Andai sahaja mereka melihat hakikat kota Tarim, maka mereka akan mengatakan: ” Syurga dunia adalah Tarim”
-Al- Imam Ahmad bin Abil Hubb-

“Mengapa kau masih tekad hendak ke Yaman juga walaupun tiada siapa akan temankan kau? Eh, apa yang akan kau buat di sana?” tanya ahli rumah ingin tahu.

“Entah, hati aku kuat mengatakan aku perlu pergi ke Yaman tahun ini. Tak pula aku fikirkan apa yang akan dibuat di sana, aku lebih ternanti-nanti apa hikmah bakal Allah beri dan apa pengalaman Tarim akan hidangkan untuk aku. Kalau ikutkan, aku tak layak pun datang ke tempat barakah begitu. Cuma akulah yang perlu selalu menjaga hati dan banyakkan sabar. Doakan aku ya,” balasku mengharap.

Mengimbau perbualan beberapa hari sebelum bertolak ke Yaman, membuat aku akui secara jujurnya, tidak pernah terlintas walau sejenak dalam fikiranku selama ini untuk menjejakkan kaki ke sana namun Allah sebaik-baik perencana.

Kota Tarim merupakan kota kecil di selatan Yaman yang terletak dalam lingkungan wilayah Hadramaut. Dengan takdir-Nya, tanah barakah seluas lembah ini akhirnya kupijak. Udara segarnya  kuhirup. Alhamdulillah, berbekalkan niat menuntut ilmu, segalanya dipermudah.  Aku dan sebilangan teman-teman memulakan langkah ke sana pada tanggal 26 Jun 2013, berhampiran tarikh penting dalam lipatan sejarah Mesir, iaitu gerakan Tamarrod. Tatkala menerima berita kekecohan daripada rakan-rakan sekuliah, terasa bersyukur sudah selamat tiba di destinasi di samping tidak lupa menitipkan doa buat keselamatan mereka. Perjalanan menaiki kapal terbang memakan masa selama empat jam dari Kaherah ke ibu negara Yaman, Sana’a kemudiannya berlanjutan selama 10 jam menaiki bas menuju ke Tarim membawa aku menikmati panorama Yaman yang amat asing namun cukup memukau pandangan. Bukit berlereng curam, padang pasir tandus berpohon renek, bukit berbatu kelikir berpuncak datar, sesekali melewati kawasan hijau pepohonan kurma dan deret tanaman sayuran. Maha Suci Allah, indah sungguh.

tarim1

[Tarim sepintas lalu]

Rasulullah SAW  bersabda:
“Telah datang ahli Yaman. Mereka memiliki hati yang lembut. Iman ada pada orang Yaman, Fiqih ada pada orang Yaman. Hikmah ada pada orang Yaman.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Kota Tarim merupakan kota kecil yang masyhur dengan beberapa sebutan dalam kalangan penduduk Yaman. Tarim Al-Ghanna bermaksud Tarim yang rendang sesuai dengan kesuburan tanahnya yang menghasilkan pohon-pohon yang rendang. Ia juga digelar kota As-Siddiq berikutan sejarah Tarim yang pernah dikunjungi Khalifah Abu Bakar. Penduduk Tarim sebulat suara menyahut seruan penguasa Tarim pada zaman tersebut, Ziyad bin Lubaid Al-Ansori untuk membai’ah Saidina Abu Bakar sebagai khalifah. Oleh hal demikian, Khalifah Abu Bakar mendoakan Tarim dengan tiga perkara:

“Semoga kota Tarim akan sentiasa makmur, barakah dengan sumber air yang tidak akan putus, dan dipenuhi orang-orang soleh hingga hari Kiamat.”

