Kaherah, 25 April – Satu program mega bagi PERUBATAN Cawangan Kaherah iaitu Cairo Open Day (CODE) akan berjalan selama 3 hari iaitu bermula dari 25 April hingga 27 April 2013. Dengan tema “Enjoy, Engage & Enlighten”, program ini bertujuan untuk memperkenalkan PERUBATAN Cawangan Kaherah kepada ahli di samping menjadi satu medium bagi pimpinan beramah mesra dengan ahli.

CODE telah dirasmikan oleh saudara Abd Rahim bin Samad, Presiden PERUBATAN 2013/2014. Di dalam ucapan, beliau mengajak semua ahli untuk sama- sama cakna dan mengambil bahagian dalam program yang julung-julung diadakan ini. Beliau turut menyeru kepada semua ahli untuk sentiasa mengambil tahu perkembangan terbaru PRU 13 dan bagi yang dapat pulang diharapkan dapat memilih pemimpin yang terbaik. “ Semoga apa yang dipangkah diberkati oleh Allah,” kata beliau sebelum mengakhiri ucapan.

Program CODE dimulai dengan kelas tsaqafah yang bertajuk Fiqh ad-Daulah fil Islam yang disampaikan oleh Ustaz Solihudin bin Mohamad Jahar. “ Kita ada peranan masing-masing dan setiap peranan kita ini akan ditanya di akhirat, “ kata Ustaz Solihudin ketika memulakan pembentangan kertas kerja Fiqh Kenegaraan Menurut Islam yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin bin Abd Rahman. Antara item yang dibincangkan dalam kelas tsaqafah bersempena CODE kali ini ialah kewujudan politik dalam Islam, cabaran pemisahan Islam dan politik serta hak bukan Islam dalam pemerintahan Islam.

DSC_0012

Pelancaran CODE turut diserikan dengan Roadshow Majlis Tertinggi PERUBATAN yang dihadiri oleh 6 orang ahli MTP ikhwah dan 5 orang ahli MTP akhawat. Sesi pengenalan ahli MTP dijalankan bagi memperkenalkan pimpinan kepada semua ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah memandangkan MTP merupakan sejarah pertama pentadbiran baru PERUBATAN. Selain memperkenalkan diri, setiap ahli MTP turut memberi sedikit perkongsian kepada ahli yang hadir.

Semoga program CODE ini dapat memberi manfaat kepada semua ahli. Dijemput kepada semua ahli untuk hadir ke Mini Bazaar yang dijalankan pada hari Jumaat dan Mini Conference pada hari Sabtu.

DSC_0022