Abou Risy, 17 April – Bengkel Latihan dan Kemahiran Setiausaha (BALKIS) berjaya dilaksanakan. Program yang memakan masa selama lebih kurang 3 jam ini merupakan anjuran Jabatan Setiausaha PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015.

BALKIS telah dihadiri oleh semua setiausaha dari setiap biro yang terdapat dalam PCK. Bengkel yang bertempat di markas PERUBATAN Abou Aisy ini membawa matlamat penting iaitu untuk menjelaskan bidang-bidang tugas seorang setiausaha, dan membetulkan persepsi serta salah faham terhadap gerak kerja setiausaha terutamanya kepada mereka yang baru menceburi bidang kesetiausahaan.

Setiausaha PCK, Muhammad Hafiz bin Nazri telah mengendalikan keseluruhan majlis serta berucap dalam sesi pengenalan bengkel. Kemudian program diteruskan dengan slot Pengenalan Bidang Kesetiausahaan yang dibentangkan oleh wakil PERUBATAN Frontliner (PROF), Ahmad Aizzuddin bin Daud. Melalui slot ini, para peserta mendapat pencerahan tentang siapa itu setiausaha serta jelas akan bidang-bidang tugas dan kemahiran yang perlu ada sebagai seorang setiausaha.

Menurut salah seorang peserta, Siti Nur Hazwani bt Abdul Aziz yang merupakan Setiausaha Biro Penerbitan dan Penerangan, PERUBATAN Cawangan Kaherah, “Bengkel ini sangat bagus dan membuka minda saya bahawa tugas setiausaha tidak terhad kepada membuat laporan sahaja, malah setiausaha itu menjadi lambang sesebuah organisasi”.

Bengkel disemarakkan lagi dengan slot Panduan Pendokumentasian yang disampaikan oleh saudari Siti Syahida bt Jamaluddin dari Unit Arkib dan Dokumentasi,Jabatan Setiausaha. Beliau memberi pendedahan kepada para peserta mengenai pengkelasan data-data serta dokumen.

Seterusnya Amir Syahid bin Ezani menjelaskan bahawa setiausaha perlu memainkan peranan penting dalam sesebuah mesyuarat serta mengendalikannya dengan baik melalui slot yang disampaikan beliau iaitu, Pengendalian Mesyuarat.

Sebelum bengkel melabuhkan tirai, para peserta telah didedahkan dengan bentuk format sebenar surat rasmi,laporan,kertas kerja serta sebarang bentuk dokumen.Hal ini adalah kerana ia penting bagi menghasilkan pendokumentasian yang sistematik dan tersusun. “Besarlah harapan saya agar setiap peserta mendapat manfaat dari bengkel ini untuk menyelaraskan gerak kerja jabatan setiausaha, berkongsi pengalaman dengan senior serta belajar cara mengendalikan mesyuarat dengan optimum”, ujar Ainatul Mardhiah bt Mohammadin ,Timbalan Setiausaha PCK 2014/2015 yang turut sama hadir memeriahkan bengkel.

Disediakan oleh,

Siti Nur Sabiha bt Ahmad Fadzil
Unit Liputan
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015