“Nur, lagi beberapa hari lagi nak pi Spain. Wah, seronoknya! Eh, Nur tengok apa kat komputer tu? Fokus betul.”

“Nur tengah baca persoalan sekitar permusafiran wanita ni. Sebelum ni, ada beberapa soalan yang masih berlegar-legar di fikiran Nur pasal permusafiran kita ni. Alhamdulillah, sedikit sebanyak Nur dah faham, tenang sikit nak berjalan-jalan ni ha.”

“Mana-mana? Nak baca jugak.”

********************************

Apakah yang dimaksudkan dengan Safar Mar’ah ?

Maksud سفر dari segi bahasa adalah semata-mata perjalanan manakala dari segi syara’ ialah perjalanan yang melibatkan perubahan hukum syara’. Imam Ghazali rahimahullah mengklasifikasikan permusafiran kepada 3 kategori iaitu :

1) Musafir untuk menuntut ilmu, samada wajib atau sunat bergantung kepada ilmu tersebut.

2) Musafir kerana tuntutan haji dan jihad iaitu musafir kerana ibadah.

3) Musafir kerana ingin lari daripada perkara yang membawa keburukan kepada badan.

Adakah dibolehkan mahasiswi keluar melancong ke tempat lain?

Hukumnya harus dengan syarat ditemani oleh mahram atau musyrif yang dipercayai, dan terjamin keselamatan. Jumhur ulama’ sepakat mengatakan jika bermusafir bersama orang lain (selain mahram) dan terdapat bahaya, maka hukumnya haram.

Bagaimana pula jika saya ingin balik ke Malaysia seorang diri tanpa kawan/teman?

SyeikhYusof al Qardhawi berkata “Apabila kita melihat kepada permusafiran pada zaman ini dengan segala kemudahannya, kita akan mendapati ia seperti kapal terbang yang dapat memuatkan beratus-ratus penumpang yang membawa manusia dari satu negara ke satu negara yang lain dalam waktu yang singkat. Oleh yang demikian, tidak perlu dibimbangkan tentang keselamatan seseorang perempuan apabila kaum keluarganya menghantar kelapangan terbang dan perempuan itu disambut oleh kaum keluarganya di destinasi yang ditujunya. Tambahan pula perempuan itu menaiki kapal terbang bersama penumpang yang dipercayai.”

Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Syeikh Abdullah Jabra’ juga mempunyai pendapat yang sama mengenai isu ini.

Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada musyrif untuk menemani mahasiswi melancong?

Musyrif yang paling utama adalah yang telah berkahwin (mutazawwijin), jika tidak ada, musyrif tersebut mestilah yang boleh dipercayai, menjaga pandangan dan pergaulan, benci kepada kemungkaran dan seorang yang suka berbuat kebaikan. Bilangan musyrif juga mestilah lebih sedikit berbanding bilangan mahasiswi.

Apakah adab-adab yang perlu di jaga oleh mahasiswi sepanjang perjalanan?

Mahasiswi mestilah menjaga adab-adab yang telah digariskan oleh syara’. Antaranya ialah berpakaian menutup aurat, tidak bercakap dengan suara yang lunak, dan tidak memakai wangian yang melampau.

Jika saya ingin keluar melancong semasa cuti, apa langkah-langkah yang saya perlu lakukan?

Ahli perlu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak penaja, PERUBATAN cawangan masing-masing dan JAKSI supaya pihak persatuan serta kedutaan boleh mengesan pergerakan ahli jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

********************************

“Alhamdulillah, bila kita faham rasa tenang sikit untuk teruskan, kan Aisyah? InsyaAllah moga Allah redha. Jom mula kemas barang. Yosh! “

“Ada akhawat pernah tanya soalan ni kat Aisyah. Nanti Nur tolong share kat wall page Aisyah boleh?”

“Boleh. Seronok sikit dapat kongsi ilmu.”

*********************************

Marilah kita sama-sama memahami Fiqh Musafir bagi wanita agar perjalanan dan permusafiran kita diberkati oleh Allah. Islam tidak menggariskan sesuatu hukum dan panduan melainkan untuk kebaikan umat seluruhnya.

Sumber rujukan :
Buku Wanita, Musafir & Ikhtilat, karangan Ustaz Mohd Saiful Azlan Bin Che Daud