Peristiwa hijrah baginda Rasulullah SAW dan para sahabat dari Mekkah ke Madinah berlaku pada bulan Rabiul’Awal 1435 tahun yang lalu. Hari ini kita meraikan permulaan sanat Hijrah pada bulan Muharram, sebagaimana yang diputuskan Khalifah Ar Rasyidin yang kedua; Saidina Umar al Khattab. Permulaan kalendar Hijriah dinisbahkan pada bulan Muharram sempena menimba barakah ‘kelahiran semula’ ribuan ahli umat ini dari noda dan dosa iaitu para jemaah haji yang mabrur. Demikian semangat yang seyogianya ada dalam diri Muslim dalam meraikan permulaan tahun Hijriah yang baru, mencontohi ketulusan hati mereka yang menginfakkan harta, masa dan tenaga pada jalan yang diredhai-Nya. Sungguh, para jemaah haji yang bersarak dari kaum keluarga yang tercinta demi menunaikan perintah Allah telah mencontohi semangat hijrah baginda rasul dan sahabatnya.

Hijrah dan Persaudaraan

999575_643367199037803_1376518544_n

Peristiwa Hijrah adalah penyaksian yang paling agung terhadap keluhuran hubungan manusia, serta kemampuan tauhid dan cinta merentasi semangat sempit solidariti puak yang berdekad lamanya memerangi satu sama lain. Lafaz pertama ‘Tala’al Badru Alaina’ dinyanyikan dalam jemaah Aus dan Khazraj sudah mencerminkan penerimaan terhadap Muhajirin yang tidak pernah mereka kenali sebelumya. Ajaib sekali bagaimana warga Yathrib yang dahulunya menghunuskan senjata pada jiran sendiri akhirnya dapat mendendangkan lagu kasih dan cinta kepada orang luar. Tiadalah lain sebabnya melainkan kerana kedatangan Rasulullah SAW umpama purnama baru, terbit menerangi kegelapan hidup mereka. Bahkan hati mereka dicairkan dengan api tauhid sehingga mereka dengan rela hati menyedekahkan sebahagian dari rumah, harta dan kebun-kebun mereka.

(ويؤثرون على أنفسهم ولو كان بهم خصاصة ومن يوق شح نفسه فأولئك هم المفلحون)

Dan mereka mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
(Al Hashr: 9)

Budaya  jahiliyyah lampau mulai dikikis dan digantikan dengan sikap ‘ethar’ atau mengutamakan orang lain melebihi diri mereka. Kemampuan mereka menyerahkan harta benda tanpa sesal adalah kerana hilangnya hajat mereka terhadap tiap-tiap hiasan duniawi tersebut. Sebaliknya, pengharapan mereka telah beralih kepada yang jauh lebih tinggi dari itu yakni Sang Pencipta segala yang wujud. Lantaran itu, begitu mudah sekali mereka meleraikan diri dari segala  material yang dahulunya membelenggu mereka dan menyerahkannya pada orang asing yang baru dikenali. Tambahan pula kalamullah menjelaskan bahawa kejayaan mengiringi mereka yang mampu mencantas dorongan nafsu yang memperdaya diri mengaut harta benda untuk kepentingan sendiri belaka.

1175161_10151826643209803_531627921_n

Ansar dan Antidot Materialisme

Kisah Hijrah akan berselanjaran relevan kerana di dalamnya terdapat antidot terhadap racun materialisme dan konsumerisme yang kian meresap ke dalam pembuluh darah umat. Antidot akan bagaimana penduduk Hijaz yang asalnya begitu mencintai nasab dan harta benda mereka serta sanggup berbunuhan kerananya tiba-tiba berubah sikap 180 darjah, melepaskan semua dengan begitu bersahaja!

Imam al-Qushayri berkata semangat ‘ethar’ orang yang beriman adalah kerana mereka telah terpisah daripada keinginan material di dunia ini. Permusuhan mereka telah digantikan dengan kepercayaan yang kuat melalui proses ‘Tajrid’, pelucutan ketamakan dari diri. Demikianlah, kemuliaan bukan pada kebebasan berbuat apa sahaja tetapi pada kebolehan mengawal hawa nafsu. Maka orang-orang Ansar benar-benar mulia, kerana kemuliaan sebenar adalah adalah pada yang memberi daripada yang mengambil. Bahkan pada pengorbanan, berbanding menyambut pengorbanan orang lain.

