blue_circleLihat gambar disebelah. Ya, bulatan biru itu. Dalam bidang matematik, bulatan ditakrifkan sebagai lokus bagi titik yang bergerak dari satu titik tetap pada jarak malar. Bentuk bulat juga membawa makna yang signifikan dalam ajaran Taoisme. Bentuk bulat yang memuatkan dua bentuk airmata berwarna hitam dan putih yang membayangkan kebenaran bahawa dunia ini adalah dunia dualisme, iaitu segala fenomena dalam dunia ini mempunyai dua keterlaluan. Itulah yin-yang. Dalam sukan memanah, bentuk bulatan digunakan sebagai sasaran pemanah yang dituju bagi mendapatkan skor tertinggi. Semakin kecil,semakin tinggi.

Jauh dari perbahasan di atas, bulatan seperti dalam gambar rajah membawa semangat yang sangat positif. Kebanyakan ideologi dan kebudayaan seolah-olah sepakat bulatan simbol kehidupan dan kesihatan. Di curahkan warna biru cair seakan-akan warna langit yang menyatukan seluruh dunia di bawah satu bumbung, berfalsafahkan kesatuan. Bulatan biru itu bukan sekadar bulatan malah ia telah dijadikan simbol yang penting dalam bidang kesihatan. Pada tahun 2007, simbol ini telah dipersetujui untuk dijadikan simbol kepada satu isu kesihatan yang menjadi pandemik bagi masyarakat seluruh dunia. Bulatan biru itu simbol global bagi Hari Diabetes Sedunia sebagai kempen kesedaran Unite for Diabetes anjuran Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Statistik

Diabetes atau kencing manis bukanlah istilah yang asing bagi masyarakat Malaysia, apatah lagi bagi kita sebagai bakal staf kesihatan. Namun apakah peranan pengetahuan mengenai diabetes kepada bilangan pesakit yang menghidap penyakit ini? Berdasarkan perangkaan Institut Diabetes Antarabangsa pada tahun 2010, pesakit diabetes di Malaysia berjumlah seramai 7.7 peratus daripada penduduk di Malaysia iaitu hampir 1.4 juta orang.

Statistik terbaharu penyakit kencing manis melibatkan 189 juta penduduk dunia dan 17 peratus daripada penduduk di Malaysia menghidap diabetes. Statistik ini menunjukkan bahawa terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes.

Working together to prevent Obesity in children

Meskipun statistik di atas memberi gambaran betapa parahnya penyakit kencing manis dalam kalangan rakyat Malaysia, ia tidak memberi jaminan bahawa pengetahuan masyarakat tentang penyakit ini di tahap yang baik. Sebaliknya itulah kesan kurangnya pengetahuan masyarakat tentang diabetes.

Lebih malang lagi, diabetes dijadikan retorik politik sebagai alasan pengurangan subsidi gula. Memang benar pengambilan gula berlebihan, adalah antara faktor yang menyebabkan kencing manis, tetapi punca sebenar diabetes adalah kegagalan tubuh badan pesakit untuk memproses gula yang diambil dan bukan atas sebab lain. 

Kenapa Perlu Cakna?

Statistik yang menakutkan. Ini bermaksud diabetes boleh ada pada anda atau seseorang yang rapat dengan anda. Bayangkan setiap seratus orang dalam kawasan tempat tinggal anda, 17 daripadanya ada penghidap kencing manis. Tiada populasi atau kumpulan usia yang terkecuali.

Complications-graphic

Malah, statistik diatas menunjukkan pola peningkatan yang mendadak. Separuh daripada penghidap diabetes tidak menyedari mereka menghidap penyakit itu. Diabetes juga adalah pembunuh seantero dunia, menyebabkan kematian bagi lebih daripada 4 juta orang pesakit di seluruh dunia setiap tahun. Ini bermaksud setiap sepuluh saat seorang pesakit mati daripada punca yang berkaitan diabetes. Selain daripada itu, kelewatan diagnosis dan kelemahan dalam menguruskan diabetes boleh mengakibatkan kecacatan seumur hidup serta komplikasi pada mata, jantung, buah pinggang dan kaki yang boleh meragut nyawa.

Diabetes dan Pengetahuan Asas

Diabetes adalah penyakit kronik (mengambil jangka masa panjang) yang berlaku apabila pankreas tidak lagi berupaya mengeluarkan insulin, sejenis hormon yang membenarkan pengambilan glukosa, atau gula, oleh sel untuk ditukarkan kepada satu bentuk tenaga yang boleh digunakan oleh tubuh badan.

