Kaherah, 16 November – Bersempena dengan Maal Hijrah dan Hari Asyura, Biro Pembangunan Insan PERUBATAN Cawangan Kaherah telah berjaya menjalankan gotong-royong menyiapkan bubur asyura serta daurah kitab berkenaan fiqh awlawiyat.

Gotong-royong ini dijalankan pada 13 November malam bertempat di Markas Abou Risy oleh pelajar ikhwah tahun 4 Universiti Kaherah. Mereka turut bersahur bersama pada Hari Asyura di markas.

Aktiviti membungkus bubur asyura oleh pelajar akhawat bermula pada 14 November petang. Sebahagian bubur asyura yang telah dibungkus telah diagihkan kepada pelajar tahun 6 atas yang akan menghadapi peperiksaan akhir pada hari Rabu ini.

“ Saya rasa sangat terharu apabila dapat bubur asyura. Siap dengan kad lagi. Terima kasih banyak kepada PCK dan adik-adik yang mengagihkan bubur asyura. Terima kasih juga sebab ingat kepada kami pelajar-pelajar tahun 6 atas,” kata saudari Wafaa binti Mohamad, pelajar tahun 6 atas.

579302_653281711376984_1819159017_n

Sambutan Hari Asyura diserikan lagi dengan daurah kitab yang bertajuk ‘Fiqh Awlawiyat, Merungkai Isu dan Realiti’ yang disampaikan oleh Ustaz Ibnu Abbas Azizuddin. Kaedah yang terbaik bagi menentukan perkara yang paling utama apabila bertembung beberapa perkara telah dikongsi oleh ustaz.

“ Saya suka dengan daurah fiqh awlawiyat ini. Pada saya, ia satu  kefahaman yang cukup untuk kita aplikasikan bila masa memerlukan. Formula yang ustaz bagi juga sangat jelas, “ kata saudari Zateel Fahada binti Rusli, pelajar tahun 3.

Semoga sambutan Hari Asyura ini memberi seribu satu kebaikan kepada semua ahli PCK dan dapat mengeratkan lagi ukhwah antara ahli.

1455031_653286978043124_958259581_n