Nyata mustajab  doa tersebut menjadikan Tarim sebuah kota yang dianugerahi keberkatan melimpah-ruah sehingga hari ini. Apa yang menjadikan kota ini terlalu istimewa ialah sejak sekian lama ia didiami oleh sebilangan besar ahl al-bait, para aulia dan ulama. Di sinilah bersemadi jasad- jasad mereka. Di ceruk kota Husayyisah pula, iaitu sebuah kota antara Tarim dan Seiyun, terletak maqam Imam Ahmad bin Isa al Muhajir iaitu seorang tokoh yang berasal daripada keturunan ahl al-bait Rasulullah SAW. Beliau dinamakan al Muhajir kerana beliau berhijrah meninggalkan Basrah, Iraq semasa pemerintahan khilafah Abassiyah berikutan terjadinya fitnah hinggakan ramai ahl al-bait dibunuh dan diburu kerana pemerintah khuatir mereka akan mengambil alih tampuk kerajaan. Kemudian beliau bersama 70 anggota keluarga berhijrah ke Madinah dan Mekah seterusnya ke Yaman sekitar tahun 319 Hijrah. Kebanyakan para sayyid dan habaib daripada keluarga Ba’lawi bernasab kepada beliau. Perlu dinyatakan, gelaran habib (jamak:habaib) di sini merujuk khas kepada para ahl al-bait yang alim ulama langsung menggambarkan kasih dan dekatnya kita kepada mereka sementara di Mesir, golongan mulia ini lebih selesa dikenali dengan gelaran lebih umum yakni syeikh(jamak:masyaikh) sahaja.

tarim2

Umum mengetahui, kedatangan pendakwah Yaman ke Tanah Melayu mempengaruhi sedikit sebanyak kebudayaan masyarakat kita. Pemakaian contohnya, kaum lelaki memakai kain pelikat seperti kita di Malaysia atau di sini dipanggil sarung. Selain itu, sebutan makanan seperti roti dan sambal juga sama seperti kita orang Melayu. Mereka menjadikan nasi basmati sebagai makanan ruji dan sekiranya terdapat lebihan makanan akan diberikan kepada beberapa ekor kambing ternakan berdekatan Darul Mustafa (madrasah lelaki). Manakala bagi kaum wanita pula, apabila berada di luar rumah, wajib mengenakan jilbab hitam dan berniqab kecuali kanak-kanak dan perempuan tua yang tidak mahu dikahwini. Tidak menghairankan di tengah cuaca panas terik, aku terlihat seorang petani wanita mengenakan pakaian hitam berlitup sempurna dan bertopi besar sedang sibuk memelihara ternakan. Aduhai, kalau aku mungkin saja sudah berteriak kepanasan dan merungut berpanjangan.

Faktor geografi kota ini yang dipagari bukit berbatu menyebabkan suhunya mencecah 50 darjah celcius pada musim panas. Kebanyakan bangunan diperbuat daripada tanah liat untuk mengawal suhu pada musim sejuk dan musim panas. Pemandangan yang mengujakan bagiku ialah apabila hujan turun di kota Tarim yang mana hanya berlaku semasa pertukaran musim dan cuma mengambil masa beberapa minit. Aku dapati warga Tarim akan keluar rumah beramai-ramai atau menuju ke kawasan lapang, bergembira membiarkan diri dibasahi rintik-rintik hujan, menghadapkan wajah ke langit, mengangkat tangan, memejamkan mata  dan terkumat kamit berdoa sepenuh hati sementara pintu langit luas terbuka. Begitu juga sambutan sukacita kami di Daruz Zahra’ (madrasah perempuan). Katanya hujan merupakan rahmat fizikal yang disebutkan antara lima perkara kunci ilmu ghaib dan hanya pada pengetahuan Allah akan bila, di mana, dan berapa kuantiti turunnya hujan tersebut.

Untuk menceritakan peri akhlak sekalian ahli Tarim, tiada kata-kata yang bakal pantas menggambarkannya. Mudah aku menghimpunkan mereka umpama ‘kitab-kitab yang terbuka’ atas asbab yang meyakinkan;

Pertama: Mereka bersedia menjadi rujukan jika terdapat sebarang kemusykilan sama ada berkaitan ilmu mahupun keperluan. Sepertimana aku disambut pada awal kedatangan, mereka sanggup menghulurkan apa jua barang peribadi milik mereka untuk memastikan keselesaan kami bermukim di Daruz Zahra’. Selalu saja kenalan-kenalan senegara yang sudah lama bermastautin di sana bertandang ke bilik kami para peserta daurah untuk berbual, bertukar-tukar cerita dan turut menerangkan kami tentang manaqib-manaqib sekalian sosok habaib dan sejarah perkembangan institusi-institusi agama di sini.

