Menyentuh soal aurat ini, ianya adalah satu topik yang sudah cukup ‘cliche’ dan maaruf dalam lingkungan komuniti mahasiswa sains kesihatan terutamanya di ardul kinanah Mesir ini.

Sebelum memanjangkan kata dalam berbicara soal aurat ini, umum difahami perbahasan dan sasaran perbincangan selalunya lebih menjurus kepada kaum hawa berbanding kaum adam.

Antara elemen terpenting yang membentuk diri seseorang itu adalah persekitaran yang positif dan kondusif. Alhamdulillah, percambahan kelas tafaqquh fid-deen telah menyumbang kepada penyebaran dan penyulaman fikrah islami yang tulen sehinggakan isu aurat ini dapat difahami dengan jelas serta dipraktikkan dengan sempurna.

Jika kita masih ingat ketika kita masih kecil di bangku sekolah, cerita sejarah tentang ustazah-ustazah dan graduan mahasiswi yang pulang dari Mesir berselendang lilit semata, malah ada yang tidak bertudung litup menampakkan rambut serta berpakaian sendat mencolok mata sering kedengaran bermain disisi cuping.

Namun cerita itu sudah lama lupus. Cerita yang sakan dituturkan sewaktu zaman atuk dan nenek kita.

Keadaan sekarang sudah mula berubah dimana graduan mahasiswi lepasan Mesir lah yang kebiasaannya dikaitkan dengan ikon muslimah mukminah profesional yang sempurna dari sudut penutupan aurat.Meskipun demikian, tidak dinafikan masih ada segelintir akhawat kita yang masih belum dapat menutup aurat dengan sempurna. Cuma bilangannya tidaklah terlalu meruncing. Harapan masih ada. Mereka masih boleh didekati serta didakwah dengan berhikmah oleh rakan-rakan sekeliling yang lebih faham dan prihatin.

Apapun, kita tinggalkan dahulu golongan minoriti itu dan lebih membulatkan fokus perbahasan pada golongan majoriti yang dikatakan sudah sempurna penutupan auratnya itu.

Adakah sudah betul-betul sempurna ‘Aku’ menutup aurat ?

Apakah ‘Aku’ sudah menjadi muslimah sejati?

Apakah dalaman ‘Aku’ secantik apa yang dizahirkan luaran ?

Persoalan pokoknya, apakah ciri-ciri wanita yang dikatakan jelita hati dan nuraninya?

1) Kecantikan Hati

Tiada perasaan riak, ujub dan takabbur. Hatinya bersih dari sebarang perasaan iri hati dan hasad dengki. Dia mengharapkan kejayaan dan kegembiraan orang lain dan tidak mengharapkan nikmat yang dirasai orang sekelilingnya hilang sekelip mata.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada diri iri hati ataupun tidak? Tanya diri sendiri, apakah dirimu senang meluahkan pujian dan tahniah kepada insan yang mendapat nikmat dariNya ? Andai sukar, ketahuilah bahawa mungkin hatimu itu punyai perasaan sedemikian.

Bagaimana:

Gantikanlah perasaan iri hati itu dengan bersyukur, kerana sahabatmu memperoleh nikmat yang tiada terhingga dariNya. Perbaiki diri, agar diri menjadi lebih baik, bukan mengharapkan hilangnya nikmat itu dari sahabatmu.

Jangan mencari kesalahan orang lain dan dalam apa-apa  permasalahan sekalipun, bermuhasabahlah terlebih dahulu. Mulakan dengan melihat kekurangan diri sebelum menuding jari ke kanan dan ke kiri.

2) Akhlaknya Solehah

Dia taat kepada Allah dan suruhanNya. Dia menutup aurat sebagaimana disarankan agama, berbuat baik kepada kedua ibu bapanya serta jiran tetangga, taat kepada suami dengan sepenuh hati. Tidak lupa juga  mendidik anak-anak sebaik mungkin serta yang paling penting sentiasa memperbaiki dan memperbanyakkan amal ibadahnya.

Bagaimana:

Memahami dan mengamalkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran serta menjadikan Allah sebagai tujuan utama.

“Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat. Dan sesungguhnya bagi setiap orang itu akan memperolehi apa yang ia niatkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim(

3) Lembut Hatinya

Dirinya mudah untuk meminta maaf apabila melakukan kesilapan dan mudah memaafkan insan lain yang melakukan kesilapan kepadanya. Egonya tidak setinggi langit dan dirinya mudah dibentuk mengikut acuan agama.Wanita yang suka mendahului meminta maaf walaupun dirinya tidak bersalah digambarkan mempunyai peribadi yang cukup tinggi dan mudah disayangi.

Bagaimana:

Maafkan segala kesilapan insan lain yang pernah melukakan hatimu setiap hari, yakni sebelum diri melelapkan mata untuk menghadapi hari esok, walaupun insan tersebut tidak pernah meminta maaf. Ringankanlah bibir untuk mengucapkan kata maaf kepada insan lain, kerana mungkin dirimu pernah melukai hatinya tanpa disedari, apatah lagi kalau dirimu jelas melukakan hatinya.

4) Sejuk Mata Memandang

Wanita sebegini sememangnya mendamaikan perasaan insan yang melihatnya dan pastinya dapat menenangkan hati si suami tatkala memandang.

Bagaimana:

Bersopan santun, sentiasalah memaniskan wajah dengan sentiasa tersenyum, menutup aurat dan juga menundukkan pandangan terhadap perkara yang tidak harus dipandangnya.

5) Penyayang

Hatinya penuh dengan kasih sayang kepada insan-insan dan makhluk ciptaan Tuhan di sekelilingnya.

Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. katanya: Telah bersabda Rasulullah S.A.W. “Barangsiapa yang tidak menyayangi (mengasihi) sesama manusia, nescaya Allah tidak akan menyayangi (mengasihi)nya,” (Muttafaq ‘alaih)

Bagaimana:

Suburkanlah perasaan berkasih sayang di dalam hati dengan keikhlasan yakni berkasih sayang kerana Allah. Jauh daripada mengharapkan balasan dan sebagainya. Buka hati dan minda untuk melihat kebaikan daripada melihat keburukan. Fokuslah kepada kebaikannya!

6) Lemah Lembut

Lemah lembut bicara dan tindak tanduknya. Lemah lembut ini tidaklah bermakna dirinya lemah atau mudah ditindas sewenang-wenang. Lemah lembut menjadi satu tarikan yang boleh menjadikan dirinya dihormati dan disayangi.

Bagaimana:

Tidak meninggikan suara melebihi dari yang seharusnya. Ucapkanlah kata-kata yang perlu dan bukannya bicara yang menyakitkan hati serta telinga. Fikir sebelum meluahkan kata-kata dan melakukan apa-apa sahaja tindakan. Lunakkan suara apabila berbicara, namun bukan pada lelaki yang mahram.

7) Penyabar

Dirinya tidak mudah mengikut nafsu amarah dan ego yang menjulang tinggi ke langit. Dirinya juga tidak mudah melenting apabila ditegur dan dimarah.

Bagaimana:

Tarik nafas sedalamnya apabila marah. Sekiranya waktu itu sedang berdiri maka duduklah. Sekiranya waktu itu sedang duduk maka berbaringlah. Dan andai perasaan marah itu juga tidak hilang, ambillah wuduk dan berzikir mengingatiNya. Andai marah datang kerana teguran, bermuhasabahlah. Kemungkinan teguran itu baik ketika anda tidak menyedarinya.

“Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk, jika masih tidak hilang kemarahannya hendaklah dia berbaring secara mengiring,” (Hadith Riwayat Ahmad & Abu Daud)

“Sesungguhnya kemarahan adalah daripada syaitan dan syaitan dicipta daripada api, apabila salah seorang kamu marah maka hendaklah dia berwudhuk, ”(Hadith Riwayat Ahmad & Abu Daud)
quotes about islam

8) Berkeyakinan Diri

Bicara dan gaya berjalannya penuh yakin. Dia juga meluahkan pendapatnya dengan yakin. Namun tidak bermakna dia menganggap pendapatnya benar belaka kerana pendapat yang diberi adalah untuk mencari kebenaran bukannya untuk sebuah kemenangan.

Bagaimana:

Menjadi diri sendiri yakni segala tindak tanduknya berasal dari hati dan jiwa yang ingin berubah ke arah kebaikan jauh sekali kerana terikut-ikut dengan orang lain. Apabila menjadi diri sendiri, keyakinan itu akan terserlah dengan sendirinya dan tidak dibayangi insan lain.

