Kasr Al-Ainy, 1 Mac-  Detik debaran kini berakhir apabila mesyuarat tahunan bagi setiap tujuh cawangan PERUBATAN di Mesir dapat dijalankan secara serentak pada 28 Februari dengan jayanya.  Dalam sejarah PERUBATAN, ini merupakan pertama kali dianjurkan Mesyuarat Tahunan Cawangan PERUBATAN Cawangan Kaherah.

“Tanggal 9 Mac 2014, maka genaplah setahun penubuhan PERUBATAN Cawangan Kaherah.”, ujar Saudari Izzati Farhanah bt. Arip, Timbalan Bendahari Kehormat merangkap Timbalan Ketua Jabatan Ekonomi, Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) dalam ucapan perasmian beliau.

Dalam ucaptama oleh Pengerusi  PCK sesi 13/14, Saudara Ahmad Kamil bin Ahmad Fahmi, beliau menyatakan bahawa PCK telah disambut baik oleh ahli dan terus berusaha membawa pembawaan atau agenda tahunan PERUBATAN dengan sebaik mungkin.  Lima pembawaan ini diakui sendiri oleh beliau merupakan agenda yang cukup besar dan meluas tetapi berjaya dipasakkan melalui organisasi yang mapan dalam PCK.

ASH_0102

Antara pesanan terakhir yang diberikan oleh beliau buat pengemudi dan penggerak akan datang ialah kita hendaklah memperbaiki diri sebagai seorang muslim dan memantapkan hubungan dengan Allah dalam memikul amanah sebagai khalifah di muka bumiNya. Di samping mempersiapkan diri untuk merawat penyakit dalam masyarakat.

Selain itu, kita juga perlu menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan secara menyeluruh ke arah menjadi doktor muslim profesional, da’ie buat masyarakat dan qudwah hasanah sebagai mahasiswa Mesir. Kita juga mestilah terus memberi sumbangan untuk komuniti PERUBATAN.  Tiada istilah berhenti selagimana Allah memberi nikmat hidup kepada kita.

Tahniah dan takziah buat barisan pucuk pimpinan baru  AJKT PCK sesi 14/15. Semoga dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan sebaiknya.  Ayuh sama-sama kita sebagai ahli keluarga PERUBATAN Cawangan Kaherah memberi kerjasama yang baik dan sokongan yang berterusan dalam usaha melahirkan warga PERUBATAN yang berkualiti. Bak kata pepatah, ‘bersatu kita teguh,bercerai kita roboh.’

Disediakan oleh,

Hidayatul Naadiah binti Zulkifli
Unit Liputan
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Kaherah