KAHERAH,18 Disember, Rabu, -Sebuah rumah yang didiami oleh lima orang mahasiswi Universiti Kaherah berhampiran Restoran Baghal Munirah telah mengalami kebakaran. Empat orang daripada mahasiswi tersebut merupakan mahasiswi tahun akhir yang sedang menghadapi peperiksaan akhir dan seorang lagi merupakan mahasiswi tahun 6 Universiti Kaherah.

Kejadian yang berlaku pada jam 6.50 petang telah disedari oleh salah seorang mangsa, saudari Nur Atiqah Mohd Hanifah. Terkejut melihat keadaan rumah yang dipenuhi asap, mangsa segera menyelamatkan diri bersama seorang lagi ahli rumahnya. Mangsa terus meminta bantuan daripada jiran yang berdekatan.Kebakaran menyebabkan sebuah bilik hangus dijilat api manakala bahagian rumah yang lain seperti tandas dan dapur sedikit terjejas.

IMG-20131218-WA002

Kira-kira pada pukul 7.30 malam, pasukan bomba tiba dan api berjaya dipadamkan setengah jam kemudian. Laporan polis telah dibuat ekoran kejadian ini pada hari tersebut. Punca kebakaran masih disiasat.Alhamdulillah, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Kerugian yang dialami dianggarkan berjumlah 15 000 LE.

Pegawai JPA, Encik Muhamad Zikril Azan bin Abdullah dan pegawai HEP Selangor, Ustaz Mohd Farid Bin Zainal datang melawat mangsa dan melihat tempat kejadian pagi tadi. Turut bersama para pegawai tersebut Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) dan wakil AJKt Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) .

IMG-20131219-00247

Marilah sama-sama kita mendoakan mangsa diberi kekuatan atas ujian ini dan dipermudahkan segala urusan. Ahli PCK disarankan untuk berjaga-jaga dan berwaspada agar kemalangan yang tidak diingini dapat dielakkan pada masa hadapan.

Sebarang laporan atau aduan , sila hubungi :

Aimatnuddin Husairi Bin Hussein : 0114-7626 435
Nur Amnina Binti Nordin : 0115-3690 033

“Haq Tertegak ,Bi’ah Terpelihara”
JAKSI PERUBATAN Cawangan Kaherah