke tarim, seperti sudah tiba dan mula mengenali benturan ahlul bait
ya tarim wa ahlaha, ana uhibbuka