Abou Risy, 9 Mei – Biro Ekonomi PERUBATAN Cawangan Kaherah sesi 2014/2015 (BIKON), dengan kerjasama Majlis Ketua Batch (MKB) telah mengadakan satu bazar yang membuka tender gerai jualan bagi ahli yang berminat untuk berniaga.  Program yang berada dibawah kelolaan saudara Muhammad Badri bin Ahadin pelajar Tahun 4 Universiti Kaherah selaku pengarah program ini mendapat sambutan yang cukup hangat.

Bazar ini dibahagikan kepada dua sesi, iaitu  bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang , dibuka kepada akhawat manakala dari pukul 4.30 petang hingga 10.00 malam  pula bagi ikhwah.  Terdapat beberapa buah gerai jualan yang menyajikan pelbagai makanan enak, antaranya Bujang’s Corner, Akhawat Kaya, GENIIUS, Sofea’s Corner, Along’s Corner, Selera Che Siti , Truly Frutty, Anjung Seri, Sate Kajang serta banyak lagi.

Markas mula dipenuhi oleh para pengunjung seawal jam 9 pagi lagi.  Grand Bazaar Festival ini bukan sahaja dihadiri  oleh ahli PCK, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran mahasiswa dan mahasiswi dari cawangan Azhar, Ain Shams, serta Zaqazig.  Markas yang dihias indah dengan  berkonsepkan suasana kampung telah membangkitkan lagi kemeriahan bazar serta membuka selera para pengunjung untuk menikmati juadah di samping  mengeratkan silatur rahim antara satu sama lain.

 

Bazaar

Di samping itu, juadah makanan yang dijual pada tahun ini begitu mengiurkan. Antaranya ialah sate ayam, nasi minyak dan daging kerutuk, lontong, waffle, nasi dagang, roti jala dan kuah kari, nasi kerabu, laksa penang, air bandung pearl, air soya, mee udang diraja, mee jawa, rojak mee dan macam-macam lagi.  Selain itu, pelbagai kuih yang dijual ternyata mendapat sambutan hebat, antaranya ialah burger Malaysia, murtabak maggi, tepung pelita, cupcakes, sushi, tiramisu, kuih bengkang , biskut kacang serta banyak lagi.

“Suasana di sini sangat meriah dan ceria. Malah, menu makanan dan minuman juga pelbagai jenis dan berlainan, memang sangat menarik.  Perkhidmatan sangat memuaskan.  Grand Bazaar Festival anjuran PCK ini memang terbaik “, ujar saudari Ili Amnani bt. Ilyasnur, pelajar tahun 4, Universiti Zaqazig dengan begitu teruja.

“Selain kita dapat menikmati juadah-juadah Malaysia yang jarang kita dapati di sini, satu perkara yang memuaskan hati saya ialah Grand Bazaar Festival PCK telah mengeratkan ukhuwah kita dengan para sahabat dari Universiti Ain Shams, al-Azhar juga Universiti Zaqazig.  Syabas BIKON, MKB dan PCK. “, kata saudari Nurizzatul Hidayah binti Mohamad Nazri, pelajar Tahun 4, Universiti Kaherah.

Antara harapan pengarah dan juga timbalan pengarah program, mereka mengharapkan dengan berlangsungnya bazar ini maka tercapailah objektif  yang ingin dikecapi terutamanya untuk mengukuhkan lagi ikatan tali persaudaraan bukan sahaja dalam kalangan ahli PCK malah bersama ahli dari cawangan lain juga.

Disediakan oleh,

Hidayatul Naadiah bt Zulkifli
Unit Liputan
Biro Penerbitan dan Penerangan
Perubatan Cawangan Kaherah