Kaherah, 31 Okt – Ceramah kali ini diserikan dengan kehadiran Ustaz Budak atau nama sebenarnya iaitu Ustaz Syamsul Zaman bin Sukri. Beliau merupakan salah seorang ustaz yang termasyhur di Malaysia. Tajuk yang disampaikan oleh beliau ialah Tolibul ‘Ilmi.

Ustaz Shamsul Zaman di dalam ceramahnya menegaskan kepentingan menguasai ilmu fardhu ain. “Di samping mempelajari ilmu perubatan, belajarlah juga  ilmu agama. Ini adalah kewajipan. Oleh itu, wajib atas setiap seorang mengetahuinya. ”

Nasihat beliau kepada semua yang hadir untuk sentiasa menjaga solat berjemaah. “ Tidak boleh dipanggil ‘alim bagi seseorang yang luput baginya solat jemaah. Walaupun kita pelajar perubatan, kita perlu menunjukkan contoh.”  Beliau turut menasihatkan hadirin untuk menjaga solat jemaah tidak kira di mana kita berada.

Ustaz Budak turut mengingatkan kepada semua yang menuntut ilmu untuk sentiasa mencari guru dalam proses menuntut ilmu dan sentiasa menjauhi maksiat kerana ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan masuk dalam diri orang yang membuat maksiat. Tambah beliau lagi, keberkatan ilmu bukan terletak kepada banyak atau sikit ilmu itu tetapi bergantung kepada sebanyak mana dia beramal dengan ilmu tersebut.

 

2013-10-30 18.37.45

 

“Saya sebenarnya dah lama rindu kelas tafaquh ini. Nasihat saya untuk junior yang masih menyambung pengajian di Mesir, bulatkan tekad pasakkan azam untuk belajar bersungguh – sungguh mulai daripada sekarang. Selain itu, jangan menyesal atau rasa terpaksa berada di Mesir kerana sejak azali lagi Allah dah tetapkan kita di sini maka manfaatkanlah setiap saat dan ketika di sini dengan perkara yang bermanfaat supaya tidak menyesal di kemudian hari. Akhir sekali, jangan ponteng kelas sebab di situ ada keberkatan dan kewajipan dan kita belajar perlu ada guru”  kata Saudari Badriyyah Yaakob, pelajar tahun 6 Universiti Kaherah.

Setelah cuti musim panas yang agak lama di Malaysia, Biro Pembangunan Insan, PERUBATAN Cawangan Kaherah telah menganjurkan ceramah pertama untuk sesi pengajian pada tahun ini. Diharapkan penganjuran kali pertama ini dapat menggalakkan ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah untuk terus komited datang ke ceramah yang dianjurkan.