Abou Risy, 11 April 2014 – Usaha Chef Club  nyata membuahkan hasil. Kelas masakan atau dikenali sebagai Daurah Dapur anjuran Chef Club yang bernaung di bawah Biro Sukan dan Aktiviti Luar (BSAL) , PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015 telah diadakan dengan jayanya.

“Saya berharap agar para peserta dapat mempraktikkan segala ilmu yang diperoleh hasil dari daurah ini, “ ujar saudari Nur Liyana bt Abdul Aziz, Timbalan Biro Sukan dan Aktiviti Luar PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015 ketika merasmikan program ini. Rata-rata ahli yang hadir menunjukkan minat luar biasa dalam mempelajari resepi baru.

Program dimulakan dengan kelas tutorial makanan Asia yang dikendalikan oleh saudari Siti Nur Hazwani bt Abdul Aziz dan Nusaibah bt Abdullah. Mereka telah menerangkan resepi dan cara memasak pelbagai jenis makanan dan antaranya ialah itik bersos madu lemon, mee udon, jjangmyeon, sushi, gimbap, dumpling kacang merah, phat phet dan juga somtam.

Bagi makanan timur tengah, tutorial membuat kek qudrah qadir, nasi fattah, sup kacang addas beserta khusyari telah disampaikan oleh saudari Dina Adilah bt Nasuha serta Ummu Helma bt Hassan. “Makanan timur tengah sangat mudah untuk dimasak dan tidak remeh,” ujar salah seorang dari mereka.

Para peserta cukup teruja apabila mereka berpeluang untuk membuat sendiri sushi dan gimbap beserta sup kacang addas hasil tunjuk ajar mentor. Daurah Dapur yang memakan masa selama hampir dua jam setengah ini ternyata amat memberangsangkan apabila rata-rata peserta menyatakan semangat mereka untuk mencuba resepi-resepi yang dipelajari di rumah kelak.

Hadir sama, saudari Nurul Miza Shasheiha bt Abdul Mutalib yang merupakan Pengerusi Chef Club PCK 2014/2015. Beliau berharap agar Chef Club dapat berkolaborasi bersama kelab masakan pelajar Arab yang lain. Selain itu, besar harapan beliau agar ahli dapat memaksimakan penglibatan mereka dalam aktiviti yang dianjurkan Chef Club bagi mengasah kemahiran di samping mengeratkan silaturrahim sesama ahli.

chef club

 

 

Disediakan oleh,

Nurfatin Afiqah bt Mohd Badrondin

Unit Liputan,
Biro Penerbitan dan Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015