Berbeza pula dengan kita di masa ini. Budaya materialisme telah mencabut sifat ‘qanaah’ dari akar umat dan menjadikan kita kikir. Manusia kini sentiasa dahaga akan pembaharuan yang tak pernah berhenti, tamak untuk memiliki lebih dari keperluan. Racun pemikiran melalui media massa: akhbar, radio, televisyen dan internet bagaikan kaleidoskop yang menambah efek godaan dunia material. Persoalan apakah yang ‘in trend’  menjadi satu persoalan yang penting. Seolah-olah sesiapa yang keciciran hari ini bukan lagi penduduk dunia yang sejati. Bertukar jenama telefon bimbit menjadi kebiasaan mahupun barang material lain dan barangkali hingga mempengaruhi manusia untuk bertukar-tukar pasangan pula! Demikian manusia yang hidup memenuhkan keperluan hayawaniah sahaja bagaikan kera yang tidak mampu untuk duduk diam setempat.

1375227_570521999668900_1426210226_n

René Guénon, intelektual Perancis dalam bukunya La crise du monde moderne (The Crisis of the Modern World) mengkritik manusia zaman moden ini akan segala pembaharuan yang mereka banggakan:

The men of today boast of the ever growing extent of the modifications they impose on the world, and the consequence is that everything is thereby made more and more ‘artificial’

-Manusia hari ini mendabik dada akan perkembangan pengubahsuaian yang mereka laksanakan di dunia sedangkan akibatnya menjadikan segala-galanya  lebih ‘tiruan’-

Hakikatnya kegilaan pada material menjadi seperti lampu neon yang menyilaukan mata manusia dari melihat sinar bintang di langit. Sehingga akhirnya kita menjadi terpesona dengan yang superfisial dan tiruan hingga tidak lagi memikirkan realiti yang lebih tinggi. Manusia pasca modernisme ini dalam diam mempunyai ‘lembu emas’ yang mereka sembah dalam hati masing-masing sama ada berupa wang ringgit atau jawatan yang mereka rebutkan saban hari.  Sepertimana kisah Bani Israel sepeninggalan Nabi Musa ke Gunung Sinai. Adakah kita mahu mengikuti jejak kaum yangg begitu terkenal dengan materialisme mereka, sehingga mereka meminta melihat Allah dengan zahir kerana tidak tahu beriman kepada yang ghaib?

Sedarlah, kita tidak memerlukan pembentangan teori konspirasi Freemason diiringi musik suspen untuk menyedari hakikat dajjal berupa materialisme sedang mengguliti umat. Padahal baginda Rasulullah, 14 kurun yang lalu telah bersabda:

لكل أمة فتنة، وفتنة أمتي المال

Sesungguhnya pada setiap umat ada fitnah (yang merusak/menyesatkan mereka) dan fitnah (pada) umatku adalah harta [HR. Bukhari]

69513_462619057167153_321810816_n

Kehendak yang meluap-luap yang tidak pernah merasa puas itulah yang harus dikhawatirkan, yang menjadikan manusia sentiasa dalam keadaan berkejaran. Malah kemajuan yang bergerak pantas itu satu petanda yang patut dirisaukan. Hal ini demikian kerana manusia bergerak lebih laju menuruni cerun berbanding mendaki gunung. Barangkali kecepatan waktu yang dirasai kini adalah petanda bahawa kita sedang menuruni cerun ke Hari Yang Dijanjikan. Sementara para Muhajir yang bersusah payah dalam meninggalkan larangan Allah, merekalah yang sedang mendaki kejayaan.

Sabda Rasulullah:

المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده، والمهاجر من هجر ما نهى الله عنه

Muslim adalah orang yang memelihara muslim yang lain dari (disakiti) lisan dan tangannya. Dan Muhajir adalah orang yang meninggalkan segala larangan Allah”    [HR Bukhari]

Melewati Jahiliyyah

Realitinya, meneliti sandiwara manusia masa kini ibarat menonton tayangan filem yang ditekan butang ‘mundur kembali’ dengan alat kawalan jauh. Kita kini telah kembali kepada budaya jahiliyyah  setelah segala kepayahan yang dilalui Rasulullah dalam membebaskan umatnya. Jahitan persaudaraan yang dahulunya disulam baginda Rasul hampir tertetas dengan percambahan gerakan yang ‘ghuluww’ sifatnya. Gerakan pembaharuan yang asalnya berniat menyamaratakan perbezaan akhirnya menjadi gerakan yang mendesak pembetukan Islam yang totaliter, menyempitkan model Islam sebenar mengikut acuan ideologi mereka. Tiada yang benar melainkan kelompok kami, demikian slogan tersirat aktivis muda dalam semangat dakwah memperbaharui masyarakat.

Senario kebangkitan puritan Islam merupakan suatu  realiti yang tidak dapat dinafikan telah meningkatkan konflik berdarah sesama Muslim dan menghancurkan begitu banyak tinggalan sejarah Islam di seluruh dunia. Kumpulan seperti Boko Haram, yang membakar kampung-kampung atas nama agama di Nigeria, Ansar Dine mahupun kumpulan militan lain yang menghancurkan makam-makam awliya di Mali, Syria dan Libya atas dasar ‘menghapuskan kesyirikan’  serta begitu banyak kelompok lain yang membudayakan takfir. Mereka berkehendakkan kepada satu bentuk Islam yang  statik tanpa menyedari betapa mudah ia bakal dipatahkan. Sedangkan Islam telah berkurun lamanya berdiri di atas kepelbagaian dan dinamik.

