Kasr Al-Ainy, 1 Mac – Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC)  Kaherah yang julung-julung kalinya diadakan ditutup kemas dengan ucapan dasar Pengerusi PCK sesi 2014/2015, Saudara Haniz Iqbal bin Hazaidi. Kalam Pengerusi telah dimulakan dengan sepotong ayat al-Quran daripada Surah al-An’am ayat 162 yang menyatakan hakikat pengabdian kita kepada Allah SWT. Saudara Haniz Iqbal turut mengambil Rasulullah sebagai suri teladan kita yang pada hakikatnya jauh lebih sibuk berbanding kita.

Beliau telah menyampaikan 4 seruan kepada seluruh warga PCK  iaitu “Menyuburkan Suasana Menuntut Ilmu”, ”Melahirkan Mahasiswa Berakhlak Mulia dan Celik Ilmu Islam”, “PCK Medan Latihan dan Kemahiran” dan “Kita Keluarga PCK”. ASH_0112

Presiden PERUBATAN sesi 2013/2014, Saudara Abd Rahim bin Samad, dalam sesi perbahasan ucapan dasar ini telah memuji Saudara Pengerusi kerana menurutnya “4 seruan yang diketengahkan dalam ‘Memaknakan Kita Keluarga PCK’ ini sangat bertepatan dengan 3 teras utama seorang Muslim iaitu ilmu dan kefahaman yang tinggi, semangat yang jitu dan hubungan dengan Allah yang mantap.”

Sesi perbahasan ucapan dasar ini turut menyentuh jiwa-jiwa para junior apabila kesemua perwakilan yang berbahas merupakan para senior yang terdiri daripada mahasiswa tahun 5 & 6 yang merupakan antara generasi awal PERUBATAN.

Salah seorang perwakilan yang berbahas turut menegur para junior dan mengingatkan bahawa kita sepatutnya tidak menganggap persatuan ini sebagai penjajah yang mengongkong ahli tetapi sebaliknya bekerjalah dengan ikhlas sebagai tanda syukur kita kepada Allah atas nikmat PERUBATAN yang ada ini.

Disediakan oleh,

Nur Farzana Sahira binti Ariffuddin
Unit Liputan
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Kaherah