logo-perubatan

“Memaknakan Kita Keluarga PCK”

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh,


الحمد الله رب العلمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه اجمعين

1.    Terima kasih saudara pengerusi sidang, Yang Berbahagia Saudara Abd Rahim Bin Abdul Samad,  ahli-ahli Lembaga Penasihat, barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi sesi  2013/2014 dan sesi baharu sesi  2014/2015, Yang Berusaha Saudara Mohammad Aqil Bin Azman, Pengarah Mesyuarat Tahunan Cawangan Kaherah (MTC) kali pertama, barisan ahli Jawatankuasa MTC seterusnya para perwakilan dan pemerhati yang hadir hari ini. Salam persidangan saya ucapkan.

2.    Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam kitab-Nya yang Mulia:

Maksudnya: Katakanlah, sesungguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku hanyalah kerana Allah Tuhan Pentadbir seluruh alam. (Surah al-An’am ayat 162)

3.       Rasulullah merupakan seorang yang sangat sibuk. Menjadi pemimpin umat Islam dan Negara Madinah tentulah menuntut tenaga yang amat banyak. Pada masa yang sama beliaulah juga murabbi dan pendidik manusia; menitiskan curahan nuraninya kepada insan lain, membentuk akhlak, memasakkan akidah yang mantap dan mengajarkan manusia syariat Allah.

4.       Namun tidak sekali-kali baginda berasa penat, tidak pernah beliau berasa lelah. Hal ini kerana hatinya yang ikhlas kerana Allah Taala.

5.       Akhlak sebegini menjadi bukti dan contoh bahawa setiap amalan yang kita lakukan bukanlah semata-mata untuk kebaikan di dunia. Hakikatnya inilah ibadah yang mengisi tabung akhirat kita mudah-mudahan diberikan kebaikan oleh Allah.

Sahabat – sahabat yang saya kasihi sekalian,

6.       Setahun PCK sudah bergerak, barisan kepimpinan yang lalu telah menyediakan tapak dan asas yang baik untuk pergerakan generasi seterusnya. Dengan asas yang telah kita bina, seharusnya kita melangkah ke era seterusnya; saya sampaikan 4 seruan kepada sahabat – sahabat sekalian:

Menyuburkan Suasana Menuntut Ilmu

7.       Kita seharusnya sedar, kehidupan kita adalah untuk memburu ilmu demi mendapatkan reda daripada Allah Ta’ala. Kejayaan datang daripada kemahuan diri sendiri, bukan ditunggu!

8.       Saya menyeru sahabat-sahabat sekalian supaya bangkit, tanamkan azam dalam diri sendiri mulai saat ini, kita akan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Ukuran utama bukanlah semata-mata keputusan peperiksaan , tetapi semangat dan usaha kita untuk berhempas pulas belajar, mengulangkaji pelajaran itu yang dinilai oleh Allah.

9.       Selain itu, beberapa mekanisme bantuan akan kita sama – sama usahakan. Saya menyeru kepada semua untuk sama-sama kita jayakan: 

  • Menghidupkan suasana belajar dalam kalangan batch dan komuniti PCK.
  • Membudayakan diri pergi ke hospital.
  •  Pengurusan masa yang baik terutamanya dalam pengurusan mesyuarat. Saya menyeru kepada semua ketua – ketua unit, bakal pengarah-pengarah program malah semua ahli untuk mengoptimumkan waktu mesyuarat. Tidak perlu kita lambakkan semua masalah untuk diselesaikan dalam mesyuarat. Sentiasalah member kerja rumah(homework) sebelum   mesyuarat sebagai satu persediaan yang baik untuk mewujudkan mesyuarat yang berkesan.

Melahirkan Mahasiswa Berakhlak Mulia Dan Celik Ilmu Islam.

