Kaherah, 10 November- Program Daurah Nuqaba’ (DUAT ) juga dikenali sebagai Smart Circle (SC) Gathering yang  diadakan di Dewan MEDC,Universiti Kaherah telah berjalan dengan lancar di bawah  anjuran Unit Mentor Council PERUBATAN Cawangan Kaherah 2013/2014 dengan kerjasama Biro Pembangunan Insan PERUBATAN Cawangan Kaherah.  Seramai  120 orang mentor yang terlibat pada tahun ini.  DUAT ’13 ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung PERUBATAN sesi 2013/2014, saudara Mohammad Naufal bin Mohammad Nasir.

Antara pengisian yang dijalankan sepanjang program ini ialah ‘‘One Man Show’’ yang disampaikan oleh saudara Ariff Aizat bin Abdul Razak, pelajar tahun 6 akhir Universiti Kaherah dan Ustaz Nik Mohd Hayyi. Tajuk yang disampaikan adalah mengenai peranan mentor serta pendidikan rohani.  Seterusnya, para peserta diberikan tugasan mengikut kumpulan di dalam slot SWOT yang mana pembahagian kumpulan adalah mengikut  tahun Smart Circle yang ditetapkan.

Sebelum  majlis penutup, para peserta disajikan dengan slot wacana atau forum yang bertajuk “Da’ie Sejuta Umat” yang disampaikan oleh  saudara Zaim bin Samsuri, pelajar  Universiti Ain Shams  serta Ustazah Siti Sarah, penuntut Universiti Al-Azhar.

“Saya rasa sangat bertuah kerana masih lagi menjadi salah seorang peserta DUAT pada tahun ini.  Pengisian yang diketengahkan amat bermakna untuk para mentor sebagai bekalan sepanjang menggalas tanggungjawab serta amanah yang terpundak di atas bahu ini,” kata saudari Wan Afiqah binti Wan Md Sabri, pelajar tahun 6 Universiti Kaherah.

Simbolik penyerahan tugas telah disampaikan oleh bekas Ketua Unit Mentor Council sesi 2012/2013, saudara Amir Syahid bin Ezani kepada saudara Ahmad Luqman bin Ibrahim, selaku Ketua Unit Mentor Council PERUBATAN Cawangan Kaherah yang baru bagi sesi 2013/2014 dalam majlis perasmian penutup DUAT ’13 tersebut.

CSC_0457

Semoga Unit Mentor Council dan juga para Mentor Smart Circle pada sesi baru ini dapat memberikan perubahan yang lebih efektif   sebagai penggerak utama tarbiah PERUBATAN.