logo perubatan

 بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Untuk makluman semua ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah, rentetan daripada tawaran credit transfer yang telah dikemukakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini, terdapat seramai empat orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) telah membuat keputusan untuk menyambung pengajian mereka di IPT Malaysia. Maka, telah berlaku kekosongan bagi empat jawatan AJKT PCK bagi jawatan Timbalan Setiausaha (Nur Alysya Binti Musthafa), Ketua Biro Perumahan (Muhammad Aizat Bin Osman), Ketua Biro Sukan dan Aktiviti Luar (Mohamad Salehuddin Bin Md Saad) serta Timbalan Ketua Kebajikan (Nurul Atiqah Binti Mohd Azman).

Merujuk kepada Perkara 3 (b), Fasal 28, Bab Keempat, Perlembagaan PERUBATAN (November 2012):

“Jika terdapat Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan yang meninggal dunia atau meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatan atau tidak dapat bertugas atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kekosongan tersebut perlu dipangku oleh mana-mana Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) lain untuk satu tempoh tertentu dan kemudiannya ditentukan oleh Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) berdasarkan etika. Kekosongan jawatan Pengerusi hanya boleh dipangku oleh Naib Pengerusi I.”

Berdasarkan Perkara 3 (b), Fasal 28, Bab Keempat, Perlembagaan PERUBATAN (November 2012) ini, kekosongan jawatan AJKT PERUBATAN Cawangan akan dipangku oleh AJKT yang lain sehinggalah ke satu tempoh tertentu yang kemudiannya akan ditentukan oleh JPC berdasarkan etika.

Oleh itu, setelah saya dilantik oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Kaherah pada 7 September 2013 yang lalu untuk menjadi Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) Kaherah, maka pihak JPC Kaherah telah merujuk kepada Perlembagaan PERUBATAN, etika gerak kerja PERUBATAN serta membuat penilaian terhadap situasi semasa PERUBATAN Cawangan Kaherah dalam mengendalikan urusan gerak kerja sepanjang tempoh pemangkuan empat jawatan tersebut bagi menentukan sama ada perlu atau tidak untuk mengadakan pilihanraya kecil bagi mengisi kekosongan jawatan-jawatan tersebut.

Setelah meneliti semua aspek yang perlu dipertimbangkan, pihak JPC Kaherah dengan ini mengumumkan bahawa sebuah Pilihanraya Kecil (PRK) bagi pemilihan semula empat orang AJKT PCK adalah TIDAK PERLU untuk diadakan atas sebab-sebab yang berikut:

  1. Tempoh kepimpinan PCK yang berbaki hanya sekitar tiga bulan sahaja lagi: Taqwim PCK secara keseluruhan telahpun disusun oleh Panitia Perancang PCK dan tarikh Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) bagi PCK telah dijadualkan berlangsung pada bulan Februari 2014. Pihak JPC berpendapat bahawa AJKT PCK yang sedia ada dapat menggalas tanggungjawab masing-masing serta tanggungjawab bagi portfolio yang dipangku sehinggalah ke hari MTC. Pihak JPC juga mengambil kira ketidaksediaan AJKT yang baharu sekiranya terlantik bagi menggalas jawatan AJKT untuk jangka masa yang kritikal pada waktu ini.
  2. Tarikh Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) PCK yang sudah semakin hampir: Berikutan tarikh MTC yang dijadualkan berlangsung pada Februari 2014 nanti, pihak JPC berpendapat bahawa fokus PCK buat masa ini sehinggalah ke tarikh MTC adalah untuk melaksanakan segala perancangan dan gerak kerja yang berbaki serta mengimplementasi agenda pembawaan tahunan PCK yang telah disusun sejak awal sesi pentadbiran. Sekiranya PRK diadakan juga pada waktu ini yang sudahpun sampai ke suku terakhir sesi pentadbiran, dikhuatiri ia boleh merencatkan perjalanan taqwim PCK.
  3. Gerak kerja JPC bagi Pilihanraya PERUBATAN Cawangan Kaherah sesi 2013/2014 akan bermula tidak lama lagi. Setelah pelantikan Pengarah & Timbalan Pengarah JPC Kaherah 2013 dibuat, gerak kerja telah pun dimulakan untuk menjayakan Pilihanraya PERUBATAN Cawangan Kaherah yang akan berlangsung tidak lama lagi. Oleh itu, setelah mengambilkira pendapat AJKT PCK serta Ahli Lembaga Penasihat PCK, pihak JPC Kaherah telah bersetuju untuk memfokuskan gerak kerja pada waktu ini ke arah melaksanakan Pilihanraya PCK pada bulan Disember akan datang.

Sehubungan dengan itu, pihak JPC Kaherah telah memutuskan bahawa pemangkuan jawatan AJKT PCK berdasarkan Kenyataan Rasmi yang dikeluarkan oleh Pengerusi PCK, saudara Ahmad Kamil bin Ahmad Fahmi yang bertarikh 7 November 2013 akan berkuatkuasa sehingga ke tarikh MTC yang akan datang.

Justeru, besarlah harapan kami di peringkat JPC Kaherah agar semua ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah dapat memberikan sokongan penuh dan kerjasama yang padu kepada para AJKT PCK yang ada. Semoga keputusan yang telah dibuat ini akan diredhai oleh Allah dan dapat memberikan manfaat yang semaksimumkan mungkin kepada seluruh warga PERUBATAN.

Sekian, terima kasih.
“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar- Rahmah”
“Berkat, Telus dan Cekap

jpc

Mohamad Azizul Bin Kamarudin,
Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) Kaherah 2013