Hujung bulan April ini genaplah 2 tahun usia perkenalan aku dan satu permainan yang dulunya aku pernah hina yang bernama DOTA. Penghinaan aku berasas kerana pada mata aku semua pemain game DOTA seolah mayat hidup yang bersenggama minda dengan dunia fantasi sahaja.

The International 2012

Bercerita tentang DOTA , hampir 60% ikhwah di Mesir sekurang–kurangnya pernah mendengar nama ini berlegar dalam kalangan kaki-kaki ponteng dan introvert – mereka-mereka yang tiada mengenal dunia sosial sebenar dan komuniti masyarakat luar. Tapi, jangan terlalu sempitkan skop anda kerana bukan semua pemain DOTA begitu.

Serba Ringkas Tentang DOTA

DOTA atau nama panjangnya ‘Defense of the Ancients’ yang diasaskan pada tahun 2003, adalah sebuah permainan maya yang berkonsepkan 5 lawan 5 dengan misi untuk memusnahkan kubu musuh, merangkumi 110 adiwira pilihan dan 129 item untuk melengkapkan fungsi wira masing-masing. Permainan ini agak kompleks untuk diterangkan kepada kalangan umum, lebih-lebih lagi bagi mereka yang langsung tiada pendedahan sejak bangku sekolah. Sejujurnya, aku pun mengambil masa setengah tahun untuk mahir 80% segala teknik-teknik sulit di dalam permainan ini – sungguh rumit !

user2354_pic1731_1249329834

Berdasarkan statistik semasa (congakan penulis), dalam kalangan ahli PERUBATAN sendiri, individu dan pemain DOTA kian meningkat naik dan angka ini agak membimbangkan ketua–ketua batch yang sedang mengejar graf akademik batch masing-masing pada ketika ini. Masakan tidak kalau 24 jam seharian, 12 daripadanya diperuntukkan untuk DOTA dan 12 jam yang selebihnya untuk tidur .

Kepada golongan gadis-gadis yang mula pening dengan artikel ini harus diingatkan istilah yangakan  mendatang adalah lebih hardcore dan bakal merangsang ‘chemoceptor trigger zone’ kalian dek pujian melambung kepada kaki games seperti PES dan DOTA (rujuk google andai kalian tiada fahamnya akan istilah-istilah yang diperkenalkan penulis ini).

Tetapi di akhir penulisan rasa ingin tahu kalian bakal terbalas dengan merungkainya antologi ‘misteri ikhwah tidak mengangkat telefon’ yang kami tidak mahu kalian tahu.

DOTA dan Realiti

Bercakap atas tapak realiti komuniti PERUBATAN hari ni, tak ramai antara kita yang memberi tumpuan kepada ahli-ahli beit yang games-addicted ini. Ibaratnya situasi di Padang Mahsyar, bila mana masing-masing sibuk dengan hal sendiri.

85fad182-07c8-4bbd-979f-deea34de2748

Konsep ini tidak teraplikasi kepada kaki games sahaja, bahkan kaki youtube, kaki k-pop, kaki vlogger mahupun keyboard warrior; semuanya memerlukan perhatian yang sama dan peringatan itu sangatlah penting buat kita semua.

Penulisan ini bukanlah berniat untuk menghentam kaki games. Percayalah aku juga seperti kalian, aku juga pemain DOTA. Tiadalah aku menulis artikel ini hanya sebagai surat cinta merangkap kalam taujihad tulus dari hati ini ditujukan kepada kalian, rakan-rakan perajurit demi fatrah imtihan yang mendatang.

Kelebihan Sang Perajurit

Suatu fakta yang tidak boleh dinafikan, beberapa kelebihan sememangnya tersedia khusus bagi pemain-pemain video games seperti DOTA :

1) Meningkatkan Daya Fokus dan Mempercepatkan Respons Kognitif

Pernah tak anda melihat seorang pemain DOTA sedang beraksi? Boleh anda kira berapa kali beliau akan memejamkan mata dalam tempoh seminit kerana fokus yang terlalu tinggi dan perhatikan jari jemari di papan kekunci dan tetikus, laju, selaju seorang setiausaha yang sedang menaip minit Mesyuarat Agung Tahunan.

