Kasr Al-Ainy, 22 Februari  – Penat lelah setelah lebih enam tahun menuntut ilmu di bumi Mesir berakhir dengan wajah-wajah kegembiraan. Tepat jam 6.45 petang, telah berlangsung satu majlis gilang gemilang, Majlis Graduasi 2014 di Kasr Al-Ainy Conference Center. Para tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga yang datang jauh dari Malaysia, rakan-rakan serta ‘juniors’ telah memenuhi dewan sejak jam 5.30 petang lagi.

Majlis Graduasi kali kedua ini telah dikemudikan dalam tiga Bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab oleh dua orang juruacara iaitu Saudari Zuriati Afifah dan Saudara Muhammad bin Rahimi. Majlis dimulakan dengan perarakan masuk para graduan, pihak pengurusan Universiti Kaherah, serta nyanyian dua buah lagu kebangsaan, Negaraku (Malaysia) dan Biladi (Mesir). Bagi memberkati majlis, para hadirin telah diperdengarkan bacaan Surah al-Mukminun ayat 1-18 oleh Saudara Ahmad Faiz bin Zaib.

Majlis diteruskan dengan sesi ucapan, dimulai dengan ucapan pembukaan oleh Dr. Amina Borhamy El-Fadaly, Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kaherah. Seterusnya ialah ucapan daripada dua orang wakil graduan cemerlang sesi ini iaitu Saudara Mohamad Idris Mohd Diah dan Saudari Nurul Izzah Mohd Nathir, serta ucapan wakil pelajar Mesir, Mohamed Salamah Khalil. Para hadirin terhibur sebentar ketika ucapan wakil pelajar Mesir yang cuba untuk berucap dalam Bahasa Melayu serta berpantun.

Nurul Izzah dalam ucapannya berkata, “If you can survive in Egypt, you can can survive elsewhere in the world.” Setelah itu, giliran Dr. Hussein Mahmoud Khairy (Dekan Fakulti Perubatan), TYT Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari (Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir) serta Prof. Gaber Nasar (Presiden Universiti Kaherah) pula menyampaikan amanat masing-masing.

1796607_10202469615994525_756619483_n

Seterusnya ialah penyampaian cenderahati penghargaan daripada pihak Universiti Kaherah kepada para doktor pendidik yang banyak berjasa serta penyampaian cenderahati  daripada pihak Kedutaan Malaysia kepada pihak Universiti Kaherah. Majlis diserikan lagi dengan tayangan video yang dibuat khas oleh graduan Gen 7 berkisarkan Mesir dan alam kuliah perubatan yang dilalui oleh mereka. Setelah itu, para graduan telah mengangkat sumpah ikrar pengamal perubatan yang dilaungkan dalam dua Bahasa iaitu Bahasa Arab yang diketuai oleh Dr. Hussein Khairy dan Bahasa Melayu yang diketuai En. Zikril Azan Abdullah.

Acara yang dinanti-nantikan iaitu penyampaian Ijazah Kedoktoran (MBBcH) kepada para graduan berlangsung dengan penuh gemilang dan telah disampaikan oleh Dr. Hussein Khairy diiringi Dr. Amina Borhamy. Majlis menutup tirainya pada malam itu dengan tunduk hormat tanda penghargaan oleh para graduan kepada ahli keluarga dan tetamu yang hadir serta sesi bergambar.

Disediakan oleh,

Nur Farzana Sahira binti Ariffuddin

Unit Liputan

Biro Penerbitan dan Penerangan

PERUBATAN Cawangan Kaherah