Kaherah, 10 Mei – Satu perjumpaan bersama pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Encik Zikril Azan Bin Abdullah dan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Timur Tengah, Ustaz Sofi Abdullah telah dijalankan di Dewan Kuliah 12, Fakulti Perubatan Universiti Kaherah. Perjumpaan ini telah dihadiri oleh sebahagian besar mahasiswa mahasiswi tajaan JPA dan MARA yang menuntut di Universiti Kaherah dan juga Universiti Ain Shams.

Turut hadir dalam perjumpaan ini ialah Naib Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Kaherah , Dr. Amina Borhamy Hassan Mohamed El-Fadaly serta 2 orang Koordinator Pelajar Malaysia, Dr. Heba Moustafa dan Dr. Hala’ Salah.

Perjumpaan ini diadakan untuk memperjelaskan syarat-syarat penajaan. Di akhir sesi perjumpaan, turut diadakan sesi interaksi antara pegawai dan wakil mahasiswa bagi membincangkan isu & masalah yg dihadapi. Encik Zikril dan Ustaz Sofi juga mengambil peluang ini untuk mengetahui persiapan semua pelajar bagi menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang tiba.

Ustaz Sofi dalam ucapannya mengharapkan semua mahasiswa dapat memahami tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Tambah beliau lagi, aspek kecemerlangan akademik dan aspek keselamatan perlu diambil perhatian memandangkan isu keselamatan ini dilihat semakin meruncing. Ustaz Sofi juga turut menyeru semua supaya meletakkan ‘benchmark’ ataupun satu tanda aras yang terbaik sebagai graduan lepasan Timur Tengah apabila pulang ke Malaysia nanti.

Bagi pelajar tajaan JPA pula, Encik Zikril menerangkan semula syarat-syarat penajaan dari segi akademik, kebajikan dan elaun serta kemudahan yang diberikan. Beliau menegaskan kepada semua agar melaporkan pergerakan keluar masuk dari Mesir bagi memudahkan urusan seandainya berlaku sebarang hal kecemasan. Selain itu, beliau memberi galakan kepada mereka yang pulang ke Malaysia, untuk menyertai elektif posting bagi meningkatkan kemahiran klinikal.

Dalam sesi soal jawab, Encik Zikril turut mengingatkan semua seandainya ditimpa sebarang masalah keselamatan, segera laporkan kepada pihak polis. Laporan polis ini sangat penting sebagai bukti dan membolehkan pihak keselamatan Mesir mengambil tindakan susulan.

Isu peningkatan elaun bagi pelajar tajaan MARA dan JPA turut dibangkitkan. Menjawab kepada persoalan, Ustaz Sofi menyatakan bahawa pihak MARA telah menghantar satu kertas kerja berkenaan peningkatan elaun ini untuk mendapat kelulusan kabinet. Namun begitu, pihak MARA masih belum mendapat sebarang maklum balas dari pihak berkaitan. Beliau menyeru semua mahasiswa mahasiswi untuk mendoakan supaya urusan ini dapat dipermudahkan. Mengulas lanjut mengenai hal ini, Encik Zikril menyatakan, isu ini sedang dikaji bertepatan dengan polisi JPA untuk mengkaji elaun setiap 5 tahun sekali.

Perjumpaan bermula pada pukul 3.30 petang dan berakhir pada 5.00 petang waktu tempatan. Semoga pertemuan kali ini memberi seribu satu manfaat kepada semua yang hadir dan dapat menyuburkan kembali semangat pelajar tajaan JPA dan MARA untuk terus menimba ilmu perubatan di Ardul Kinanah ini.

961057_513651265339217_1835220334_n