Kedua: Mereka tampil sebagai qudwah yang hasanah dalam mempraktikkan ilmu yang dipelajari walau bagi aku itu agak mustahil. Aku teringat akan seorang banat Dar berasal daripada Somalia misalnya, dialah yang sentiasa siaga dalam berkhidmat menyusun selipar kami pada setiap waktu solat, mengejutkan kami waktu tahajud dan Subuh dengan alunan merdu zikir dan qasidah, gigih mengedar Awrad hingga ke saf terkebelakang, mengedar makanan tambahan dari dapur ke ruang makan jika kami pesan, dan ucapan yang keluar dari mulutnya tak pernah lekang selingan selawat kepada Nabi, tika beliau diajak berbual pasti dipesan juga agar sama berselawat dan banyak lagi amal baik yang tidak betah diceritakan. Ah, siapa saja pasti kenal dan jatuh kagum akan gadis bernama Halimah itu. Peranan beliau berkhidmat seikhlas hati di Daruz Zahra’ mencerminkan semangat kesanggupan yang tinggi tanpa mengharap apa jua bentuk balasan pun.

Ketiga: Jika dibaca seluruh perwatakan mereka, kegigihan mereka beramal dan melazimi pencinta ilmu, juga aku sendiri berupaya merasai kejernihan sanubari mereka maka tertampaklah kesepaduan ciri akhlak Islam, Iman dan Ihsan yang selama ini sekadar aku lantunkan di bibir mengungkapkan hadis kedua dari Matan Arbai’en Imam Nawawi.

[Darul Mustafa]

tarim3

Darul Mustafa adalah sebuah institut pengajian yang diasaskan oleh Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz hafizahullah. Beliau merupakan keturunan ke-39 dari baginda Nabi Muhammad SAW melalui salasilah Saidina Husin bin Ali bin Abi Talib dan Fatimah az Zahra binti Muhammad Rasulullah SAW. Habib Umar ialah seorang zakir wa muzakkir iaitu orang yang sentiasa mengingati Allah dan orang yang memperingatkan manusia lain agar mengingati Allah. Beliau juga seorang dai yang sering kali keluar ke seluruh pelusuk dunia untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu. Tambah pula, ulama ahl al-bait ini turut mahir mengarang bait syair. Antara tulisannya yang terkenal dan tersebar ialah kitab kompilasi mawlid Ad-dhiyaul laami’, Asy-syarabuttohur, Burdah al Madih, Hadhrah Baa Sudan, Rasail ma’alimud duaat, Thaqofatul khatib dan selainnya. Maka aku merasa bertuah sekali berkesempatan menadah ilmu dengan Habib secara langsung, yang selama ini ceritanya hanya kudengar melalui teman- teman serta hanya sering melihat wajah dan kalam beliau yang dikongsikan oleh sekalian ahbab di paparan skrin facebook. Kini catatan tausiyah Habib yang tersimpan kemas di halaman jurnal milikku acap kali menjadi sisipan penawar tatkala hati ini diusik rindu terhadap beliau. Nafa’llahu bihi fid darain. Ameen.

Kalimah syahadah ialah zikir yang paling padat, menjadikan seseorang ‘elit’ jika memahami hakikat maknanya yang sebenar. Ingatlah Allah sentiasa bersama kita, jangan pernah bersedih. Allah dekat dengan kita berbanding apa pun. Bahkan kita yang menjauh daripada-Nya, lantas mewujudkan penghadang kepada cahaya hidayah akibat lalai mengabaikan suruhan-Nya.
Habib Umar bin Hafidz,Rauhah 23 Sya’ban

Darul Mustafa, nadi ilmu bagi kota Tarim ini dibangunkan atas dasar pengajian ilmu tradisional Islam secara bertalaqqi daripada masyaikh yang bersanad, penelitian pada pembersihan hati dan memperbaiki akhlak, serta pembentukan sahsiah yang mampu menebar luas ilmu bermanfaat dan berdakwah pada jalan Allah. Ilmu, suluk, dan dakwah; tiga perkara yang menjadi fokus utama madrasah kelolaan Habib Umar ini.  Kesatuan ISESCO (The Islamic Educational, Scientific and Cultural Organisation) telah memilih Tarim sebagai Capital of Islamic Culture 2010. Antara tokoh pendakwah lepasan Darul Mustafa yang tidak asing lagi ialah Habib Ali Zainal Abidin al Jufri, Habib Kadzim Jaafar as Sagaf, al Marhum Habib Mundzir Fuad al Musawa, Habib Ali Zainal Abidin al Hamid dan ramai lagi. Buat masa kini, Darul Mustafa menerima kemasukan pelajar yang bertambah ramai sehinggakan projek mendirikan asrama untuk kediaman para pelajar berasal dari Asia Tenggara sedang diusahakan dan dalam fasa pengumpulan dana.

