Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t.

Tirai sesi akademik kali ini bermula dengan penuh emosi. Bermula daripada malam Aidil Adha,  kelihatan perbincangan mengenai tempat pembelajaran di Mesir atau Malaysia hangat diperdebatkan.

Walau apa pun, kepada semua ahli keluarga PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) yang sudah berada di Malaysia, kami ucapkan selamat maju jaya. Doa kami akan sentiasa bersama kalian.
Pemergian kalian bukan sahaja menunaikan kehendak keluarga, malah membawa impian kami untuk menjadi doktor yang berkaliber. Semoga  ilmu yang diperoleh daripada kalian dapat dicurahkan juga bersama sahabat – sahabat yang berada di Mesir.
Buat yang kekal teguh di Mesir,
Secara rasminya kuliah telah dimulakan semenjak 19 Oktober yang lepas.

Kalian harus sedar, langkah perjuangan kita tidak boleh berada di takuk lama. Kredibiliti pelajar Mesir yang diperdebatkan harus dijadikan pengajaran. Keputusan kita untuk berada di sini, mestilah didokong oleh usaha yang berlipat kali ganda.

Ilmu itu tidak akan datang bergolek, Kita yang perlu mengejarnya. Hakikatnya, berada di Hospital Kasr El- Aini yang menerima lebih 10,000 pesakit luar dalam masa sehari, peluang itu wajib dikejar sehabis baik.

Maka,

Bagi memulakan perjuangan yang baharu, Insya Allah program Glow with Flow (GwF) akan diadakan daripada 31 Oktober sehingga 8 November 2013.

Perbezaan untuk program kali ini ialah beberapa siri perbincangan antara ahli batch akan diadakan sebelum program ini dilaksanakan. Kalian yang mempunyai  idea untuk meningkatkan motivasi ahli batch bolehlah menyalurkan idea kepada AJK Akademik Batch masing – masing. Seterusnya, panel – panel pengisi pun akan ditambah variasinya dengan memecah tradisi yang hanya menonjolkan pelajar – pelajar Mumtaz sahaja. InsyaAllah biiznillah.

Saya juga menyeru buat semua seniors dan juniors  berganding bahu, sama sama bertukar idea dalam merangka dan membentangkan pengisian bersifat akademik dan motivasi. Hakikatnya, berada dalam lingkungan perbincangan batch  sahaja tidak mampu menghasilkan solusi masalah terbaik.

Akhir kata, ingin kami ungkapkan kata – kata daripada Saidina Ali bin Abi Thalib Radhiallahu anhu pernah berkata,

“Sesungguhnya yang disebut orang ‘alim adalah orang yang beramal dengan ilmunya dan ilmunya sesuai dengan amalnya.”

Semoga bukan sahaja kita tergolong dalam kalangan orang yang mengimpikan gelaran alim tetapi tersenarai menjadi orang yang berusaha menjadi alim.

Allahu taala a’lam.

Achieve The Highest, Improve Others

IMG_8322Haniz Iqbal Bin Hazaidi

Ketua Biro Akademik (BCAD)

PERUBATAN Cawangan Kaherah 2013/2014

zaAnis Zarina Binti Zarini

Pen. Ketua Biro Akademik (BCAD)

PERUBATAN Cawangan Kaherah 2013/2014