PICEDITOR-SMHStres adalah perkara lumrah. Stres berlaku hasil tindak balas semulajadi terhadap sistem tubuh apabila berhadapan dengan situasi debar dan cemas. Setelah otak menerima isyarat tersebut, kalenjar hormon akan merembes produk kimia iaitu kortisol dan adrenalin menyebabkan kenaikan paras tekanan darah,denyutan jantung, dan peningkatan ritma pernafasan untuk meraih lebih oksigen dan tenaga kepada otot secara pantas. Kesannya, anda menjadi hyperfocus malah daya tumpu ingatan dan pemprosesan maklumat menjadi langsung efektif. Maka tidak ajaib jika mahasiswa sains kesihatan seperti kita, puluhan halaman buku teks mampu dihafal dalam sehari tatkala musim peperiksaan menjengah. Namun awas pula dengan simptom stres yang kronik. Di mana akan terdapat perubahan emosi negatif pada individu tersebut serta mudah terkena penyakit berikutan pencernaan dan imuniti yang melemah. Andai stres berjaya ditawan dengan bijaksana,ia benar menguntungkan anda. Juga begitulah sebaliknya.

Susun Keutamaan

how-to-be-happy-diagram

Anda perlukan masa lengah antara percikan stres dan tindakan susulan. Atur rapi jadual hidup anda kemudian lakukan tugasan berdasarkan keutamaan semasa. Tempelkan beberapa ungkapan pencetus semangat pada ruang dinding bilik,skrin telefon pintar atau buku nota anda. Tidur yang cukup sangat diperlukan untuk sel-sel berehat dan aktif semula. Jika menangis bagi anda melegakan kadar bebanan stres, silakan tanpa segan silu. Ketawa apabila menonton rancangan realiti komedi pula contohnya, mampu merangsang mood ceria. Menurut kajian integrasi perubatan di Arizona, ketawa boleh mengembangkan kembali saluran darah di samping membakar kalori sepertimana satu bentuk latihan kecergasan kardiovaskular yang lain. Hilangkan kerutan di dahi, ukirlah senyuman di bibir.

Mahu Cerdas Perlu Cergas

exam stress_ food

Sesiapa punyai rekod fizikal yang baik akan lebih mudah mendepani stres. Di sini, rekreasi bermaksud giat pergerakan yang boleh menyegarkan kembali kesihatan dan kelapangan minda. Aktiviti keluar bersukan, jogging, marathon, berjalan kaki, mahupun senaman ringan akan menghasilkan endorfin yang membantu mempromosi fikiran positif. Berekreasi juga menyediakan ruang fizikal untuk melepaskan tenaga terkumpul hasil stres dalam badan anda. Jauhkan diri dari meja belajar anda sebentar selama lima minit, regang-regangkan bahagian otot yang kian tegang. Disamping itu, bernafas menggunakan teknik tepat juga memaksima pengagihan oksigen ke otak dan organ penting yang lain. Lagipun mahu cerdas harus cergas !

Menjadi Pendengar Yang Bersedia

sleeping-med-student2Student: I feel very discouraged. What should I do?
Master: Encourage others.
-Peribahasa Zen-

Jangan pernah berasa keseorangan menempuh halangan stres. Hubungi keluarga di tanah air, pohon kemaafan dan doa daripada mereka adalah lebih sesuai berbanding menyatakan keluhan berat yang bakal menambah kerunsingan mereka. Luahkan dilema stres yang sedang anda alami kepada sahabat akrab. Minta respon daripada orang lain kerana mereka turut mahukan segala yang terbaik untuk anda. Sebagai alternatif, rakaman audio bimbingan jiwa oleh sosok motivasi terkenal juga sudah boleh dilayari di saluran-saluran maya seperti laman web youtube. Jadilah resipien akur yakni penerima atau pendengar yang sanggup dinasihati demi kemajuan diri. Pesanan kepada penyampai kaunseling amatur pula, pastikan saranan anda berkisar galakan bukan cemuhan yang boleh menerbitkan rasa inferiority complex dalam diri penghidap stres.

Menelusuri Ibrah Salafus-soleh

Visual-Inspiration-365-If-I-have-seen-further-it-is-by-standing-on-the-shoulders-of-giants-Sir-Isaac-Newton-web

Rasa gelisah turut berpunca daripada dosa lampau kita lakukan. Sedangkan hati yang jernih disuluh keimanan tidak lekas putus asa dek kerencaman dunia. Ayuh kembali kepada fitrah seorang Muslim yang indah harinya dihiasi usaha istiqamah dan diselimuti dingin lenanya dengan pasrah tawakkal. Selusuri sirah Rasulullah s.a.w ,para sahabat, ulamak, cendekiawan, figura-figura hebat pejuang ilmu melalui pembikinan mujahadah mereka. Ceduk ibrah kerana mereka merupakan petunjuk sepanjang zaman manakala kita hanya manusia kerdil yang baru bertatih mengenal getir hidup. Pupuk kesedaran tulen dengan amalan mendekatkan diri kepada Allah seperti selawat,istighfar,solat malam dan refleksi-koreksi diri. Sungguh kebebasan daripada belenggu stres itu sebuah anugerah tidak ternilai.

..dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,serta melakukan kebajikan,mereka mendapat pahala dari Tuhannya, tidak ada rasa takut pada mereka, dan mereka tidak bersedih hati.”
(Al Baqarah:62)

Jangan Berlaku Zalim

Mohon hormati diri anda. Tiada orang lain yang perlukan keprihatinan penuh daripada anda melainkan diri sendiri. Aspek penjagaan kesihatan, pengambilan nutrisi lengkap, mahupun kecelikan rohani dapat mencakupi keperluan tubuh dan akal sementara pengabaian terhadapnya merupakan suatu manifestasi kezaliman tanpa sedar. Seperkara lagi, hormat juga orang lain di sekililing anda kerana bentuk amanah yang perlu dilangsaikan oleh setiap dari kita di muka bumi ini mungkin nyata berbeza. Jika anda terlalu agresif melayan stres tanpa mempertimbang kerukunan akhlak, maka tidak mustahil ada hati yang akan terluka. Ambil sikap toleransi hikmah atas hak bersama sebagai seorang pelajar, ahli bait, anak, sahabat, warganegara dan anggota masyarakat sambil waspada kepada tanggungjawab kepimpinan mandiri.

Bangkit semula selepas jatuh ke dalam gaung stres dikategorikan umpama satu titik tindakan matang dalam sejarah liku perjalanan manusia. Renungi, alasan utama mengapa ramai lekas mengalah adalah kerana mereka melihat betapa jauh lagi matlamat yang hendak dicapai tanpa menoleh sejauh mana telah mereka jejaki demi sampai di tapak mereka berpijak. Semalam biarkan pergi ,esok masih misteri, apa yang kita miliki ialah hari ini untuk kita mulakan dan teruskan legasi kegemilangan ummah tuntasnya.

Tenang,kita menang.
Resah, kita
rebah.

Unit Karya
Hanis Zikri binti Mohd Nahrawi
Tahun 3, Perubatan Universiti Kaherah