Faktor Pemicu

_43004625_postwar_416mapCKemenangan besar Israel dalam Perang Enam Hari 1967 menambah luas wilayah takluknya sebanyak empat kali ganda menyaksikan Mesir  kehilangan 23,500 batu persegi Semenanjung Sinai, Jordan kehilangan Tebing Barat dan Timur Jerusalem sementara Syria kehilangan Bukit Golan. Resolusi ‘Tiga Tidak’ kemudiannya disepakati pada persidangan negara-negara Arab di Khortoum – tidak akan ada pengakuan terhadap Israel, tidak akan ada perundingan dengan Israel,dan tidak akan ada perdamaian dengan Israel. Jika Israel menguasai dengan jalan kekerasan,maka begitu jugalah  mereka akan menanggung akibat nan serupa.

Anwar Sadat menggantikan Jamal Abdul Nasser sebagai Presiden Republik Arab Mesir sekitar tahun 1970. Beliau mewarisi pentadbiran ekonomi yang rapuh. Mesir tika itu  malah tidak mampu meneruskan siri  dendam permusuhan mereka terhadap Israel. Beberapa amaran dan kesediaan berperang telah diisytiharkan Sadat sambil menambah kekebalan pertahanan di pihak Mesir.  Sejak dari akhir tahun 1972, Mesir memulakan usaha mengukuhkan selok belok ketenteraannya dengan menerima jet MiG-23, roket SAM9,RPG-7,dan peluru berpandu anti-kereta kebal ‘Sagger’ daripada Kesatuan Soviet. Kalaupun terpaksa menempuh kekalahan, sekurang-kurangnya ia berjaya memberi desakan politik kepada Israel bahawa perdamaian adalah mustahak.

Hari Penebusan

Yom Kippur atau Hari Penebusan merupakan upacara keagamaan paling suci bagi penganut Yahudi bila mana mereka memenuhi hari tersebut dengan amalan berpuasa dan berdoa. Maka pengawasan dan pengawalan ketenteraan negara pada ketika itu tampak longgar. Rancangan Mesir menyerang Israel bersama dengan Syria dirujuk sebagai Operasi Badar sempena mengambil ruh semangat mujahidin Badar yang berperang pada bulan Ramadhan. Tentera mereka bersama melancarkan serangan mengejut pada 6 Oktober 1973. Di Bukit Golan sahaja, 150 kereta kebal Israel berhadapan 1400 kereta kebal Syria sementara di kawasan Suez hanya 500 tentera Israel berhadapan 80 000 tentera Mesir lantas mengakibatkan Israel musnah teruk. Bagaimanapun selepas tiga minggu berperang dan dibekalkan persenjataan oleh tentera udara Amerika Syarikat, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengundurkan tentera Arab melebihi sempadan asal.

4953792714_a1dd9a470a_zBeberapa penyertaan dan nilai sokongan negara-negara Arab lain turut dapat dilihat selama kempen perang dilaraskan. Iraq menghantar satu skuadron jet Hunter dan satu divisyen seramai 18000 tentera yang diatur gerak ke tengah Golan. Arab Saudi menghantar sejumlah 3000 tentera ke Syria dan sepasukan unit berperisai Jordan juga terlibat. Algeria menghantar briged berperisai dan berdozen kereta kebal . Libya mengirim pesawat pejuang Mirage buatan Perancis dan menyalurkan USD 1 billion bagi kelengkapan senjata Mesir. Tunisia menghantar 1000 tentera berkhidmat di Delta Nil. Sudan menghantar 3500 tentera manakala Maghribi memposisikan tiga briged ke perbatasan hadapan.

Garisan Bar Lev sepanjang 160 km yang disokong oleh dinding konkrit kukuh merupakan kubu anti kereta kebal terbaik dihasilkan Israel pasca Perang Enam Hari 1967 dengan menelan kos belanja sekitar USD 300 juta. Ini merupakan halangan terbesar tentera Mesir bagi menyelinap masuk ke Semenanjung Sinai. Maka gabungan pam gasolin bersaiz sederhana buatan Jerman dan pam bertenaga petrol buatan British berjaya membolosi halangan berpasir selama dua jam. Pancutan meriam air tersebut mampu membuka 81 laluan sepanjang deretan pasir juga menghancurkan tiga juta meter persegi timbunan kubu pada hari pertama peperangan. Tujuh puluh pasukan jurutera Mesir pula berperanan menggali setiap satu laluan kubu pasir menggunakan pam air yang salurannya dialirkan terus dari Terusan Suez. Bedilan padu 250 jet pejuang udara menyebabkan pertahanan Israel diasak kuat. Israel seolah tidak terduga akan penyusunan strategi tersebut.

