logo perubatan

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 Berkata Imam Ibnu Taimiyah Rahimullahu Ta’ala,

“Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan muslimin, merupakan kewajiban agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpanya.Sesungguhnya kemaslahatan keturunan Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, di mana sebahagiannya berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin.”

Oleh kerana telah berlaku kekosongan jawatan lima orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) yang masing-masing memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha, Bendahari, Ketua Biro Perumahan, Ketua Biro Sukan & Aktiviti Luar serta Timbalan Ketua Biro Kebajikan.

Maka pihak Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Kaherah telah berbincang dan memutuskan bahawa Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) wajar ditubuhkan bagi membuat keputusan terhadap kekosongan tersebut setelahmana Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) mengeluarkan Kenyataan Rasmi (link) berhubung pemangkuan bagi jawatan-jawatan tersebut.

Hal ini selari dengan Perkara 3 (b), Fasal 28, Bab Keempat, Perlembagaan PERUBATAN (November 2012): “Jika terdapat Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan yang meninggal dunia atau meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatan atau tidak dapat bertugas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kekosongan tersebut perlu dipangku oleh mana-mana Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) lain untuk satu tempoh tertentu dan kemudiannya ditentukan oleh Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) berdasarkan etika. Kekosongan jawatan Pengerusi hanya boleh dipangku oleh Naib Pengerusi I.”

Selain itu, Perkara 5 (b), Fasal 30, Bab Ketiga, Perlembagaan PERUBATAN (November 2012) telah memperuntukkan bahawa: “Tugas-tugas Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan adalah seperti berikut: Melantik Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Maka dengan itu, pihak Lembaga Penasihat PCK telah berbincang dan bersetuju untuk melantik saudara Mohamad Azizul Bin Kamarudin sebagai Pengarah JPC 2013 manakala saudari Rauzan Hayati Binti Mohd Hasnan sebagai Timbalan Pengarah JPC 2013.

Semoga keputusan yang bakal dibuat oleh pihak JPC Kaherah kelak akan memberikan manfaat kepada seluruh warga PERUBATAN.

Sekian, terima kasih.
“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar- Rahmah”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

Amir Syahid Ezani

Amir Syahid Bin Ezani,
Ketua Lembaga Penasihat,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 13/14.