malaysia_map1

Tanggal 16 September 1963 merupakan tarikh bersejarah yang membawa kepada penubuhan Persekutuan Malaysia. Ia melibatkan beberapa negara sekitar Asia Tenggara dan Borneo termasuk Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei pada awalnya. Peristiwa tersebut adalah satu lipatan sejarah yang boleh dikatakan terbesar buat kisah hidup negara Malaysia. Pada asalnya ia dirancang untuk berlaku pada 1 Jun 1963 yang kemudian ditangguhkan kepada 31 Ogos 1963 bagi menyamakan tarikh Hari Kemerdekaan. Namun berikutan beberapa isu yang berlaku termasuk penentangan daripada negara-negara serantau seperti Indonesia dan Filipina, tarikh tersebut terpaksa dilanjutkan sekali lagi. Akhirnya 16 September 1963 menjadi saksi penubuhan Persekutuan Malaysia.

merdekaSehubungan peristiwa gergasi itu, kerajaan telah menamakan tarikh tersebut sebagai Hari Malaysia yang disambut setiap tahun di seluruh negara bagi terus menyuburkan semangat cintakan negara. Namun apa yang kita boleh lihat pada hari ini, sambutan tersebut seolah-olah tidak berlaku sepertimana pada Hari Kemerdekaan baik dari segi zahir mahupun batin. Jika pada Hari Kemerdekaan,  jalanan dan rumah-rumah akan dipenuhi bendera Malaysia. Siaran televisyen dihiasi dengan cerita bertema kemerdekaan. Sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi juga turut terlibat dalam menyemai semangat kemerdekaan tersebut.

Jika sebentar tadi kita membicarakan dari sudut zahir, sudut batin malah lebih jauh terkebelakang. Tidak usah melihat pada Hari Malaysia bahkan Hari Kemerdekaan juga sangat miskin dengan unsur kebatinan. Meskipun sambutan dilakukan dengan belanja yang besar, sikap rakyat masih tidak mampu mencapai  target yang sepatutnya. Tidak ramai yang sanggup berkorban demi negara sendiri. Masih ramai pula yang terus menghina dan mengutuk negara serta membanding-bandingkan dengan negara lain. Mereka lebih rela bekerja dan meneruskan hidup di negara-negara Eropah kerana gaji dan cara hidup yang lebih selesa. Mereka tidak rela untuk pulang dan berlelah demi membangun negara sendiri.

image_galleryJika kita secara rambang menyoal tentang Hari Malaysia, saya menjangkakan hanya separuh sahaja yang mengambil kisah tentang peristiwa bersejarah ini. Ia seolah-olah telah hilang ditelan masa dan zaman. Erti perjuangan sudah tidak dirasai serta dihayati kerana mereka telah hidup senang sejak lahir. Rakyat tidak rela untuk bersusah dan terus manja dalam kesenangan. Saya yakin sekiranya negara diserang pastinya ramai yang lari ketakutan, tidak berani untuk mengangkat senjata.

Mengapa semua ini boleh berlaku?

Penyelesaiannya tidak cukup dengan hanya melalui pembelajaran Sejarah, Sivik dan nyanyian lagu patriotik setiap hari Isnin. Ya,  tidak memadai. Buktinya, setiap sekolah wajib diajarkan subjek Sejarah dan lagu  patriotik juga wajib dinyanyikan. Namun hasilnya masih sama kerana perkara tersebut sudah menjadi rutin dan mereka tidak merasakannya jauh dalam lubuk hati. Semuanya hanya dilihat sebagai peraturan yang menyusahkan dan melakukannya kerana terpaksa.

imagesNamun bukan bermakna usaha tersebut ditolak sepenuhnya bahkan ia satu langkah yang bagus dalam menyemai semangat cintakan negara dalam diri. Sekurang-kurangnya para pelajar terisi dengan asas-asas sejarah negara.Walaubagaimanapun,  adalah lebih produktif sekiranya pendidikan kenegaraan itu disemai dalam unit kedua terkecil dalam masyarakat iaitu keluarga. Pendidikan yang dibina sejak dalam rumah lebih berkesan. Tambahan, ia akan berlaku sepanjang masa kerana sebahagian besar daripada masa sewaktu kecil pastinya bersama keluarga.

