10151046_742841255750175_1380470374_n

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Tuhan sekalian alam, selawat dan salam atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW atas segala rahmat yang turun melimpahi kita, nikmat iman dan Islam atas usaha baginda SAW, kecintaan baginda SAW kepada kita yang melebihi cinta kita kepada diri sendiri serta merentasi batas masa tetapi baginda tetap mengatakan, “Aku rindukan saudara-saudaraku”.

Sollu Ala Nabi.

Isnin, 12 Rabiul Awal, dunia ini dirahmati dengan lahirnya seorang nabi sebagai rahmat kepada sekalian alam, sehinggakan dunia pada hari ini masih lagi dirahmati kerana jasad baginda masih lagi berada di dunia ini.

Kisah arab yang masyhur dengan Layla dan Majnun, kecintaan seorang pemuda kepada seorang kekasih. Tatkala Layla sudah tiada lagi, Majnun melantunkan syair-syairnya:

Aku melewati dinding ini, dinding Layla.

Dan aku mencium tembok ini dan dinding yang ini.

Bukan cinta dari rumah-rumah yang telah mengambil hatiku.

Tapi dia yang berdiam di rumah-rumah.

Atas sebab itu kita pergi menziarahi Madinah, bukan kerana tempat itu, akan tetapi kerana baginda SAW di situ, baginda berjalan di sana. Kita mencintai baginda SAW walaupun baginda sudah tiada. Begitu jugalah kecintaan para sahabat.

Sollu Ala Nabi.

Saidina Bilal setelah kewafatan Baginda SAW telah berpindah keluar dari Madinah dan tinggal di Syam. Saidina Bilal hanya pulang setelah 20 tahun berlalu dan para sahabat lain menggesa Saidina Bilal untuk melaungkan azan. Pada saat itu, Madinah dibanjiri tangisan, keluar semua penduduk Madinah kerana merasakan mereka akan didatangi oleh Baginda SAW dan dapat bersembahyang bersama. Sebegitu sekali kecintaan para sahabat meskipun setelah 20 tahun, hati-hati mereka masih lagi mencintai baginda SAW. Itulah dia kecintaan yang sebenar.

Sollu Ala Nabi.

Bukanlah saya di sini mengajak sahabat PCK untuk sibuk mencari kekasih; siapakah imamku, siapakah makmumku. Ini kerana kita sudahpun ada kekasih yang mencintai kita sejak awal kelahiran kita yang mana tingginya kecintaan insan tersebut hingga membawakan syafaat kepada kita. Bukankah cinta sebenar membawa kebahagian dunia dan akhirat?

Sollu Ala Nabi.

Berbicara pula bab bahagia. Kebahagiaan mahupun kebaikan akan membawa kepada kesenangan serta kegembiraan hati, sebaliknya keburukan dan kejahatan akan menyebabkan keresahan dan kegelisahan hati.

Abdullah bin Abdurrahman menceritakan kepada kami, Amru bin Ashim mengkhabarkan kepada kami, Hammad bin Salamah mengkhabarkan kepada kami daripada Humaid dan Tsabit, daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

” Jalan menuju syurga itu dipenuhi dengan hal-hal yang tidak disukai, sedangkan jalan menuju neraka dipenuhi dengan berbagai kenikmatan syahwat. “

(Sahih Muslim : 8/142-143)

Menelusuri hadis ini, syurga adalah kebahagiaan dan neraka adalah sengsara. Pada syurga itu dipenuhi dengan amalan kebaikan yang dibenci (الْمَكَارِهِ) dan neraka dipenuhi perkara yang dicintai nafsu (الشَّهَوَاتِ).

Lihat pula kepada perbandingan antara sifat yang disandarkan kepada syurga dan neraka dalam ayat al-Quran dan hadis di bawah:

Sandaran sifat pada neraka:

اِنَّ الْمُنَافِقِيْنَ فِى الدَّرْكِ الاَسْفَلِ مِنَ النَّارِ

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkat yang paling bawah dari neraka”.

(Surah An-Nisa’ : 4:145)

Sandaran sifat kepada syurga:

” Sesungguhnya di Syurga terdapat seratus darjat yang Allah sediakan untuk orang yang berjihad di jalan Allah. Antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi. Maka jika kamu meminta kepada Allah, mintalah al-Firdaus al-A’la. Sesungguhnya ia berada di tengah-tengah Syurga dan tempat yang paling tinggi. Di atasnya terdapat Arasy Allah. Daripadanya mengalir sungai-sungai Syurga. “

(Riwayat al-Bukhari)

Kedua-dua sandaran memberitahu kita bahawa menuju syurga itu seumpama mendaki atau menaik (دَرَجَةٍ) dan menuju neraka itu menurun (الدَّرْك).

Maka, jelas bagi kita mengapa melakukan amalan kebaikan itu susah seperti mana susahnya kita menaiki bukit dan senangnya kita tergelincir jatuh ke dalam maksiat seperti meluncur ke bawah hatta dengan sedikit kelalaian pun.

Sollu Ala Nabi.

Sebagai kesimpulan, kecintaan kepada baginda, kebahagian dan kesengsaraan, amalan kebaikan dan keburukan, semua sekali dikaitkan dengan satu ayat al-Quran;

“Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu semua mencintai Allah maka ikutlah aku (Nabi Muhammad), nescaya Allah SWT akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.

(Surah Ali Imran : 3:31).

Jika kita mencintai Allah, dan mencintai baginda Nabi Muhammad SAW, maka kita akan mengikuti apa yang baginda laksanakan. Bak kata orang bercinta: “Aku mengasihi apa yang kamu kasihi, aku laksanakan apa yang kamu laksanakan.”

Sollu Ala Nabi.

Akhir kalam, saya naqalkan kalam Syeikh Yusuf Al-Hasani:

“Aku boleh datang kepada kamu beribu kali untuk aku sampaikan kalam aku, tapi seandainya kamu tidak berfikir berkenaan diri kamu, aku hanyalah kerugian buat kamu”

Wallahualam.

 

azri

“Pengurusan Kewangan Berkualiti, Kredibiliti PERUBATAN Diperakui”

Muhammad Nur Azri Bin Mohd Hisam
Bendahari
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015