Siaran audio 24 jam secara langsung dari Darul Mustafa boleh didengari menerusi saluran radio dan televisyen di seluruh kota Tarim sama ada semasa sesi solat berjemaah, bacaan ratib dan awrad, kelas pengajian oleh para habaib, majlis mawlid ataupun program-program tertentu. Aktiviti ziarah maqam Nabi Hud a.s. di Wadi Ahqaf pada 9 hingga 15 Sya’aban merupakan tradisi tahunan kaum lelaki Tarim. Pada waktu itu, hanya kaum perempuan sahaja berada di rumah.  Menurut banat Dar, dalam tempoh keemasan tersebut sekalian mereka berpeluang mengunjungi Darul Mustafa yang terletak selang beberapa lorong dari blok bangunan Daruz Zahra’ sambil mengerjakan solat-solat sunat, mengemas, menyusun atur segala perkakas asrama dan membersihkan apa yang perlu sementara berada di dalam sebuah madrasah agung yang dinamakan bersempana gelaran Nabi Muhammad SAW iaitu al Mustafa juga sebuah kediaman yang menaungi para auliaullah, ulama robbaniyyin, mua’limin dan muta’alimin as solihin pada setiap saat. Jadi, masakan tidak tempat sebegitu sentiasa disinari limpahan nur dan barakah.

[Daruz Zahra’]

Dar maksudnya dinisbahkan kepada milik seseorang .Habib tidak menamakan institusi kita sebagai Ma’had atau Madrasah kerana beliau ingin berpesan agar jangan dilihat pada mabani tetapi lihatlah dari sudut maa’ni dan mata hati. Wahai Zaharat(baca:penghuni Daruz Zahra), kalimah tayyibah ialah sedekah,maka sentiasa niatkan perkara baik walau sedang bersembang sesama akhawat . -Ustazah Muneeba ,masu’uliyyah Daurah as Sofiyyah, merupakan lulusan Zaytuna College bimbingan Syeikh Hamza Yusuf Hanson

Lima tahun selepas penubuhan Darul Mustafa, Habib Umar kemudiannya menubuhkan Daruz Zahra’, sebuah madrasah yang dibina khusus untuk kaum wanita yang berhasrat untuk menuntut dan mendalami ilmu agama. Peribadi mereka cantik dan mencantikkan. Itulah kesimpulan paling tepat dapat aku gambarkan apabila berpeluang bergaul dengan penghuni Daruz Zahra’.  Sepanjang permukiman di sana, aku mendapati diri ini sangat kerdil berbanding orang lain kerana perilaku semua banat Dar amat merendah hati dan husnudzon dalam beranggapan setiap manusia pasti lebih baik dan lebih faqih daripada dirinya sendiri. ‘Wa fauqa kullu zi ‘ilmin ‘alim’ ,kata mereka, yakni atas tiap orang berilmu pasti ada yang lebih alim. Mereka mengamalkan sikap saling menghormati tanpa mengira golongan umur dan usia sesama banat Dar. Aku kagum mengenali adik-adik kecil lepasan dari pondok atau madrasah di Malaysia yang tegar pendiriannya untuk jauh meninggalkan keluarga pada usia rata-rata baru mencecah awal remaja demi mengejar keberkatan ilmu. Dalam fatrah penyesuaian diri, mereka perlu menghadapi cabaran perbezaan budaya yang ketara, mengadaptasi bahasa yang berlainan, dan melazimi jadual kelas dan rutin program harian yang padat. Benarlah barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan pada seseorang, akan dikurniakan kefahaman agama serta sesiapa menempuh jalan menuntut ilmu maka dimudahkan oleh-Nya ke syurga.