Sebagai contoh seorang tokoh reformasi di Mesir yang tidak asing lagi namanya iaitu Hassan Al-Banna. Beliau yang merupakan pengasas kepada Ikhwanul Muslimin itu telah memperkenalkan satu sistem  yang dinamakan ‘usrah’ bermaksud keluarga. Hasilnya telah lahirlah ahli-ahli Ikhwanul Muslimin yang setiap seorang daripadanya mempunyai kualiti masing-masing. Ia sangat berbeza antara pendidikan melalui skala yang besar dan skala yang kecil seperti dalam keluarga.  Fokus lebih terarah dan pembinaan juga berkesan.

peperanganhunainOleh itu tumpuan haruslah diberikan kepada penyemaian semangat cintakan negara dalam keluarga tanpa menolak program-program umum yang mempunyai kesannya tersendiri. Lebih berkesan lagi sekiranya semangat patriotik itu disemai selari dengan ajaran Islam. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa patriotisme juga wujud dalam Islam. Buktinya, Rasulullah saw sendiri merindui tempat lahirnya, Makkah walaupun telah berada di Madinah yang dikelilingi oleh masyarakat yang lebih menerima baginda berbanding kaum keluarganya sendiri. Akhirnya, Rasulullah saw serta sahabat kembali dan membuka semula kota Makkah pada tahun ke-8 Hijrah. Sesungguhnya, memang sudah menjadi fitrah seorang manusia itu untuk cinta akan tanah airnya.

Setelah semangat patriotisme dipupuk, ia hendaklah dibawa ke landasan yang sebenar. Banyak salah faham terhadap patriotisme ini sehinggakan ada sebahagian yang menolak dengan alasan ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Sebenarnya tidak.

Seperti  yang telah dinyatakan dalam perenggan sebelum ini, Islam tidak menolak bahkan menyokong tapi dengan cara yang betul.  Kebanyakan daripada kita memahami patriotismese sebagai cintakan negara sahaja. Islam sangat menggalakkan kita untuk cintakan negara tetapi dalam masa yang sama turut menghiraukan negara lain, bukan sekadar hidup dan peduli sekitar tanah air sendiri sahaja. Sebagai contoh, apa yang berlaku di negara lain lebih-lebih lagi di negara Islam seperti Mesir, Syria  dan Palestin baru-baru ini harus menjadi peduli dan buah fikiran kita juga. Begitulah seharusnya semangat patriotisme yang harus dipupuk dalam masyarakat.

Justeru, pastinya tidak akan timbul isu lupa akan peristiwa-peristiwa bersejarah seperti Hari Malaysia sekiranya semangat cintakan negara disemai sejak kecil dengan cara yang betul. Selain itu, tidak cukup untuk melahirkan patriotisme dengan hanya sekali atau dua kali sahaja setahun. Pastinya tidak akan berhasil. Ia merupakan pendidikan yang berterusan.  Namun, bukanlah lupa akan peristiwa sejarah itu merupakan kayu ukur utama seseorang itu cinta akan negara atau tidak. Mungkin mereka yang tidak mengingati peristiwa sejarah itu yang paling bertungkus-lumus membangun negara dan mungkin juga yang mengingati sejarah itu sendiri yang malas mempertahankan negara. Ia bukanlah kayu ukur  yang sebenar, apa yang lebih penting adalah sejauh mana seseorang itu sanggup berkorban demi negaranya.

benderaHargailah keamanan ini sebaiknya dalam membangun diri, keluarga dan negara. Jangan sampai apabila tibasaat ditarik keamanan ini, barulah sibuk ingin beramal. Sudah tentu sudah terlambat pada saat itu.

Selamat Hari Malaysia.

Penulis:
Muhamad Firdaus bin Rahim
Tahun 2 Fakulti Perubatan Universiti Kaherah
Unit Karya PCK 2013/2014