Bc7mr9wCUAAiUeJ

Di tanah air sendiri nuansa sedemikian mula menampakkan bibit-bibit pertumbuhan dengan golongan yang ingin merentasi semua sejarah kepelbagaian dan kononnya kembali kepada kesatuan salaf-walhal para salaf sendiri diwarnai kepelbagaian pendapat. Barangkali ada dalam kalangan kita yang mengenepikan golongan ‘ghuluww’ sebagai masalah sampingan walhal inilah simptom penyakit umat yang pinta diubati. Pertumbuhan kelompok ‘ghuluww’ dan muda-mudi radikal akan terus bercambah selagi persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhannya itu masih ada.

Seorang mukmin itu harus benar-benar merasa bersaudara dengan mukmin yang lain. Apapun perbezaan sesama mukmin, mereka itu bersaudara selama masih di wilayah Iman dan Islam. Perbezaan itu sesuatu yang manusiawi dan telah lama mencorakkan dunia. Dalam kalangan sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga pun punya perbezaan pendapat, apatah lagi umat yang terkemudian. Dari dulu para ulama yang berbeza mazhab dapat mengambil manfaat ilmu dari satu sama lain. Betapa besarnya kapasiti perbezaan pendapat dalam Islam. Namun hati-hati, tidak semua perbezaan patut ditoleransi.  Jelasnya Islam satu-satunya agama yang masih sepakat  dalam hal pokok. Pendeta Yahudi dari dahulu hingga kini masih berdebat tentang nama Tuhan mereka sehingga akhirnya berkesimpulan bahawa nama Tuhan-yang mereka sembah sekian lama-tidak diketahui, dan ditulis sebagai G-d.

Polyglot_Psalter

Bersatu dalam perbezaan pendapat adalah dengan bersatu menentang common enemy, kemungkaran yang sama,  yang kian mewabak saat aktivis Islam sibuk bercakaran satu sama lain. Kesatuan Islam tidak terbina atas hegemoni  yang mendesak keseragaman buta. Disebabkan itu, para Murabitun yang mengikat diri mereka pada jalan Allah harus senantiasa menjaga niat dan keikhlasan agar tidak tersasar dengan godaan membangunkan eksistensi diri dan kelompok semata. Mereka harus bersikap belas kasihan terhadap saudara muslim tetapi bertegas dengan diri sendiri. Sedangkan pendakwah jadi-jadian masa kini begitu tegas terhadap orang lain sehingga lahirnya ‘polis haram’ atau ‘polis hadis’ yang menunggu masa untuk mengacukan pistol serangan hujah terhadap ahli masyarakat yang sambalewa dalam amalan atau menyebut hadis yang dhaif. Hinggakan sambutan Awal Muharram menjadi pesta membetulkan masyarakat-bahawasanya hadis disebutkan fulan dan fulan ini palsu, amalan fulan dan fulan ini tidak berasaskan hadis sahih dan sebagainya. Mereka yang asalnya ingin menjadi magnet penarik kepada Islam akhirnya menambah penolakan masyarakat yang berbeza kutub. Sedangkan dakwah Rasulullah dihiasi keindahan nasihat ikhlas yang tidak bersifat bangga dalam menanyangkan pengetahuan dirinya.

Permulaan tahun baru hijrah harus lebih mengesani umat Islam akan cabaran hari mendatang. Begitu paradoks sekali keadaan kita di masa kini yang lebih mengenali kalendar Kristian Pope Gregory, malah lebih meraikan pula kalendar yang asalnya tidak pula meraikan kita dalam pembentukannya.  Ahli umat yang kecelaruan identiti, begitu histerikal menyambut cahaya hari baru 1 Januari yang membutakan mata mereka. Sedang kalendar Qamariah memberikan simbolik penting dari kalendar moden berdasarkan mentari. Kalendar Hijriah, tidak seperti kalendar moden menandakan permulaan hari baru saat tenggelam cahaya matahari di awal waktu Maghrib. Menyedarkan manusia hakikat waktu yang kian surut dan ilusi keabadian hidup yang bakal punah. Baginda sang purnama sudah lama terbit menyuluh kebenaran dalam umat ini, sedang mentari tahun lalu baru sahaja terbenam. Lalu, persiapan apakah yang kita ada untuk hari esok?

1240607_10151884010209803_1074779808_n

 

Penulis:

Ummu Helma binti Hassan
Tahun 4 Fakulti Perubatan Universiti Kaherah
Unit Karya PCK 2013/2014