The_Crossing_of_Suez

Selama tiga hari pertempuran di Bukit Golan,briged ke-7 Israel di utara berjaya mempertahankan garisan bukit berbatu melindungi sisi utara ibu pejabat mereka di Nafah. Di selatan,briged ‘Barak’ telah dikalahkan teruk dengan komandernya Kolonel Shoham terbunuh semasa kemaraan tentera Syria ke arah Laut Galilee. Menjelang 11 Oktober,pasukan tentera simpanan Israel melancarkan serangan balas ke wilayah Syria dan mengebom pinggir Damsyik sejauh 40 km menggunakan artileri berat. Lalu tentera Syria diundurkan kembali lebih jauh daripada persempadanan tahun 1967. Akhirnya pada 22 Oktober 1973, sebuah genjatan senjata diumumkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kesan Langsung

Kejutan dialami semasa permulaan kempen perang telah memberi impak psikologi hebat kepada pihak Israel yang menang mudah pada edisi perang lalu. Justeru Suruhanjaya Agranat ditubuhkan untuk menyiasat punca kecuaian pertahanan dan enam orang tokoh dikenal pasti bertanggungjawab. Pada April 1974, Golda Meir Perdana Menteri Israel dan Mosha Dayan, Menteri Pertahanan meletak jawatan. Di sisi Mesir dan Syria,meski hampir separuh menang, ramai percaya perang kali ini telah memulih pegangan dunia Arab bahawa Israel tidak sukar ditewaskan secara kuasa ketenteraan sekaligus mengubati luka kesan tewas lewat pertempuran sebelum ini.

Pada 18 September 1978, selepas 13 hari rundingan dijalankan ,keputusan Perjanjian Damai Camp David Israel-Mesir dimetrai antara Presiden Anwar Sadat dan Perdana Menteri Israel Menachem Begin. Pada bulan November tahun sebelumnya, Sadat mengambil langkah yang belum pernah diambil pemimpin Arab dengan melawat Israel. Tindakan sedemikian umpama mencalar identiti dan prestasi dunia Arab yang selama ini berhempas pulas merampas kembali hak mereka yang dirompak. Mesir akhirnya dilucutkan keahlian daripada Liga Arab dan timbul ketegangan politik antara negara Arab yang lain. Bukan setakat  itu, semasa Sadat menghadiri perarakan Hari Angkatan Tentera Mesir kelapan pada tahun  1982, beliau ditembak mati di kerusi kenamaan oleh ahli tentera Islam yang tidak berpuas hati atas pengkhianatan percuma yang telah beliau lakukan.

life-features_01_2_temp-1317888860-4e8d635c-620x348

Perspektif

Muzium 6 Oktober dibina pada tahun 1989 di Sharia al Uruba Heliopolis,Kaherah. Di sana terdapat Panorama, satu mural 3D diorama gergasi  menayangkan dokumentari memorial Perang Oktober  1973 tanpa menunjukkan sedikit pun babak serangan balas Israel ke atas mereka. Selain itu, beberapa tempat dinamakan sempena peristiwa bersejarah ini seperti Jambatan 6 Oktober dan Bandar 10 Ramadhan.

“Perang Yom Kippur dianggap kemenangan paling berprestij ke atas Israel oleh negara-negara Arab. Namun setelah 40 tahun berlalu,generasi muda kian melupakan jasa keberanian wira-wira negara malah terputus hubungan dengan kejayaan lampau mereka. Kami mahu memperbaiki keadaan ini.” kata Ahmed Ziad selaku pengasas Kumpulan Sejarawan ’73. Tambah beliau lagi, media Mesir tidak membuka ruang perbincangan telus berkaitan topik Perang Oktober ini langsung menyebabkan rakyat hanya menanggapi perspektif yang sama saban tahun. Terlalu banyak fakta benar disembunyikan atas alasan menjaga keperluan agenda pihak tertentu. Ziad, teman seangkatan beliau mengeluarkan pendapat diplomatik bahawa tidak dinafikan Israel masih dianggap musuh selama mana masjid Al Quds berada di bawah penjajahan mereka. Jika kerajaan Israel benar-benar menepati garis prinsip keamanan dan menghormati hak asasi rakyat Palestin, Arab masih boleh menerima keberadaan mereka. Tetapi selagi bangsa Arab merasakan dirinya dihenyak dan ditindas, mereka akan terus berjuang untuk meneruskan hidup di tanah tumpah darah mereka sendiri.

Penulis:
Hanis Zikri binti Mohd Nahrawi
Tahun 3 Fakulti Perubatan Universiti Kaherah
Unit Karya PCK, 2013/2014