9) Bahasa Tubuh yang Baik

Wanita yang mempunyai bahasa tubuh yang baik ini biasanya mudah didekati dan mudah juga menawan hati yang melihatnya.

Bagaimana:

Ekspresikan pendapat dan perasaan anda melalui tubuh, namun jangan sampai melampaui batas dan berlebih-lebihan. Bahasa tubuh memudahkan penyampaian mesej untuk diterima dan difahami oleh si pendengar. Senyumlah ketika berbicara dan pada masa yang sama menjadi pendengar yang baik.

10) Bersemangat dan Bermotivasi

Hatinya selalu berkobar-kobar dan dipenuhi dengan perkara-perkara yang positif serta tidak mudah berputus asa. Bicaranya penuh semangat dan semangatnya itu mampu diserap kepada insan yang berada di sekelilingnya.

Bagaimana:

Fikirkan perkara-perkara positif dan buanglah segala perkara yang negatif. Selalu ingin memajukan diri serta berusaha untuk menjadikan hari ini lebih baik dari sebelumnya.

11) Mencintai Ilmu

Wanita sebegini mempunyai ilmu di dada dan juga mengamalkan apa yang diketahuinya. Dia dihormati dengan ilmu yang diketahuinya namun tidak mendabik dada malahan merasakan ilmunya tidak pernah cukup.

Bagaimana:

Perbanyakkan membaca. Isilah masa terluang dengan membaca dan berfikir. Catat apa yang dipelajari kedalam buku atau jurnal supaya dapat merujuk kembali andai terlupa apa yang telah diketahui.

12) Berprinsip

Berprinsip iaitu menjadikan agama sebagai sandaran dalam hidup. Berprinsip tidak bermakna kaku, namun dia menjadi fleksibel apabila perlu tetapi tetap tidak melampaui batas agama.

Bagaimana:

Terapkan apa yang diajar al-Quran dan sunnah ke dalam diri sebagai panduan harian. Berprinsip akan menyebabkan diri dihormati dan tidak diperlakukan dengan sewenang-wenangnya.

13) Cantik

Dia tahu apa yang cantik untuk dipakainya namun tidak melampaui batas sehingga bertabarruj. Syariat menutup aurat tetap  dijaga.

Bagaimana:

Ambil tahu perkembangan fesyen namun memilih apa yang baik dan tinggalkan apa yang buruk. Menjaga bentuk badan bukan sahaja sewaktu gadis bahkan selepas berumah tangga dan perlu diingat  kecantikan itu hanya boleh dilihat bagi yang berhak yakni suami. Jagalah kehalusan kulit dengan rawatan tertentu agar kulit cantik dan berseri.

Ketahuilah apabila kecantikan seseorang itu benar-benar akan terserlah apabila cantik peribadinya. Memiliki kecantikan luaran sahaja umpama kerang yang tidak berisi, digilap dibersih nampaklah kecantikannya namun tetap kosong. Memiliki kecantikan luaran dan dalaman umpama kerang yang berisi sebuah mutiara yang begitu indah menyebabkan dirinya begitu berharga serta dilihat sungguh indah. Apabila dimiliki, sukar untuk dilepaskan.

Sedarilah bahawa perempuan dan muslimah itu adalah dua wanita yang berbeza dan tidak sama. Muslimah itu semestinya seorang perempuan namun seorang perempuan itu tidak semestinya seorang muslimah.

Tiada beza antara bertudung labuh bulat, berpurdah atau bertudung segi tiga. Apa yang menjadi ukuran adalah tingkah laku, adab dan akhlak. Sekali aurat itu ditutup dan disimpan kemas, maka hati itu juga perlu di’niqab’ dari perkara-perkara yang dilarangNya.

Mungkin ada seribu lagi cara bagaimana untuk menjadi jelita dalaman dan luaran namun apa kata difokuskan dahulu perkara yang disenaraikan di atas.
Bermuhasabahlah sejenak. Andai sebelum ini masih belum mencapai tahap muslimah, berusahalah untuk menggapainya bermula hari ini juga! Carilah redha Allah, agar hati pun merasakan ketenangan yang terlalu membahagiakan jiwa – InshaAllah!

“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah,”
(Hadis Riwayat Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)