Ramadhan hampir melabuhkan tirainya. Syawal sudah mula menjenguk keluar menunggu masa untuk muncul. Syaitan pula meronta-ronta ingin dibebaskan.

Kita pula bagaimana?

Masih terdiam di atas katil dan ‘bergembira’ serta berpuas hati’ dengan amalan sekarang? Selimut nafsu terus membaluti tubuh anda? Bantal malas pula masih mengalasi kepala anda?

Jawapannya ada pada diri sendiri.

Rasulullah pernah bersabda berkenaan bulan Ramadhan,

أوله رحمة وأوسطه مغفرة وآخره عتق من النار

Awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya kelepasan dari api neraka.

Sedar atau tidak, kita sudah pun berada di fasa terakhir mengikut hadith ini. Fasa yang menjadi matlamat utama kita iaitu kelepasan dari api neraka. Kebiasaannya dalam satu cerita, pengakhiranlah yang membina persepsi penonton. Sekiranya pengakhirannya mantap, maka berpuas hatilah penonton. Begitu jugalah sewaktu Ramadhan. Bagaimana kita mengakhirinya adalah sangat penting bagi mencapai kejayaan yang sepatutnya di bulan ini.

64130-article-Ramadan_kareem_post

Namun persoalannya, bagaimana kita ingin mengakhiri Ramadhan dengan bergaya? Pastinya kita melihat pada mereka yang telah melaluinya iaitu Rasulullah dan para Sahabat. Cara yang terbaik pastinya cara nabi kita sendiri tanpa perlu menambah atau mengurangkan walau sedikit. Jom kita lihat apa yang mereka lakukan!

Pertama,

عن أم المؤمنين عائشة رضي الله عنها أنها تحكي عن النبي صلى الله عليه وسلم فتقول كان إذا دخل العشر الأواخر شد مئزره وأحيا ليله  وأيقظ أهله 

Apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadhan, baginda akan mengencangkan kainnya(menjauhkan diri dari menggauli isteri), menghidupkan malam dan membangunkan ahli keluarganya.
[Bukhari dan Muslim]

 Apa yang baginda lakukan adalah menjauhi isterinya, menghidupkan malam serta mengajak bersama ahli keluarganya. Hal ini menunjukkan bahawa sepuluh hari terakhir Ramadhan adalah dikhususkan hanya untuk beribadah kepada Allah sehinggakan baginda berhenti seketika daripada menggauli isterinya.

Kedua,

إنا أنزلناه في ليلة القدر

Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar

Malam yang telah kita semua maklum akan kebaikan ganjarannya. Dalam surah yang sama pada ayat ketiga mengatakan bahawa malam tersebut menyamai 1000 bulan. Namun tiada riwayat yang mengatakan secara tepat waktu malam tersebut. Ada yang berpendapat bahawa ia jatuh pada 21, 23, 27 atau 29.

Itu bukanlah menjadi satu isu. Apa yang lebih penting adalah beramal pada sepuluh malam terakhir.

Cukuplah dua nas tersebut untuk membakar ruh kita agar meningkatkan amalan pada hari-hari terakhir ini. Kesimpulannya adalah untuk kita menjadikan pengakhiran Ramadhan ini hanyalah diwaqafkan untuk ibadat kepada Allah. Pada kebiasaan masyarakat kita, waktu ini adalah untuk membuat persiapan raya dan masjid mula sunyi manakala pusat membeli-belah meriah dengan manusia dan lagu-lagu raya. Tidak tahu amalan daripada mana mereka ambil.

Sifirnya mudah sahaja. Samada ada mahu mengikut Rasulullah atau tidak.

tumblr_m7taon027x1rzn329o1_500

Jika di bulan Ramadhan ini pun anda masih berat untuk melakukan perubahan, maka janganlah mengharapkan ia akan berlaku pada bulan-bulan yang lain. Semoga Allah melembutkan hati kita untuk bergerak dengan lebih pantas.

Apa tunggu lagi? Ayuh menuju Ilahi sementara jam masih bergerak!

Penulis
Muhamad Firdaus b Rahim
Tahun 2 Perubatan
Unit Karya PCK 2013/2014