Berdasarkan bentuk ketidakupayaan pankreas tersebut, diabetes boleh dibahagikan kepada tiga jenis. Pertama, jika kegagalan total penghasilan insulin oleh kelenjar pankreas (umumnya melibatkan remaja) ia disebut  Diabetes Bersandar Insulin. Kedua, jika disebabkan oleh kerintangan insulin (penurunan sensitiviti tisu badan terhadap insulin) dan/atau penghasilan insulin yang berkurangan, ia disebut Diabetes Tidak bersandar Insulin. Ketiga, adalah yang disebut Diabetes Gestasi (semasa kehamilan) iaitu diabetes yang disebabkan kadar peningkatan gula dalam darah yang tinggi berkait dengan proses kehamilan.

Diabetes_Global_Concern

Kegagalan fungsi insulin samada kegagalan pengeluaran oleh pancreas atau peningkatan kerintangan insulin boleh menyebabkan kandungan gula dalam darah tidak terkawal. Apabila seseorang mengalami diabetes dalam satu tempoh yang panjang dan kandungan gula dalam darahnya tidak dikawal dengan baik, ia boleh menyebabkan banyak kerosakan kepada pelbagai sistem dan organ dalam badan.

Antara kes yang kerap menjadi igauan ngeri adalah kerosakan saraf pada kaki yang menjadikan ia kebas serta tidak berasa sakit, biarpun kaki sudah terluka. Dari segi perubatan, perkara ini adalah sangat serius. Hal ini kerana kerosakan saraf pada kaki juga bermakna aliran darah yang membawa zat dan bekalan oksigen terganggu. Tanpa pengaliran darah yang baik, proses penyembuhan luka di kaki pesakit akan menjadi lambat, malahan boleh jadi tidak sembuh sepenuhnya. Luka yang tidak dirawat dengan baik ini akan berisiko mendapat jangkitan seterusnya mengancam nyawa.

wpid-Photo-22-Aug-2012-2239Biarpun diabetes mempunyai kesan yang teruk kepada kesihatan, luka dan kehilangan kaki serta lain-lain komplikasi yang tidak sempat disebutkan akibat penyakit berkenaan sebenarnya boleh dielakkan sehingga 85 peratus andai pesakit peka dan mengambil serius terhadap usaha mengekalkan paras gula normal dalam darah mereka.

“Diabetes adalah satu-satunya penyakit yang mengancam semua bahagian organ dan anggota tubuh badan dan membabitkan semua pakar dalam pelbagai bidang untuk mengawal kesannya kepada pesakit. Pesakit  perlu bertemu pakar nutrisi, pakar diet, kaunselor dan ahli farmasi bagi mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai penjagaan kesihatan mereka,” kata  Dr. Harikrishna , Koordinator dan Perunding Penjagaan Luka Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Cegah Sebelum Parah

Bagi mereka yang belum disahkan menghidap penyakit ini, kesedaran dalam kalangan masyarakat amat perlu bagi meningkatkan taraf kualiti hidup masyarakat Malaysia dan seluruh dunia.

Kita perlu sedar terdapat beberapa ciri yang meningkatkan risiko menghidap diabetes. Antaranya adalah faktor etnik seperti penduduk-penduduk di Asia Selatan dan Afrika, faktor berat badan berlebihan, kekurangan aktiviti fizikal, toleransi terhadap glukosa yang terjejas, diet tidak seimbang, umur melebihi 40 tahun, faktor darah tinggi, sejarah ahli keluarga penghidap diabetes serta pengalaman menghidap diabetes gestasi.

3diabetes-stsg-moreno-tma-and-leg-08

Atas dasar kepentingan maklumat kepada masyarakat untuk mereka bersama mencegah statistik dari terus meningkat, serta meraikan gaya hidup masyarakat kini yang sibuk dan kekangan masa yang terbatas, satu laman sesawang dibangunkan sebagai portal rasmi kempen ini untuk rujukan 24 jam sehari kepada pengguna seluruh dunia yang boleh dilayar disini. Pendekatan sebegini dapat mempercepat dan meluaskan kadar capaian maklumat kepada pengguna sekaligus diharap mampu menaikkan tahap kesedaran masyarakat sedunia tentang diabetes dan bahayanya.

Harapnya, dengan penganjuran Hari Diabetes Sedunia oleh Institut Diabetes Antarabangsa ini mampu menjadikan tarikh 14 November  sebagai tarikh keramat kita sebagai staf kesihatan khasnya dan masyarakat dunia umumnya. Marilah kita sama-sama menjayakannya!

Penulis:

Mohammad Busyoiri bin Norrodin
Tahun 4 Fakulti Perubatan Universiti Kaherah
Unit Karya PCK 2013/2014