HumBio_img021

Perkara ini bukanlah fiksyen semata- mata malah dibuktikan dalam satu kaji selidik di University Rochester di Amerika yang mengatakan bahawa permainan video mampu meningkatkan daya fokus dan respon persekitaran , malah ia membantu baik pulih proses penglihatan.

2) Melatih Kesabaran dan Daya Pengendalian Situasi dengan Berstrategi

Walaupun kedengaran agak hyperbolic tapi percayalah ini bukan monolog kosong semata- mata. Seawal tahun 2011 sewaktu aku mula bermain DOTA , permainan ini sangat susah. Dan caci makian adalah perkara yang biasa dipalit pada newbie seperti aku. Tetapi ia mempunya hikmah tersendiri. Dengan menerima kritikan dan mula mengumpul motivasi, aku berazam menjadi lebih baik. Hasilnya, aku berjaya menjadi pemain yang waras tindakannya dan kurang dicaci sepanjang permainan. Perlu diingatkan, di dalam game berdurasi panjang seperti DOTA ,adalah satu cabaran besar untuk seseorang pemain itu untuk kekal fokus sekurang –kurangnya 30 minit demi mencapai kemenangan. Nah, bukankah perilaku yang sama positif sebegitu mampu sahaja diaplikasi dalam amalan pembelajaran !

video_games_1Namun demikian ,kelebihan yang diperoleh ini tidaklah datang dengan harga yang murah. Seorang pemain DOTA hakikatnya perlu membayar tempoh masa yang lama, dengan meluangkan purata 35 minit satu game – jumlah yang sangatlah tidak masuk akal bagi seorang pelajar yang mengaku mahu menjadi doktor harapan ummah. Hakikatnya banyak perkara yang perlu ditolak tepi andai permainan yang menjadi keutamaan; pemain-pemain sudah tentu menolak buku mereka ke tepi, serta mengabaikan waktu berharga untuk berkhidmat kepada masyarakat. Dan jika anda seorang ikhwah, berapa banyak panggilan telefon akhawat untuk musyrif budiman yang tak terangkat kerana ke’sibuk’an anda?

Ehem !

gamer_not_now_im_busy_posters-r9977b341483b4bb3a12f16ef8b98c300_w2v_8byvr_512

Nasihat ini juga tepat menembak golongan yang kerap melekatkan jari jemari mereka pada papan kekunci dan mata pada laptop, membakar masa dengan perbuatan yang tidak bermanfaat. Anda yang tersenyum kerana tidak termasuk dalam mana-mana golongan disebutkan di atas, ‘saya’ mahu bertanya di mana peranan anda yang mengaku sebagai seorang kawan? Andai mereka terleka segera ingatkan mereka. Tetapi, dalam masa yang sama, hormatilah keghairahan mereka. Sebagaimana aku bencikan perempuan tergedik–gedik memperankan aksi gwiyomi, aku juga tidak boleh memaksa orang untuk turut serta minat-minat aku yang lain.

Masing-masing punya minat, tegurlah secara berhikmah kerana siapa yang suka andai minat mereka dikritik herdik? Pasti ego sedikit koyak. Silap haribulan, ukhuwah pun boleh berparut .

Kehadapan perajurit DOTA sekepala denganku,

Banyak kelebihan yang hanya kita rasa, manisnya pengalaman dalam dunia pusparasa ini tiadalah mampu mereka fahami. Namun, banyak lagi masa yang melayang dek keseronokan duniawi yang kita rasa, menang–gembira, kalah-sengsara. Tiadalah warkah ini ditulis demi untuk kalian menukar hobi atau menghapus terus DOTA daripada kamus hidup anda.

cat n dota

Tapi, masa kian merentasi kita, duhai perajurit. Peperiksaan kini di hujung tanduk, biar susah dirasa dulu sebelum menangis di hujung hari – air mata menitis di atas keyboard. Aku pernah berjaya dan aku juga pernah rasib; aku pernah menjadi kaki study dan aku juga pernah banyak membuang masa. Aku dah merasai semuanya dan aku tahu di mana silapnya .

Jadi kepada para keyboard warriors , gamers , facebookers, youtubers dan movie addicts , jom kita tarbiyah nafsu dan menyimpul padu tenaga yang berbaki demi peperiksaan terakhir semester ini. Jangan nanti minat kita menjadi fitnah kepada kegagalan diri sendiri.

Sekian, dari meja perajurit,

Murshid Halim
Tahun 3, Perubatan Universiti Kaherah