Kasr Al-Ainy, 1 Mac – “Kami di pihak pimpinan sesi 2014/2015 akan sedaya upaya untuk menjayakan semua usul tersebut. Walau bagaimanapun, besarlah harapan kami agar seluruh warga PCK turut serta dalam merealisasikan usul yang telah kita sama persetujui. Marilah kita bersama bergerak sebagai satu functional unit. Kita keluarga PCK!” ujar Saudari Farah Hanin binti Mohd Azmi, Timbalan Pengerusi PCK sesi 2014/2015 ketika ditanya adakah AJKT sesi 2014/2015 akan terbeban dengan lima usul yang diterima.

Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) Kaherah kali pertama yang diadakan di Dewan Amphiteater,Hospital Faransawi, Kasr Al-Ainy menyaksikan ahli PCK bersatu hati menerima semua lima usul yang dibentangkan. Semua usul turut mengalami beberapa pindaan sebelum diluluskan sama ada yang dipinda sendiri oleh pengusul atau dipinda berdasarkan cadangan oleh perwakilan ketika sesi perbahasan.

Usul pertama yang telah dibentangkan oleh Saudara Ahmad Faiz bin Zaib, Naib Pengerusi I PCK 2013/2014, membawa matan “Menaiktaraf Majlis Ketua Batch (MKB) kepada Organisasi Batch (OB) untuk meningkatkan hubungan 2 hala antara organisasi batch dan organisasi PCK”. Usul ini telah diketengahkan bagi  mengurangkan birokrasi dan melancarkan gerak kerja ahli. Konsep OB ini telah mengambil ilham daripada PERUBATAN Cawangan Iskandariah (PCI). Diharapkan selepas usul ini dilaksanakan kelak, tiada lagi isu ‘pertindanan arahan’ atau ‘lambakan tugas’ yang membelenggu ahli PCK

ASH_9986

Usul kedua pula berbunyi “Menggesa keterlibatan optimum ahli PCK dalam menggembleng tenaga bersama-sama dengan pimpinan PCK bagi menghadapi isu keselamatan.” Usul ini telah dibentangkan oleh Saudari Siti Noor Izaty binti Rosli, mahasiswi tahun 4 dan merupakan usul yang paling hangat dengan undi sengit, 83 terima dan 81menolak.

Seterusnya, usul “Memperkasakan kemahiran klinikal dalam kalangan ahli PCK dengan mengoptimumkan penggunaan hospital universiti dan memberi pendedahan awal kepada mahasiswa pra-klinikal ke arah  melahirkan graduan yang kompeten.” Usul ini telah dibentangkan oleh Saudari Amanina binti Juazer Rizal, mahasiswi tahun 5. Dalam perbahasannya, antara perwakilan yang menyokong usul ini telah mengingatkan semua ahli sidang kepada kata-kata Dr. Hazem Abd Tawab “If you want bedside teaching, bring it here!”

“Memperuntukkan masa khusus untuk pelaksanaan SC secara mingguan bagi memastikan SC berjalan dengan baik” begitulah matan usul keempat yang telah dibentangkan oleh Saudara Ahmad Luqman bin Ibrahim, Ketua Unit Mentor Council PCK 2013/2014. Dalam pembentangannya, beliau telah menunjukkan graf peningkatan keberlangsungan SC hasil percubaan ‘Hari Jumaat = Hari SC’ yang telah dijalankan pada Mac 2013 yang lepas. Walau bagaimanapun, usul ini telah mengetengahkan ‘masa SC’ dan bukannya ‘hari SC’ seperti percubaan yang lepas.

ASH_0041

Menurut Saudara Luqman, sebarang program atau mesyuarat di peringkat PERUBATAN tidak akan dijadualkan ketika ‘masa SC’ tersebut dan sebuah panitia perancang akan ditubuhkan bagi mengkaji ‘masa SC’ yang sesuai dan bakal ditetapkan kelak. Menurutnya lagi, pelaksanaan usul ini adalah mengikut sesi pengajian dan bukan sesi kenaikan AJKT kerana tidak mahu mengganggu jadual persendirian ahli yang telah ditetapkan pada awal sesi pengajian masing-masing.

Usul terakhir pada hari itu ialah usul daripada saudara Muhammad Hafiz bin Nazri, Setiausaha PCK 2013/2014, yang berbunyi “Mengoptimumkan penggunaan sumber manusia melalui pemerkasaan PROF”. Rata-rata AJKT yang berbahas menyokong usul ini kerana pihak pimpinan selama ini memang menggunakan khidmat PERUBATAN Frontliners Council (PROF) dalam melantik ahli jawatankuasa unit dan pelaksana. PROF juga dikatakan sangat membantu untuk mengenal pasti minat dan kecenderungan ahli kerana mempunyai data yang lengkap.

Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) Kaherah yang bertemakan “Suarakan Solusi, Menuju Transformasi” telah melabuhkan tirainya. Maka, sekarang waktunya kita keluarga PCK bergerak bagi merealisasikan transformasi yang ingin dituju.

Disediakan oleh,

Nur Farzana Sahira binti Ariffuddin

Unit Liputan

Biro Penerbitan dan Penerangan

PERUBATAN Cawangan Kaherah