tarim4

Bangunan Daruz Zahra’ bercat putih hijau terdiri daripada tiga tingkat utama dan di tengah-tengahnya terdapat ruang tidak berbumbung setentang dengan pintu masuk yang mana aku boleh menghadap terus ke langit. Surau utama berada di tingkat paling bawah berserta dukkan (kedai runcit), maktabah (kedai buku), mat’am (dapur dan ruang makan), bilik sakit, dan bilik tidur. Manakala di tingkat dua kebanyakan kelas dijadikan bilik tidur sepanjang tempoh daurah berjalan. Bilik istirehat pelajar sangat sederhana. Hanya sebuah tilam dan meja kecil untuk tiap pelajar bagi memupuk sikap tawaduk dan tidak terlalu lena hingga liat bangun malam mengerjakan solat tahajud.  Terdapat juga surau kedua dan perpustakaan sederhana di mana tempat kami para peserta Asia Tenggara berkumpul mendengar siaran terjemahan kepada sebarang kelas pengajian yang berlangsung di Darul Mustafa. Aku diberitahu bukan calang calang pelajar yang mempunyai kredibiliti menterjemah spontan kerana penggunaan kata dan sinteks ayat yang digunakan oleh habaib dan hubaibah kebanyakannya bercorak klasik dan memerlukan pemahaman bahasa sastera Arab yang tinggi. Tingkat ketiga juga terdapat surau yang dijadikan kelas dan beberapa khemah berhawa dingin yang disediakan andai ruang tidak mencukupi. Pada setiap petang, aku gemar menikmati pemandangan bukit-bukit gergasi yang mengelilingi kota Tarim membayangkan seolah-olah aku berada di dimensi masa nan berbeza, terlindung jauh dari hiruk pikuk dunia dan kerencaman kerenah manusia. Namun aku sedar Ya Tuhan, semua ini nikmat yang wajib kusyukuri selama mana berada di Daruz Zahra .

Kita memilih untuk hadir hakikatnya Allah memilih kita untuk hadir ke Tarim. Cinta kepada orang soleh, ulamak, ahli taat adalah alamat iman yang kuat. Sebaliknya, cinta kepada orang Islam yang fasik dan berbuat maksiat petanda selemah-lemah iman. Akhawat, kita ditemukan di sini dan ditempatkan di tempat orang baik adalah taufiq daripada Allah kepada hamba-Nya. Maka siapa bersyukur pasti ditambahi nikmat.
Banat Daruz Zahra, sesi kalimah Zohor 6 Ramadhan.

Dari sudut komunikasi, pada awalnya aku sendiri berasa agak kekok untuk berinteraksi dengan sahabat-sahabat dari Yaman, Saudi, Syria mahupun Aljazair memandangkan sudah terbiasa menggunakan istilah-istilah bahasa arab ammiyah masyarakat Mesir sebelum ini. Apapun, lama kelamaan atas toleransi dan tawa lucu kami, ia bukan lagi penghalang untuk kami saling memahami. Penghuni Daruz Zahra’ kaya dengan senyuman, sifat berbaik sangka, rasa juhud yang mantap, dan sepi daripada sikap suka mengumpat dan berbuat lagha. Setiap seorang sahabat yang aku dekati di madrasah tersebut pasti menitipkan pesanan ilmu yang berharga untuk aku amalkan meskipun hanya sekejap duduk bersama dan baru sahaja berkenalan. Sungguh, Islam itu agama rahmat kasih sayang diturunkan khusus untuk membebaskan manusia daripada belenggu ananiyah (mementingkan diri sendiri) serta menyatukan segenap manusia ke arah meng-Esakan Allah Yang Satu.

Sekian, aku menamakan bahagian siri ini sebagai Tirai; singkapan tabir-tabir pengenalan akan Tarim dan ahlinya yang mulia kerana bertitik tolak dari sebenar-benar kenal sesuatu nilai itu akan timbul keinginan dan mahabbah kepadanya.

Berjumpa lagi pada siri selanjutnya, InsyaAllah.

tarim5

Hanis Zikri binti Mohd Nahrawi merupakan pelajar perubatan tahun 4 Universiti Kaherah, beliau berpeluang mengunjungi bumi Tarim pada tahun lalu bersama dengan mahasiswa  Universiti al-Azhar bersempena daurah musim panas (Daurah as Sofiyyah) yang diadakan di Darul Mustafa dan Daruz Zahra pada setiap bulan Julai.

Penulisan karya kreatif ini ditulis bersempena dengan musim panas di bumi Mesir dan negara-negara timur tengah yang pada kebiasaannya bermula pada pertengahan bulan April.