ABOU RISH, 31 Januari 2014 – Sempena cuti musim sejuk kali ini, PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) di bawah Biro Pembangunan Insan (BPI)  telah menganjurkan satu program Daurah Kitab Al Jawaher Al-Lu’lu’iyah fi Matan Arbain.  Ia adalah sambungan daripada daurah sebelum ini yang telah diadakan semasa cuti musim panas di dalam program Ihya’ Ramadhan (IHRAM 1434H).

Pengajian yang berlangsung selama 2 hari ini iaitu 30 dan 31 Januari telah diadakan di Markas PERUBATAN  Abou Risy.  Sambutan ahli agak memberansangkan, memandangkan sasaran peserta untuk program ini adalah mereka yang tinggal di Mesir ketika cuti.  Tempoh cuti yang  panjang menjadi faktor ahli mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat.  Seramai 82 orang ahli telah menghadirkan diri ke majlis ilmu ini.

a3

Pengisian mantap seiring dengan keberkesanan sang penyampai.  Kitab yang dibentangkan merupakan syarah bagi Hadith 40 Imam Nawawi, oleh Muhammad bin Abdullah al-Jardani al-Dimyati.  Ustaz Khairul Abdan yang merupakan penuntut al Azhar dalam bidang hadith telah mensyarahkan kitab dengan cara yang berkesan sambil bersahaja.  Selitan cerita-cerita serta ilmu yang mendalam membuatkan ahli sentiasa menadah telinga mengutip setiap kalam mutiara ilmu.

Di samping itu, alunan qasidah sentiasa bergema di ruang markas untuk mengisi masa kosong dan rehat.  Antara qasidah yang ingin diketengahkan kali ini termasuklah Innal Habibi dan selawat tafrijiyat yang sememangnya sangat besar fadhilatnya jika diamalkan secara istiqamah.  Semoga dengan cari ini dapat mentarbiyah ahli  secara tidak langsung melazimi selawat dan qasidah memuji Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam.  Begitu juga tayangan video seperti Fattabiouni yang terbukti berkesan dalam menimbulkan suasana ilmu dan tarbiyah dalam majlis ini.

a2

Pada hari pertama, perjalanan majlis terpaksa diubah atas sebab yang tidak dapat dielakkan.  Pengajian telah dipadatkan daripada pukul 9.30 pagi kepada  pukul 12.00 tengah hari, menghabiskan sebanyak 6 hadis, iaitu Hadis 19 sehingga  hadis 24.  Sungguhpun begitu, ahli tetap memberi perhatian dan bersungguh-sungguh sehingga akhir pengajian.   Antara yang disediakan untuk ahli termasuklah sarapan, makan tengah hari dan booklet qasidah.

Pada hari kedua pula, majlis dimulakan lebih awal pada pukul 8.30 pagi.  Syarahan yang berselang dengan qasidah nyata lebih santai dan tenang.  Di tambah pula dengan acara kuiz yang menyegarkan minda serta menaikkan semangat ahli untuk menjawab dan memperoleh hadiah yang disediakan penganjur.  Tepat jam 12.00 tengahari, majlis memberi ruang kepada ikhwah untuk ke masjid bagi solat Jumaat dan program disambung semula selepas makan tengah hari.  Majlis disudahi pada pukul 3.30 petang dengan penyampaian sedikit cenderahati kepada Ustaz Khairul Abdan.

a1

Secara keseluruhan, program 2 hari ini berjalan dengan baik serta mendapat sambutan ahli dan sangat bermanfaat.  Harapan di masa yang akan datang agar majlis ilmu penuh barakah ini dapat diteruskan , bukan sahaja untuk menghabiskan kesemua hadis 40, bahkan menambah thaqafah dan meningkatkan pengetahuan dalam bab hadis.

Disediakan oleh,

Athifah binti Abdul Aziz
Setiausaha,
Daurah Kitab Winter,
PERUBATAN  Cawangan Kahera 13/14