Sahabat – sahabat yang dirahmati Allah,

10.   Tiada gunanya ilmu tanpa akhlak. Khilafah Abbasiah yang cukup cerdik dengan ilmu, terkenal dengan intelektualisme yang tinggi serta khazanah Baitul Hikmahnya, tetap jatuh runtuh diranapkan oleh tentera Mongol yang jahil

11.  Sama – samalah kita bermujahadah dalam membaiki diri. Saya ingin menyeru kepada sahabat-sahabat semua untuk:

  •  Melazimi diri dengan membaca Al-Quran.
  • Menghadirkan diri ke kelas tafaqquh PERUBATAN.
  • Menguasai bahasa arab sebagai ilmu alat kepada ilmu – ilmu islam yang lain.
  • Menghadirkan diri ke kelas Syeikh seperti di Masjid Azhar, Muqattam dan juga Mudhoyafah di Hussein.

12.   PCK akan terus komited dalam mewujudkan biah solehah yang baik untuk membantu membangunkan ahli dengan:

  • Menyuburkan suasana Al-Quran.
  • Menghidupkan suasana usrah.
  • Menggalakkan ahli bertalaqqi.
  •  Memberi kefahaman dan thaqafah  berkaitan isu-isu agama dan isu umat islam

 

13.   Kesemua mekanisme pembinaan biah dan saranan ini adalah untuk merealisasikan lahirnya generasi PCK yang berjiwa rabbani.

 

14.   Di samping kita membaiki diri, jangan kita lupa untuk kita turun dan berkhidmat meng’islah’ masyarakat kita.

أصلح نفسك وادعوا غيرك

‘Perbaikilah diri dan serulah yang lain’

PCK Medan Latihan dan Kemahiran

15.   PERUBATAN telah sekian lama menjadi medan untuk mengasah potensi diri. Kerangka persatuan yang syumul ini meliputi pelbagai minat ahli dalam semua bidang seperti akademik, dakwah, kewangan, ekonomi, pengurusan, sukan, penerbitandan lain-lain.

16.   Saya menyeru kepada sahabat-sahabat untuk sama- sama itqan dan bermujahadah dalam pelaksanaan gerak kerja. Niatkan di hati saat menjadi tenaga gerak kerja, saat ini merupakan satu proses mendidik diri dari segi sikap, kemahiran serta menambah pengalaman.

17.   PCK melalui PROF Council dan biro-biro akan member ruang seluas-luasnya kepada semua ahli. Panduan-panduan serta bimbingan akan diberikan dalam meningkatkan jati diri ahli.

 Kita Keluarga PCK

18.   Sepanjang ucapan saya sebutkan berkenaan peranan PCK. Namun suka untuk saya tegaskan PCK itulah ahli; setiap daripada kalian merupaka nfunctional unit yang penting. Sekiranya cacat seorang, yang lain akan turut terkesan. Setiap perbuatan kita member kesan kepada komuniti. Mengambil ibrah daripada potongan hadis nabi:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

 “Perumpamaan orang mukmin dalam kasih saying, belas kasih serta cinta adalah seperti satu tubuh. Jika satu anggota tubuh berasa sakit maka sakit seluruh tubuh dengan tidak tidur dan demam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

19.   Sama-samalah kita hayati ukhuwwah islamiyah antara kita. Tingkatkan ta’aruf dan tafahhum sesame kita. Jalinkan silaturrahim melewati sempadan batch. Hayati semangat takaful iaitu tolong-menolong tanpa mengira sesiapa pun.

20.   Saya juga menyeru untuk kita melazimi ziarah-menziarahi antara sahabat. Tingkatkan juga dakwah fardiyyah. Ibarat sebuah keluarga yang tautannya ialah akidah Islam.

21.   Harapan saya agar setiap elemen yang disampaikan ini dapat dihayati seterusnya dinatijahkan dengan amal. Sama-sama kita menuju satu destinasi menjadi doktor yang kompeten, holistic dan berkemahiran.

22.   Akhir kalam, semoga kita sentiasa dipandu dengan hidayah Allah.

Seeru ‘Alabarakatillah. Assalamualaikum.

 

Ini adalah ucapan dasar pengerusi PCK sesi 2014/2015 semasa Mesyuarat Tahunan Cawangan Kaherah kali pertama tempoh hari.

“Kita Keluarga PCK”
“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar- Rahmah”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 haniz iqbal

Haniz Iqbal Bin Hazaidi
Pengerusi
PERUBATAN Cawangan Kaherah
Sesi 2014/2015